BANGI, 10 Jun 2026 – Perpustakaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya menganjurkan Sambutan Hari Arkib Antarabangsa Peringkat Perpustakaan UKM dan Hari Pustakawan Malaysia 2026 yang bertemakan “Memusakakan Naskhah, Menghidupkan Sejarah”. Program yang berlangsung di Perpustakaan Tun Seri Lanang ini menghimpunkan kira-kira 120 orang warga perpustakaan dan universiti bagi meraikan kepentingan pemeliharaan khazanah ilmu, sejarah institusi serta profesion kepustakawanan.
Majlis telah dirasmikan oleh Ketua Pustakawan UKM, Encik Hazmir Haji Zainal. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan usaha pendigitalan dan pemuliharaan bahan sebagai medium untuk memastikan sejarah dan warisan institusi terus lestari serta dapat diakses oleh generasi akan datang. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga perpustakaan atas komitmen mereka dalam memperkasa agenda pemeliharaan memori institusi melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.
Antara segmen utama yang mendapat perhatian ialah slot Wawancara Tokoh: Memori dan Kenangan UKM Kampus Sabah yang menampilkan Tuan Haji Abd. Razak Hussin dan Dr. Kaswandi Md. Ambia sebagai panel. Sesi tersebut membawa hadirin mengimbau sejarah penubuhan UKM Kampus Sabah yang diwujudkan bagi memenuhi keperluan pendidikan tinggi di negeri itu, di samping berkongsi pengalaman serta kenangan sepanjang berkhidmat dan menuntut di kampus berkenaan.
Melalui perkongsian yang sarat dengan nostalgia, para panel turut menceritakan suasana pembelajaran yang unik serta hubungan erat antara pensyarah dan pelajar yang menjadi antara kekuatan utama UKM Kampus Sabah pada ketika itu. Mereka juga menyuarakan harapan agar baki tanah seluas empat ekar di bekas tapak kampus tersebut dapat dimanfaatkan oleh universiti melalui penubuhan pusat atau institut penyelidikan bagi meneruskan legasi UKM di Sabah.
Sambutan yang amat menggalakkan terhadap sesi wawancara ini turut mencetuskan cadangan agar satu sesi lanjutan diadakan pada masa hadapan bagi mengetengahkan perspektif dan pengalaman bekas pelajar UKM Kampus Sabah.
Bagi memberi pendedahan praktikal kepada pengunjung, penganjur turut mengadakan slot “Dr. Buku: Rawat & Pulihara”. Program ini menampilkan pembantu pemuliharaan yang mempunyai kepakaran dalam bidang pemeliharaan dan pemuliharaan bahan perpustakaan. Melalui demonstrasi secara langsung, para peserta didedahkan kepada teknik penjilidan, pembaikan tisu, pembersihan bahan, pendigitalan serta penyelenggaraan bahan media seperti mikrofilem dan pita VHS.
Sesi tersebut mendapat sambutan yang amat memberangsangkan bukan sahaja daripada warga UKM, malah turut menarik penyertaan kakitangan perpustakaan institusi lain seperti Perpustakaan Al-Hikmah, Perpustakaan Jeneral Tun Ibrahim dan Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia yang hadir bagi menimba ilmu serta berkongsi pengalaman dalam bidang pemuliharaan bahan.
Acara kemuncak program ialah Telaah Memoir Pustakawan: Kisah Orang Pustaka 2.0 yang menampilkan Datin Nor Azzah Momin dan Dr. Mazni Md. Yusof sebagai panel. Sesi ini turut diserikan dengan Slot Istimewa: Sesi Buku Bersambut bersama Netizen Buku yang memberi ruang kepada warga perpustakaan berkongsi ulasan dan pengalaman pembacaan mereka.
Antara perkongsian yang paling menyentuh hati ialah pengalaman peribadi Dr. Mazni Md. Yusof dalam menghadapi cabaran kesihatan sepanjang kerjaya beliau. Kisah ketabahan dan semangat yang dikongsikan telah memberi inspirasi serta motivasi kepada para hadirin.
