Forum Persada Kampus Kuala Lumpur 2025

Pejabat Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur) dengan kerjasama Pusat Strategi (Strategi UKM) telah menganjurkan Forum Persada Kampus Kuala Lumpur 2025 “Tekad 57 UKM: Visi dan Misi untuk Kampus Kuala Lumpur” yang menampilkan YBhg. Prof. Dr. Sufian Jusoh, Naib Canselor UKM selaku penceramah berlangsung di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) semalam.

YBhg. Prof. Dr. Sufian Jusoh dalam ucapannya menegaskan bahawa UKM harus terus bergerak ke hadapan dan bersedia mara dengan tekad baharu walaupun menghadapi pelbagai krisis dan cabaran semasa. Beliau turut mengingatkan bahawa UKM bukan sekadar menara ilmu, tetapi pelindung maruah bangsa yang kini harus tampil sebagai instrumen utama pembangunan negara dan bangsa.

YBhg. Naib Canselor menggariskan empat keutamaan yang perlu diberi perhatian; pertama, meleraikan karenah birokrasi agar pentadbiran lebih berkesan dan cekap; kedua, memperkukuh tumpuan kepada penyelidikan dan inovasi, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI); ketiga, mempertingkat keupayaan kelestarian kewangan universiti; dan keempat, mencetus perubahan besar terhadap kualiti graduan agar mampu menembusi perangkap jurang pendapatan.

Beliau juga menyatakan keprihatinan terhadap cabaran semasa yang dihadapi dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta aspek sokongan universiti, sambil menegaskan kesediaan pihak pengurusan untuk terus berdialog dan berunding bagi mencari kaedah penyelesaian terbaik. Dalam masa yang sama, beliau turut menggalakkan para akademik untuk berani membuka peluang dan meneroka pengalaman baharu di luar, dengan harapan mereka akan kembali ke UKM untuk menyumbang semula kepada ekosistem ilmu watan yang semakin berkembang.

Turut hadir adalah Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa; Prof. Dr. Jamia Azdina Jamal, menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi; Prof. Dato’ Dr. Roslee Rajikan, Pro Naib Canselor (Strategi dan Kewatanan); Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur) dan Tuan Haji Zanudin Mohd Daud, Pendaftar.

Similar Posts