Integrasi Aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) untuk Meningkatkan Penglibatan Pelajar dalam FORUM UKMFOLIO
Penyertaan kelas dalam talian merujuk kepada penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan secara maya menggunakan platform digital seperti Google Meet, Zoom, Microsoft Teams serta sistem pengurusan pembelajaran (LMS) seperti UKMFOLIO. Dalam konteks pendidikan abad ke-21, kemahiran ini amat penting kerana ia merangkumi kehadiran dalam sesi secara langsung (synchronous), penyertaan dalam aktiviti tidak langsung (asynchronous) serta interaksi melalui forum, kuiz, tugasan, dan aktiviti kolaboratif.
UKMFOLIO merupakan platform e-pembelajaran rasmi yang digunakan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menyokong sistem pembelajaran seperti pembelajaran jarak jauh. Platform ini menyediakan akses kepada pelbagai sumber seperti bahan kuliah, tugasan, forum, kuiz, serta komunikasi antara pelajar dan pensyarah. Salah satu komponen penting dalam UKMFOLIO ialah FORUM yang diwajibkan oleh pensyarah berdasarkan kursus dan penilaian kepada semua pelajar kerana ia menyumbang kepada markah penilaian berterusan. FORUM ini menggantikan sebahagian peranan kuliah bersemuka dan berfungsi sebagai medan perbincangan akademik antara pelajar dan pensyarah.
Dalam era transformasi digital, penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) telah menjadi pemangkin kepada pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan dan responsif. Pelajar kini boleh meningkatkan penyertaan dalam FORUM melalui penggunaan pelbagai alat AI. Contohnya, pelajar boleh menggunakan ChatGPT, Claude atau Gemini untuk memahami soalan forum. Seterusnya, Notion AI atau ChatGPT boleh digunakan untuk mencadangkan isi kandungan jawapan, manakala Grammarly, QuillBot dan Writefull pula membantu menyemak gaya bahasa dan struktur penulisan.
Dalam usaha meningkatkan penyertaan pelajar secara aktif dalam FORUM perbincangan, penggunaan chatbot pintar semakin mendapat tempat dalam sistem pembelajaran digital seperti UKMFOLIO. Chatbot merupakan perisian berasaskan AI yang direka untuk meniru perbualan manusia dan memberikan maklum balas segera terhadap pertanyaan pengguna. Dalam konteks FORUM, chatbot pintar berfungsi sebagai pembantu maya yang dapat memudahkan pelajar menavigasi tugasan forum dan meningkatkan kefahaman terhadap sesuatu topik. Chatbot pintar dalam FORUM boleh membantu dalam beberapa aspek penting, antaranya termasuk memberi penjelasan segera terhadap soalan forum atau konsep yang sukar difahami, menyediakan panduan teknikal tentang cara membuat siaran, membalas komen atau mematuhi format tugasan forum dan memberi cadangan sumber tambahan seperti pautan bacaan, video sokongan atau nota kuliah berdasarkan soalan yang dikemukakan pelajar.
Namun begitu, penggunaan AI perlu dilakukan secara beretika. Pelajar harus menggunakan AI sebagai alat sokongan, bukan sebagai pengganti sepenuhnya. Jawapan yang diperoleh daripada AI perlu diolah semula dalam bahasa sendiri dan disesuaikan dengan konteks kursus. Pensyarah pula boleh memainkan peranan dengan memberi panduan mengenai penggunaan AI yang dibenarkan, serta menggalakkan pelajar menggunakannya untuk meningkatkan pemahaman, bukan sekadar menyalin jawapan.
Kesimpulannya, penyertaan kelas dalam talian melalui FORUM yang disokong oleh teknologi AI dapat meningkatkan penglibatan pelajar secara signifikan dan inklusif. Dengan penerapan etika dalam penggunaan AI, teknologi ini dapat menyokong proses pembelajaran sebagai rakan pintar yang menjadikan pengalaman pendidikan lebih menyeronokkan, reflektif, dan interaktif.
Disediakan oleh;
Ts. Ir. Dr. Muhamad Razuhanafi Mat Yazid
Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina
Universiti Kebangsaan Malaysia

