Wadah ICT

Kecerdasan Buatan (AI) & Dunia Mikrobiologi

Dunia mikrobiologi yang penuh misteri kini diterokai dengan lebih luas dengan adanya kecerdasan buatan (AI) yang menjadi ‘mata’ dan ‘otak’ tambahan kepada saintis untuk memahami alam mikroskopik ini. Revolusi di era digital ini yang dipacu AI telah membantu menangani cabaran mikrobiologi di bidang kesihatan, alam sekitar dan pertanian dengan lebih pantas dan tepat.

  1. Pengenalpastian Patogen Bayangkan bakteria berbahaya dalam makanan atau air boleh dikenalpasti dalam masa yang singkat, itulah yang dilakukan AI. Dengan menganalisis data genetik, AI boleh mengenal pasti patogen seperti E. coli atau Salmonella dengan pantas. Di hospital, teknologi ini mempercepat diagnosis jangkitan, membolehkan rawatan lebih awal dilakukan dan mampu menyelamatkan nyawa. Dalam pemantauan alam sekitar, AI membantu mengawal kualiti air, tanah dan udara dengan mengesan pencemaran mikrob secara masa nyata.
  2. Meneroka Fungsi Mikrob & Data Genomik – Setiap mikrob mempunyai identiti genetik yang unik. AI berupaya menganalisis berjuta-juta data genomik untuk memahami fungsi mikrob seperti mikrob bermanfaat untuk pencernaan,  kesuburan tanah dan pertumbuhan tanaman, atau berkebolehan menghasilkan bahan berguna seprti enzim, biosurfaktan dan biopolimer untuk industri. AI telah membongkar rahsia mikrob yang sebelum ini terlalu kompleks untuk difahami.
  3. Meramal Komponen Mikrob untuk Aplikasi Praktikal – Apa yang berlaku jika kita boleh meramal mikrob mana yang bersesuaian untuk membersihkan tumpahan minyak atau yang boleh meningkatkan hasil tanaman? AI kini digunakan untuk meramal komponen dan sifat mikrob bagi aplikasi dalam pertanian (baja bio), industri (bio-bahan) dan alam sekitar (pemulihan ekosistem). Ini menjadikan proses pencarian penyelesaian bersifat hijau lebih berkesan.
  4. Melawan Wabak & Pembangunan Vaksin – Pengalaman pandemik COVID-19 mengajar kita betapa pentingnya ramalan awal. AI boleh menganalisis data global untuk meramal penyebaran penyakit, mengesan mutasi virus dan membantu pembangunan vaksin. Dengan memahami bagaimana mikrob bermutasi, AI juga membantu saintis mengenal pasti sasaran ubat yang tepat untuk melawan bakteria rintang antibiotik, salah satu ancaman kesihatan terbesar dunia. AI telah mengubah landasan kawalan penyakit berjangkit, dengan meningkatkan diagnosis pantas dan penemuan antibiotik. Kaedah berasaskan AI seperti pembelajaran mesin dan pembelajaran mendalam membantu dalam pengesanan patogen, peramalan kerintangan dan pencarian sasaran ubat. Alatan ini menambah baik pengurusan antibiotik dan mengenal pasti sebatian efektif seperti peptida antimikrob dan molekul kecil. 

Jadi, apakah masa depan mikrobiologi yang diterajui AI? AI bukan pengganti saintis, tetapi rakan yang memperkukuhkan kemampuan kita. Dari makmal hingga ke ladang, dari klinik ke alam sekitar, kolaborasi manusia-AI ini membuka era baru mikrobiologi yang lebih selamat, sihat dan mampan.Aplikasi kecerdasan buatan di dalam bidang Mikrobiologi

Disediakan oleh:
Wan Syaidatul Aqma Wan Mohd Noor
Jabatan Sains Biologi & Bioteknologi, Fakulti Sains & Teknologi

(Visited 16 times, 1 visits today)