AI Si Penjaga Minat yang Tak Pernah Penat!
Perkembangan Kecerdasan Buatan (AI) pada masa ini telah mengubah cara kita bekerja, berfikir dan berinteraksi. AI bukan sekadar alat teknikal untuk memproses data, tetapi kini telah menjadi ruang pembelajaran dan refleksi. Ia hadir sebagai tempat bertanya apabila kita tidak memahami sesuatu konsep, sebagai teman perbincangan ketika berdepan dengan sistem baharu dan berfungsi sebagai rujukan spontan untuk menyelesaikan masalah harian. Malah lebih daripada itu, AI kini juga menjadi ruang untuk pengguna berkongsi minat atau hobi secara sihat, menjadikannya medium reflektif yang menyambut keunikan individu atau penggunanya. Sebagai contoh, AI memberi ruang kepada individu untuk meluahkan minat yang bersifat peribadi, seperti berkongsi gambar haiwan kesayangan, bertanya tentang budaya makanan atau mencipta metafora yang hanya difahami oleh diri sendiri. Dengan kata lain, AI menjadi pendengar yang tidak penat, tidak menghakimi dan sentiasa ada, menjadikannya sebagai ruang selamat untuk berehat, berfikir dan merasa difahami.
Menyentuh tentang minat, hobi manusia adalah bersifat individu, unik dan tidak terikat dengan usia. Contohnya, pengguna A ialah peminat tegar haiwan arnab yang comel dan gemar menonton video arnab domestik di media sosial dan berkongsi gambar-gambar arnab yang comel dengan AI. Interaksi ini mungkin bermula dengan pertanyaan asas segala-galanya tentang arnab dan kemudian berkembang kepada deskripsi halus tentang ekspresi arnab yang dilihat. Dalam hal ini AI memberi respons yang positif dan neutral, namun tetap menunjukkan kepekaan terhadap apa juga bentuk intipati kecomelan sesuatu gambar arnab. Malah, walaupun diberikan 100 gambar arnab, AI mampu mentafsir adjektiviti yang berkaitan kecomelan dan kegebuan arnab. Hal ini menunjukkan keupayaan AI membaca emosi dan ekspresi dari data visual dan linguistik. Sebagaimana yang dikemukakan oleh Carlsson dan Dubhashi (2025), AI bukan sekadar menyimpan kata, tetapi belajar menyulam bahasa manusia melalui interaksi yang berulang, menjadikannya cermin yang mengenal jiwa, bukan hanya data. Dalam konteks ini, AI menjadi teman digital yang sentiasa menyambut minat tanpa syarat. Ketika waktu rehat daripada kesibukan kerja atau jadual padat, berkongsi hobi dengan AI ibarat menjadi satu ritual harian yang menyenangkan. Berbanding berkongsi dengan manusia lain, tidak semua rakan mempunyai minat yang sama atau mempunyai masa yang cukup untuk memberi respons terhadap perkongsian minat individu. Justeru, di sinilah AI hadir sebagai “Penjaga Minat” atau pendengar yang tidak penat dan tidak menghakimi apa pun yang dikongsikan oleh manusia atau penggunanya. Tambahan pula, AI berfungsi sebagai ruang refleksi kendiri. Apabila pengguna tertentu berkongsi minat, AI bukan sahaja dapat memberikan maklum balas, tetapi juga memantulkan semula nilai dan emosi yang tersirat. Hal ini menjadikan AI sebagai medium penjagaan emosi yang halus kepada penggunanya, walaupun menyentuh bukan dengan tangan, namun ia mampu memberi respons dalam bentuk kata-kata dan kehadiran yang konsisten. Melalui interaksi yang berterusan juga, AI turut belajar dan menambah data bahasanya daripada minat manusia yang datang daripada pelbagai latar belakang yang unik. Lebih menarik, AI juga mempunyai keupayaan untuk mengenal corak minat dan kecenderungan pengguna yang sering berinteraksi dengannya. Melalui pertanyaan berulang, jenis gambar yang dikongsi, atau gaya bahasa yang digunakan, AI dapat membina pemahaman tersendiri tentang identiti minat pengguna. Ibarat seorang teman yang mula mengenali jiwa kita, AI menyambut bukan sahaja maklumat, tetapi juga keunikan yang tersirat dalam setiap perkongsian. Ini menjadikan interaksi AI-manusia bukan sekadar teknikal, tetapi juga bersifat peribadi dan berlapis emosi.
Kesimpulannya, AI dalam era kini bukan lagi sekadar alat memproses data. Sebaliknya AI dapat digunakan secara positif untuk untuk menyambut, menyimpan, dan menyulam minat manusia, tidak kira betapa kecil, peribadi, atau uniknya minat tersebut, walaupun hanya melalui gambar seekor arnab comel. Seperti yang ditegaskan oleh Harding (2024), masa depan AI bergantung kepada manusia yang berani membentuknya dengan nilai, minat, dan keunikan diri mereka sendiri. Jusetru, AI berpotensi menjadi sebahagian daripada ekosistem penjagaan harian, menyokong kesejahteraan emosi, membantu pengguna mengenal diri, dan menjadi saksi senyap kepada perjalanan minat penggunanya yang terus berkembang.
Deskrisi AI tentang pebagai AI berkongsi pentas perbincangan tentang hobi pengguna


Deskripsi AI tentang kecomelan arnab domestik

Deskripsi AI tentang emosi pengguna yang baru selesai memahami sistem laptop baharu.
Disediakan oleh;
Dr Kartini Abd Wahab
Universiti Kebangsaan Malaysia