Kecerdasan Buatan (AI) dalam Teknologi Solar: Pemangkin Tenaga Hijau Masa Hadapan
Melalui transformasi digital di era kelestarian alam sekitar, kecerdasan buatan (AI) memainkan peranan penting bagi mempercepat kemajuan teknologi solar. Hal ini berikutan gabungan antara AI dan tenaga suria dapat meningkatkan kecekapan penjanaan tenaga lebih daripada biasa. Di samping itu, gabungan kedua-dua elemen tersebut juga membantu mengurangkan kos operasi dan memaksimumkan penggunaan sumber tenaga yang bersih serta boleh diperbaharui. Salah satu aplikasi utama AI dalam teknologi solar ialah ramalan pengeluaran tenaga. Sistem solar bergantung kepada cahaya matahari yang sering berubah mengikut keadaan cuaca dan waktu. Melalui penggunaan algoritma pembelajaran mesin, AI dapat menganalisis data cuaca, suhu dan kadar sinaran suria untuk meramalkan jumlah tenaga yang bakal dihasilkan. Keupayaan tersebut telah membantu pengendali grid tenaga menyeimbangkan bekalan dan permintaan secara lebih efisien.
Selain itu, AI juga digunakan untuk penyelenggaraan ramalan bagi panel solar. Dengan bantuan sensor pintar dan analisis data masa nyata, AI mampu mengesan keabnormalan kecil seperti penurunan prestasi panel, kerosakan komponen atau pengumpulan debu sebelum masalah besar berlaku. Kelebihan AI dalam melakukan pengesanan tersebut bukan sahaja memanjangkan jangka hayat sistem, malah mengurangkan masa henti operasi dan kos pembaikan.
Realitinya, AI juga memainkan peranan yang sangat besar dalam pengoptimuman reka bentuk dan penempatan panel solar. Melalui pemprosesan imej satelit dan data geografi, sistem AI boleh menentukan lokasi terbaik untuk pemasangan panel bagi memastikan penerimaan cahaya maksimum sepanjang hari. Kaedah ini amat berguna bagi projek tenaga solar berskala besar seperti ladang solar. Tambahan pula, integrasi AI dengan sistem storan tenaga membolehkan penggunaan tenaga solar yang lebih stabil. Malah, AI boleh menguruskan keperluan tersebut, iaitu bila waktunya tenaga perlu disimpan atau digunakan berdasarkan corak penggunaan tenaga harian dan harga pasaran elektrik.
Kesimpulannya, kecerdasan buatan menjadi tunjang utama dalam menjadikan teknologi solar lebih pintar, efisien dan mampan. Hal ini dapat dilihat dengan jelas melalui hasil kemajuan AI dari masa ke semasa di pelbagai bidang. Masa depan tenaga hijau juga semenangnya dijangka akan lebih cerah, bukan sahaja dari segi cahaya matahari, tetapi juga dari segi inovasi yang memacu dunia ke arah kehidupan yang lestari.
Disediakan oleh;
Ir. Ts. Dr. Mohd Faizal Fauzan (drfaizalfauzan@ukm.edu.my)
Solar Energy Research Institute (SERI),Universiti Kebangsaan Malaysia