Dari Like ke Ilmu: Kuasa Media Sosial dalam Pembelajaran Keusahawanan

Media sosial kini bukan lagi sekadar saluran hiburan atau rangkaian sosial semata-mata. Dalam landskap digital yang semakin berkembang pesat, platform seperti Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube telah menjadi ruang pembelajaran tidak formal yang semakin relevan dan signifikan, khususnya dalam bidang keusahawanan.

Bagi usahawan, terutamanya mereka yang menjalankan perusahaan kecil dan sederhana, media sosial membuka peluang baharu untuk mengakses ilmu dan kemahiran secara pantas, fleksibel dan mudah. Kandungan berbentuk video, infografik, penstriman langsung dan perkongsian pengalaman daripada tokoh perniagaan serta pempengaruh kini dapat diakses di hujung jari tanpa kos, pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Lebih menarik, pembelajaran di media sosial bersifat kendiri dan praktikal. Usahawan boleh memilih topik yang ingin dipelajari mengikut keperluan sebenar perniagaan mereka, sama ada strategi pemasaran, teknik fotografi produk, pengurusan kewangan atau pembangunan jenama. Pendekatan ini menjadikan pembelajaran lebih berfokus dan bersesuaian dengan konteks harian mereka sebagai penggerak ekonomi mikro.

Namun begitu, kelebihan ini hanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya apabila pengguna mempunyai kesedaran dan kemahiran untuk menilai kandungan yang diperoleh. Dalam ruang yang terbuka dan tidak ditapis sepenuhnya, kandungan yang mengelirukan, tidak tepat atau terlalu bersifat sensasi turut bercampur dengan bahan yang berkualiti. Oleh itu, sikap kritis dan kebolehan untuk mengenal pasti sumber yang sahih menjadi kunci penting dalam memastikan proses pembelajaran melalui media sosial benar-benar memberi nilai tambah. Selain sebagai sumber maklumat, media sosial turut membina komuniti yang menyokong kepada pertumbuhan usahawan. Di sinilah terbentuknya jaringan digital sebagai tempat bertukar pandangan, mendapatkan inspirasi dan membina hubungan profesional. Bagi usahawan yang aktif, penyertaan dalam komuniti digital bukan sahaja memperkukuh pengetahuan, malah turut meningkatkan keterlihatan dan kredibiliti mereka dalam persekitaran perniagaan yang kompetitif.

Kesimpulannya, media sosial berpotensi besar untuk menjadi pemangkin kepada pembelajaran keusahawanan yang lebih terbuka, mudah dicapai dan relevan dengan keperluan semasa. Apa yang penting ialah kemahuan untuk belajar, kesediaan untuk berubah dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan ekosistem digital yang sentiasa berkembang. Dari sekadar memberi “like”, kini tiba masanya untuk menjadikan media sosial sebagai ruang membina ilmu dan strategi, demi kelangsungan dan kejayaan perniagaan yang mampan.

Rita Azwanie binti Roslan dan Dalbir Singh
Center for Software Technology and Management (SOFTAM),
Fakulti Teknologi & Sains Maklumat (FTSM), Universiti Kebangsaan Malaysia.

(Visited 75 times, 1 visits today)