Kebolehgunaan: Penentu Keberkesanan dan Penerimaan Pengguna Terhadap Reka Bentuk Antara Muka Sistem Maklumat

Kebolehgunaan merupakan aspek penting dalam reka bentuk antara muka sesebuah sistem maklumat yang menilai betapa mudahnya pengguna menggunakannya untuk mencapai matlamat mereka. Ia memberi kesan kepada penerimaan oleh pengguna dan tahap keberkesanan sistem. Sistem yang berkesan ialah sistem yang memenuhi keperluan pengguna dengan mudah, cepat dan tepat melalui paparan antara muka. Sistem yang dibina tanpa mengambil kira aspek kebolehgunaan berisiko gagal digunakan sepenuhnya walaupun mempunyai fungsi yang lengkap. Antara muka yang mudah difahami, intuitif, dan responsif membolehkan pengguna menyelesaikan tugasan dengan cepat tanpa rasa tertekan.

Susun atur antara muka yang kompleks, kekurangan panduan pengguna, penggunaan warna yang tidak sesuai, dan kesukaran navigasi adalah antara masalah kebolehgunaan yang menyumbang kekecewaan pengguna dan akhirnya menyebabkan pengguna hilang minat menggunakan sistem. Sistem yang mempunyai masalah kebolehgunaan akan menjejaskan kecekapan operasi sistem, ketepatan maklumat dan keberkesanan proses untuk membuat keputusan.

Di samping itu, keberkesanan antara muka sistem bukan sahaja berkait dengan estetika visual, tetapi lebih penting adalah keupayaan sistem menyokong matlamat pengguna secara efisien dan konsisten. Aspek kebolehgunaan seperti kebolehpelajaran iaitu keupayaan pengguna mempelajari sistem tanpa bantuan, keupayaan mengingat yang membantu pengguna mengingat fungsi sistem walau telah lama tidak menggunakannya, pengendalian ralat yang membantu pengguna memahami dan membetulkan ralat dengan sendiri serta kepuasan pengguna dalam menggunakan sistem perlu dititikberatkan sejak awal proses reka bentuk bagi memastikan antara muka yang dibangunkan memenuhi keperluan pengguna dan meliputi semua aspek kebolehgunaan. Sistem yang berkualiti mempunyai tahap kebolehgunaan yang tinggi dalam meningkatkan kecekapan organisasi serta membina keyakinan dan minat pengguna untuk terus menggunakan sistem.

Kesimpulannya, aspek kebolehgunaan bukan sekadar ciri tambahan sebaliknya adalah komponen asas untuk memastikan sistem yang dibangunkan berfungsi mengikut kehendak pengguna. Selain itu, penilaian kebolehgunaan secara berkala untuk sistem sedia ada dapat menilai sistem supaya sentiasa memenuhi keperluan semasa pengguna dan organisasi serta menentukan tahap relevan untuk dikekalkan atau sebaliknya. Reka bentuk yang mengutamakan kebolehgunaan akan memberi impak pada jangka panjang dari segi penerimaan yang positif, penggunaan berterusan, dan keberkesanan sistem secara keseluruhan.

Farhana binti Zainol Abidin dan Dalbir Singh
Center for Software Technology and Management (SOFTAM),
Fakulti Teknologi & Sains Maklumat (FTSM),
Universiti Kebangsaan Malaysia

(Visited 105 times, 1 visits today)