Lawatan Penanda Aras Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Delegasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan lawatan penanda aras ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 5 Mei 2025 (Isnin).
Lawatan ini diketuai oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Roslee Rajikan, Pro Naib Canselor (Strategi & Kewatanan) merangkap Pengarah Pusat Strategi UKM, bersama barisan pegawai strategik universiti.
Lawatan ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat dan pencerahan berkaitan amalan terbaik di dalam aspek kelestarian dan kampus hijau, serta berkongsi strategi untuk menambah baik penyediaan data mengikut penarafan dunia UI GreenMetric. Fokus utama lawatan adalah untuk meneliti dan memahami pendekatan UniSZA dalam pengurusan data berkaitan kelestarian, yang menjadi asas penting kepada penarafan universiti di peringkat nasional dan global, khususnya di bawah kerangka UI GreenMetric World University Rankings.
Program ini turut menjadi platform perkongsian ilmu dan amalan terbaik dalam aspek pembangunan kampus hijau, pengumpulan data kelestarian, serta pemantapan strategi pelaporan yang berimpak tinggi.
Lawatan seumpama ini diharapkan dapat memperkasa usaha UKM dalam memperkukuh lagi ekosistem kelestarian yang menyeluruh dan mampan, selaras dengan aspirasi universiti sebagai institusi peneraju dalam bidang pembangunan lestari.