Sepanjang program berlangsung, para pengunjung turut berpeluang melawat pameran “Yang Terawal di UKM dan Kenangan Kampus Sabah”. Pameran tersebut mengetengahkan pelbagai artifak bersejarah termasuk peralatan pejabat klasik seperti telefon dan mesin perakam waktu, jubah akademik, kad kampus serta bahan-bahan yang merakam sejarah perkembangan universiti.
Antara bahan yang paling mencuri perhatian ialah bingkai tandatangan terakhir kakitangan sempena penutupan UKM Kampus Sabah, yang membangkitkan nostalgia dan rasa sebak dalam kalangan pengunjung. Buat julung kalinya juga, Perpustakaan UKM menampilkan Koleksi Peribadi Milik Allahyarhamah Puan Sri Sohair Abdel Moneim Sery, sekali gus memberi peluang kepada warga universiti menelusuri koleksi berharga yang mempunyai nilai sejarah dan intelektual yang tinggi.
Penganjuran program ini bukan sahaja berjaya memeriahkan sambutan Hari Arkib Antarabangsa dan Hari Pustakawan Malaysia 2026, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi perpustakaan, mempromosikan kepentingan pemeliharaan warisan dokumentari serta menyemai penghargaan terhadap sejarah dan memori institusi dalam kalangan warga universiti.
Perpustakaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya menganjurkan Syarahan Tun Ahmad Sarji bagi tahun 2024. Program ini merupakan program tahunan yang menjadi platform untuk perkongsian ilmu dan pengalaman dalam pelbagai bidang. Tujuan syarahan ini khususnya untuk memberi penghormatan kepada bidang-bidang yang menjadi fokus serta sumbangan Allahyarham Tun Ahmad Sarji. Sejak diperkenalkan pada tahun 2019, ia…
Lensa Arkib & Pustakawan: Menelusuri Warisan, Memacu Kota Ilmu Oleh : Ruzita Kamis Setiap kali kalendar mencecah bulan Jun, warga perpustakaan dan arkib di seluruh dunia bersatu dalam semangat yang sama bagi meraikan Hari Arkib Antarabangsa pada 9 Jun serta Hari Pustakawan Malaysia pada 6 Jun. Bagi Perpustakaan UKM, sambutan ini bukan sekadar acara tahunan,…
Cikgu Nordin menyempurnakan acara gimik penyerahan koleksi kepada perpustakaan UKM Pada 21 Nov 2024, Majlis Penyerahan Koleksi Cikgu Nordin kepada Perpustakaan UKM berjalan dengan lancar. Majlis ini diraikan bersempena Majlis Perasmian Pembudayaan Ilmu Perpustakaan UKM yang dihadiri seramai 22 orang tetamu alumni terawal UKM. Selain itu, pameran koleksi sumbangan cikgu turut diadakan di…
Pesara yang hadir ke program Sambutan Hari Arkib Antarabangsa Peringkat Perpustakaan UKM Sambutan Hari Arkib Antarabangsa Peringkat Perpustakaan UKM buat julung kalinya telah diadakan pada tanggal 6 Jun 2024 yang juga merupakan Hari Pustakawan Malaysia. Bersempena dengan hari yang sinonim dengan profesion kepustakawanan ini, Perpustakaan UKM meraikan dengan pengisian aktiviti yang menjurus kepada…
Lakaran Memori Korporat UKM: Wawancara Sejarah Lisan Bersama Prof. Ding Choo Ming dan Encik. Ismail Juhail Oleh Ruzita Kamis Bangi, 6 Mei 2026 – Unit Arkib dan Koleksi Khas, Perpustakaan Tun Seri Lanang telah berjaya menganjurkan program wawancara sejarah lisan sebagai usaha mendokumentasikan memori korporat dan warisan institusi Universiti Kebangsaan Malaysia. Program ini merupakan inisiatif…
24 Oktober 2024 – Unit Arkib dan Koleksi Khas telah menganjurkan program reruai jawi jiwa watan bersempena Hari bersama Pelanggan Perpustakaan Tun Seri Lanang 2024. Program ini berobjektif: Memahirkan pengetahuan mahasiswa-mahasiswa dalam pembacaan, penulisan tulisan jawi. Menimbulkan dan mewujudkan semula generasi yang mengenali, cinta dan minat tulisan Al-quran, iaitu huruf jawi dan seni khat. Memberi…