Penyelidik UKM hasilkan teknologi sisa sifar kilang sawit

BESTARI JAYA: Kumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menghasilkan teknologi sisa sifar untuk merawat sisa efluen kilang kelapa sawit (POME).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) UKM, Prof Datuk Dr Ir Abdul Wahab Mohammad, berkata teknologi itu akan mengubah cara industri kelapa sawit mengendalikan sisa POME dengan lebih cekap dan mampan.

“Bahan terbuang seperti sisa sawit diproses untuk menjadi baja organik, makanan haiwan dan pelbagai perkara lain.

“Gas hidrogen pula dikumpul di sebuah loji tenaga, manakala karbon dioksida tidak lagi dilepaskan di udara, sebaliknya diserap oleh alga.

“Begitu juga dengan sisa kumbahan yang dilepaskan kilang sawit. Air kumbahan yang berwarna pekat ini akan diproses menjadi air jernih untuk digunakan semula kilang sawit itu sendiri,” katanya pada sidang media di Loji Rintis Teknologi Sisa Sifar Kilang Kelapa Sawit Tennamaram di sini, hari ini.

Penyelidik UKM lain ialah Prof Ir Dr Mohd Sobri Takriff, Prof Dr Jamaliah Md Jahim, Prof Madya Dr Mohd Shahbudin Mastar, Prof Madya Dr Sahilah Abdul Mutalib dan Ir Dr Shuhaida Harun.

Penyelidikan itu adalah inisiatif Kursi Pembangunan Lestari Universiti Kebangsaan Malaysia-Yayasan Sime Darby.

Sime Darby turut memberi bantuan kewangan sebanyak RM10 juta bagi tujuan penyelidikan dan RM2.5 juta bagi mencipta teknologi sisa sifar.

Sementara itu, Mohd Sobri berkata, walaupun banyak penyelidikan dilakukan mengenai sisa POME kelapa sawit, namun penyelidikan dilakukan UKM adalah lebih teliti serta daripada pelbagai aspek.

“Kita berharap teknologi sisa sifar ini akan mengubah persepsi negara luar bahawa cara kerja kilang sawit tidak mesra alam,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap Kementerian Pendidikan akan memperuntukkan dana untuk meningkatkan kemampuan teknologi sisa sifar itu.

“Teknologi ini adalah teknologi perintis. Jadi ia tidak dibina untuk memproses sisa POME dalam kapasiti yang besar. Ketika ini teknologi perintis ini hanya mampu merawat 300 liter air kumbahan sehari.

“Teknologinya sudah ada, cuma kita harapkan ada dana untuk mengembangkan lagi teknologi ini,” katanya.

Oleh Khairul Azran Hussin
Sumber: BHOnline