Berfikir, Bermalas, atau Berserah? Pelajar Hantu dan Krisis Kehadiran Manusia dalam Era Ejen AI
Pernahkah anda terfikir, bagaimana jika kecanggihan teknologi masa depan yang kita bina ini akhirnya meminggirkan peranan manusia itu sendiri? Dalam menelusuri arus Pendidikan Digital dan Teknologi Lanjutan, kita kini sedang beralih daripada era Kecerdasan Buatan Generatif (Gen AI), yang hanya menjawab apabila ditanya, kepada era AI Ejen (Agentic AI), yang mampu bertindak dan mencapai matlamat secara autonomi (Bozkurt et al. 2026). Kemunculan teknologi canggih ini memperkenalkan satu fenomena baharu di institusi pengajian tinggi, iaitu “Pelajar Hantu” (Ghost Student). Pelajar Hantu ialah sebuah proksi digital di mana Model Bahasa Besar (LLM) bertindak sebagai “minda,” manakala pelayar AI (AI browser) berfungsi sebagai “tubuh” yang mengemudi Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS). Ejen pintar ini boleh log masuk, menonton video, dan menyiapkan tugasan secara automatik dengan meniru tingkah laku manusia, menjadikan kehadiran dan penglibatan pelajar sebenar, tidak lagi diperlukan. Anjakan ini selari dengan “Teori Kognisi Tiga Sistem,” di mana AI bertindak sebagai “Sistem 3” iaitu entiti pemikiran buatan luaran yang bukan sekadar membantu, malah mampu menggantikan sepenuhnya proses kognitif manusia (Shaw & Nave, 2026).
Teori Kognisi Tiga Sistem mencadangkan bahawa kognisi manusia kini tidak lagi terhad di dalam biologi otak (in vivo), tetapi telah berkembang ke luar kepada infrastruktur kecerdasan buatan (in silico). Sistem 3 ditakrifkan oleh sifatnya yang luaran, automatik, dinamik, dan berasaskan data (Shaw & Nave, 2026). Keunikan Sistem 3 terletak pada keupayaannya bertindak balas terhadap input manusia secara masa-nyata, namun ketepatannya sangat bergantung kepada taburan data Latihan, menjadikannya sangat “rapuh” (brittle) dalam tugasan yang bersifat terbuka. Berikut adalah perbandingan struktur tiga enjin pemikiran kita:
Manusia cenderung mempercayai Sistem 3 kerana ia memberikan justifikasi berasaskan data yang sering kita tersalah anggap sebagai logik murni, sedangkan ia hanyalah simulasi statistik.
Melihat daripada lensa etika & kesejahteraan, kebergantungan melampau kepada AI Ejen ini membawa kepada satu krisis psikologi dan etika yang dipanggil “Penyerahan Kognitif” (Cognitive Surrender). Ini berlaku apabila manusia memilih jalan mudah dengan menerima bulat-bulat jawapan yang dijana oleh AI tanpa sebarang penilaian kritikal atau keraguan, lantas mengetepikan fungsi pemikiran analitik dan logik akal mereka sendiri. Di universiti, proses pembelajaran sepatutnya melibatkan usaha dan cabaran yang membina daya fikir pelajar. Namun, apabila cabaran ini diserahkan kepada proksi/wakil digital, pelajar terperangkap dengan “Hutang Kognitif” (Cognitive Debt), iaitu suatu defisit neurologi di mana tugasan berjaya disiapkan dengan cemerlang, tetapi tiada sebarang ilmu atau perubahan intelek yang berlaku pada diri pelajar (Bozkurt et al. 2026). Hal ini secara tidak langsung menghakis nilai kepercayaan terhadap sijil akademik dan melahirkan graduan yang tidak seimbang dari segi kebolehan berfikir.
