Wadah ICT

Tentukan Duniamu, Fahami Algoritma AI

Kecerdasan Buatan (AI) bukan lagi teknologi masa depan, ia adalah realiti masa kini. Pagi dimulakan dengan notifikasi, pilihan melalui cadangan dan kandungan yang disusun khas untuk kita. Inilah kuasa halimunan yang sedang bekerja tanpa henti, iaitu algoritma AI. Ada yang menyangka AI hanyalah tentang robot atau perisian canggih yang perlu dibuka untuk berfungsi. Hakikatnya, AI umpama udara digital yang disedut setiap hari.

Algoritma ialah satu set arahan matematik dan logik yang membolehkan komputer mengenal pasti corak dalam sejumlah besar data. Setiap kali membuat carian, menonton video, menekan “like”, atau berhenti lama pada sesuatu kandungan, ia akan menjadi data yang dianalisis oleh sistem. Melalui pembelajaran mesin, sistem akan meramal kandungan yang berpotensi menarik perhatian pengguna, lalu menyusunnya di bahagian atas paparan. Melalui pengecaman pertuturan pula AI akan cuba memahami kata kunci, konteks, minat dan niat kita. Setiap interaksi dalam dunia digital sebenarnya sedang melatih algoritma tersebut untuk menjadi lebih pintar memahami pengguna.

Fungsi ini ada di mana-mana. Sama ada kita memilih untuk tidak menggunakan ChatGPT, atau cuba untuk setia dengan nota bertulis tangan, dunia sekeliling tetap dipacu oleh algoritma. Cadangan keputusan, berita dalam telefon pintar, malah arus maklumat yang sampai ke pengetahuan kita, semuanya telah disaring oleh kecerdasan buatan ini.

Ajaib, tetapi dalam masa yang sama ia juga berbahaya. “We are what we read”. Apa yang kita pernah cari, akan mencari kita kembali dengan lebih hebat. Jika sering mencari kemajuan dalam bidang kepakaran, algoritma akan menghidangkan lebih banyak inovasi dan ilmu baru. Bahayanya, jika sering terperangkap dalam mencari berita-berita sensasi, sedih melampau, konflik atau kegagalan sistem, algoritma akan menganggap itulah ‘dunia’ yang kita mahukan. Justeru, dunia digital setiap pengguna diolah menjadi unik, lantas membentuk realiti maya yang berbeza bagi setiap individu. Ini membina ruang gema di mana AI akan memastikan kita hanya melihat apa yang kita suka lihat, sehingga dunia menjadi semakin sempit mengikut apa yang kita klik. Pengetahuan adalah kuasa, namun ia tidak semestinya membawa ketenangan. Maklumat bersifat negatif seperti provokasi, ketakutan tentang masa depan atau rantaian berita palsu, malangnya mempunyai daya tarikan (engagement) yang lebih tinggi dalam algoritma AI.

Apabila input negatif ini menguasai paparan digital, ia akan mula meresap ke dalam minda. Gangguan emosi ini boleh menyebabkan keletihan mental, mengurangkan fokus, dan akhirnya menghalang potensi kita untuk berinovasi dan maju ke hadapan. Keadaan ini melemahkan semangat untuk bertindak positif dan mencipta perubahan, menjadikan kita pasif dalam menghadapi cabaran sebenar. Muncul rasa tak tenang, risau yang tidak menentu, dan ketakutan terhadap ancaman dunia ini, walhal kita sebenarnya sedang duduk dalam kebimbangan yang dicari sendiri.

Oleh itu, jangan benarkan unsur negatif memasuki ‘dunia’ kita secara percuma. Algoritma boleh dilatih semula dalam membentuk paparan kehidupan digital kita. Pilih input, berhenti klik berita yang hanya menambah kegusaran tanpa menawarkan solusi. Gunakan carian untuk mencari ilmu, inspirasi dan kandungan yang membina dan menenangkan. Jika kita faham, AI bukan satu kuasa yang mengawal, tetapi sebagai alat yang boleh dibentuk selaras dengan nilai, prinsip dan etika yang kita pegang. Dunia digital berkanvaskan AI adalah cermin kepada apa yang kita berikan perhatian. Jika memilih untuk mengisi dunia perkara bermanfaat dan positif, maka itulah yang akan dipulangkan oleh AI kepada kita, dan sebaliknya. Meskipun algoritma AI ini canggih, manusia yang memegang suis utama.

Skrin telefon dan komputer menjadi “jendela dunia” yang sentiasa terbuka. Namun begitu, apa yang dilihat setiap hari sebenarnya bukan berlaku secara kebetulan. Ia dibentuk oleh pilihan kita sendiri. Setiap interaksi kecil itu perlahan-lahan membentuk aliran maklumat yang mengisi ruang fikiran. Pilihan itu menentukan suasana dunia kecil yang mengisi minda kita. Tanya diri kembali, adakah paparan digital kita hari ini memberi lebih inspirasi, atau sekadar menambah beban perasaan tanpa disedari?

Oleh:
Zaliha binti Wahid
zaliha@ukm.edu.my
JKMP, FKAB

(Visited 35 times, 2 visits today)