GeoGPT – Evolusi Kepintaran Buatan (AI) Geospatial

Kebergantungan kepada AI dewasa ini tidak dapat disangkal lagi. AI seperti sudah menjadi suatu normalisasi dalam kehidupan harian terutamanya dalam bidang penyelidikan dan membantu dalam pembuatan keputusan. Penggunaan AI dalam bidang geospatial bukan sesuatu yang asing. Sejak dari tahun 1990-an, penggunaan Machine Learning (ML) dalam analisa data geospatial telah digunakan secara meluas dalam bidang penyelidikan. Antaranya ialah NearestNeighbors, Decision Trees dan Support Vector Machines (SVM). Penggunaan utama ML dalam bidang geospatial ialah untuk mengklasifikasikan guna tanah (land use classification), analisa rupa bumi (terrain analysis) dan pemantauan alam sekitar seperti pemantauan hutan simpan, pemantauan kesihatan tanaman dan perancangan bandar.

Seiring dengan perkembangan AI dalam bidang geospatial, satu platform sumber terbuka tanpa keuntungan khusus untuk penyelidikan geospatial telah dibangunkan iaitu GeoGPT. GeoGPT ini telah dibangunkan oleh Akademi Kejuruteraan Yunqi, China dan kemudian telah diambil alih oleh Makmal Penyelidikan Zhejiang. GeoGPT bukan sekadar membantu memudahkan penyelidikan tetapi juga sebagai alat bantu pembuatan keputusan yang lebih efisien.

Platform GeoGPT ini mampu mengekstrak data serta maklumat dari hasil kajian berkaitan. Antaranya ialah pengekstrakan koordinat lokasi yang tepat, merumuskan kertas jurnal penyelidikan berkaitan dengan geospatial, menjalankan pelbagai peringkat analisa data dari peta dan jadual yang berformat pdf, merumuskan dan memberi penerangan peta yang dipilih dari kertas jurnal, menterjemahkan bahasa kertas jurnal dalam pelbagai bahasa, mampu memberikan cadangan idea serta hala tuju penyelidikan yang masih belum dilaksanakan dan penjanaan peta geologi berdasarkan pelbagai jenis format data. GeoGPT menawarkan pelbagai model Large Language Model (LLM) seperti Llama 3, Deepseek, Qwen dan INF AI yang boleh digunakan mengikut kesesuaian penyelidik. Disamping itu juga penyelidik boleh membangunkan model LLM dan digunakan di platform ini bagi mendapatkan hasil keputusan kajian yang dikehendaki. Pada masa yang sama, ia boleh digunakan sebagai platform pengujian model LLM yang dibangunkan oleh penyelidik.

Data serta maklumat yang dicapai oleh GeoGPT adalah dari jurnal dan penerbit yang memberikan akses terbuka sahaja. Ini bagi menghormati hak harta intelek yang telah diwartakan tanpa melanggar hak privasi, keselamatan data serta dasar harta intelektual itu sendiri.

GeoGPT memberikan satu evolusi baru dalam bidang geospatial. Penyelidik hanya perlu bertanya dengan menggunakan bahasa yang mudah bagi mendapatkan data serta memahami data spatial dan analisa peta geologi melalui penerangan kandungan yang komprehensif dari GeoGPT. Kelak, GeoGPT bukan sekadar terhad untuk bidang geospatial, malahan boleh dikembangkan bagi kegunaan dalam penyelidikan kesihatan.

   

Gs. Aslinda Oon Ridzuan Oon
Pusat Teknologi Maklumat

(Visited 104 times, 1 visits today)