Dari sudut keselamatan ICT pula, pelayar AI Ejen mendedahkan infrastruktur digital institusi pendidikan kepada ancaman keselamatan dan privasi yang sangat kritikal. Pelayar AI ini berfungsi ibarat parasit digital yang menggunakan kelayakan log masuk (credentials) pelajar yang sah untuk beroperasi di dalam sistem (Bozkurt et al. 2026). Memandangkan aktiviti ejen ini menyerupai tingkah laku manusia sebenar, alat pengawasan sedia ada (seperti perisian proctoring) gagal mengesan pencerobohan ini. Keadaan menjadi lebih parah menerusi budaya “Bawa Ejen Anda Sendiri” (Bring Your Own Agent – BYOA). Semasa ejen ini navigasi laman web, ia mampu menyedut pelbagai maklumat yang terpapar seperti gred rahsia, mesej peribadi, dan rekod kewangan tanpa disedari, yang akhirnya mewujudkan kebocoran privasi data yang membelakangkan akta perlindungan data global. Ejen AI ini juga boleh menjadi mangsa kepada arahan tersembunyi yang berniat jahat (prompt injection) dari laman sesawang, sekali gus menyebabkan maklumat penting menggunakan identiti pelajar yang sah, dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Bagi menjamin kelestarian sistem pendidikan tinggi dan memelihara warisan intelektual manusia, kita tidak boleh sekadar bergantung kepada usaha teknikal seperti menyekat laman sesawang atau menambah baik sistem pengawasan. Strategi pemulihan harus ditumpukan kepada cara pengajaran (pedagogy). Pendidik perlu beralih ke arah penilaian yang “direka untuk kehadiran manusia” (designing for human presence) (Bozkurt et al. 2026). Ini bermakna institusi pendidikan perlu mengurangkan penilaian berbentuk penyerahan fail semata-mata, dan lebih mengutamakan proses pembelajaran seperti peperiksaan lisan, pembentangan secara langsung yang menuntut jawapan spontan dan perbincangan dialogik. Penilaian sebegini kebal terhadap penipuan AI kerana ia menuntut suara manusia sebenar. Dengan menggalakkan literasi digital yang mendalam, kita dapat membentuk keseimbangan yang memastikan teknologi canggih ini kekal sebagai alat sokongan (seperti konsep perkongsian beban kognitif) dan bukannya alat yang mengambil alih terus pemikiran kita (Shaw & Nave, 2026).
Berita baiknya, kajian membuktikan bahawa insentif dan maklum balas segera dapat melemahkan penyerahan kognitif. Ini bermakna, sistem pendidikan kita memerlukan isyarat ralat yang segera, bukan sekadar audit berkala di hujung tahun. Langkah ini sangat penting bagi menjamin kedaulatan intelek dalam pendidikan tinggi serta keterlibatan manusia terus menjadi sebahagian daripada proses pemikiran dan perolehan ilmu. Kita sedang berada di persimpangan jalan dalam evolusi pemikiran termaju. Integrasi AI dalam kehidupan adalah satu kepastian, namun autonomi pemikiran tidak seharusnya dikorbankan. Kunci literasi digital masa depan bukan pada kepantasan algoritma, tetapi pada ketajaman pengawasan manusia terhadap algoritma tersebut. Jangan biarkan “otot” kritis anda mengecut (atrophy) hanya kerana kemudahan algoritma. Masa depan bukan milik mereka yang mempunyai AI terpantas, tetapi mereka yang tahu bila untuk mengaktifkan semula Sistem 2 (pemikiran reflektif) untuk mencabar Sistem 3, di samping mengekalkan ‘kehadiran’ diri bagi menjamin intelek yang berdaulat.
References
Bozkurt, A., Crompton, H., & Fell Kurban, C. (2026). The devil is in the det[ai]ls: AI agents, ghost students, and the crisis of verified presence in an agentic AI world. Open Praxis, 18(1), 1–12.
Shaw, S. D., & Nave, G. (2026). Thinking fast, slow, and artificial: How AI is reshaping human reasoning and the rise of cognitive surrender. Working paper, The Wharton School, University of Pennsylvania.
Kata Kunci: Pelajar Hantu (Ghost Student), Teori Kognisi Tiga Sistem (Tri-System Cognitive Theory), Penyerahan Kognitif (Cognitive Surrender), Literasi Digital, Pendidikan Mampan
Penulis : Mohd Nor Akmal Khalid (akmal@ukm.edu.my)

