Penipuan Digital: Apabila Teknologi Gagal Menapis Manipulasi Emosi
Pernahkah kita terfikir sejenak, betapa rapuhnya dunia digital yang kita huni hari ini?. Dalam keterujaan kita memanfaatkan kepantasan 5G serta kemudahan AI yang serba boleh, tanpa sedar kita sebenarnya sedang mendedahkan diri kepada pelbagai ancaman teknologi yang jauh lebih kompleks daripada apa yang kita bayangkan. Kita sering menyangka bahawa dengan memasang perisian antivirus paling mahal atau menggunakan imbasan biometrik yang paling canggih, data dan privasi kita sudah terselamat sepenuhnya. Namun, hakikatnya dalam era “Kuasa Digital, Impak Global” ini, ancaman yang paling besar bukan lagi datang dalam bentuk kod virus yang merosakkan cakera keras, tetapi dalam bentuk kata-kata yang merosakkan pertimbangan waras. Sejarah keselamatan ICT sedang beralih arah; daripada peperangan antara mesin dengan mesin, kepada peperangan antara manipulasi psikologi dengan ketahanan emosi manusia.
Bercakap tentang keselamatan siber, perkara pertama yang biasanya muncul dalam fikiran kita mestilah sistem komputer yang canggih, kata laluan yang panjang, atau sistem imbasan wajah yang nampak hebat macam dalam filem. Tapi, bila dah masuk tahun 2026 ini, kita mula sedar satu hakikat yang agak pahit. Sebenarnya, lubang paling besar dalam sistem keselamatan kita bukannya pada perisian yang mahal, tapi ada pada sekeping hati yang mudah tersentuh dalam dada setiap manusia.
Sedar atau tidak, penjenayah zaman sekarang sudah tidak lagi pening kepala mahu memecah masuk kod rahsia yang kebal. Mereka sudah beralih kepada satu teknik yang jauh lebih lama usianya daripada komputer itu sendiri, iaitu memanipulasi naluri kita. Mereka tidak perlu rempuh dinding api digital atau firewall yang tebal. Ironinya, mereka boleh memanjat masuk melalui rasa cemas, rasa simpati atau rasa teruja yang kita simpan dalam diam.
Sering kali kita tertanya-tanya, bagaimana individu yang berpendidikan tinggi boleh terperangkap dalam jerat penipuan siber yang nampak mudah? Jawapannya ada pada “kejuruteraan sosial”. Dalam dunia keselamatan ICT, teknik ini dianggap sebagai seni memanipulasi psikologi untuk mencuri maklumat sulit. Penjenayah tidak lagi menyerang komputer, sebaliknya mereka “mengeksplotasi” cara manusia berfikir.
Apabila seseorang itu dalam keadaan stres atau terdesak, otak biasanya akan mengabaikan segala protokol keselamatan yang kita tahu. Contohnya, apabila kita mendapat emel dengan tulisan sebegini: “Akaun anda akan dipadam dalam masa sepuluh minit”. Secara automatik, kita akan berasa panik. Di sinilah logik kita mula hilang. Apabila emosi sudah mengawal keadaan, teknologi secanggih mana pun tidak akan mampu menghalang kita daripada tertekan pautan yang salah.
Melangkah lebih jauh ke tahun 2026, cabaran ini menjadi lebih parah dengan adanya AI yang boleh meniru identiti manusia dengan hampir sempurna. Jika dahulu penipuan cuma menggunakan teks yang tatabahasanya berterabur, sekarang kita berhadapan dengan video dan audio Deepfake. Bayangkan, jika telefon anda berbunyi dan terpampang wajah rakan setugas di tempat kerja atau ahli keluarga yang merayu meminta tolong. Walaupun itu cuma mainan algoritma, logik akal kita biasanya akan lumpuh kerana emosi sudah mengambil alih tindakan kita.
Persoalannya, bagaimana kita mahu membina tembok pertahanan dalam dunia yang serba tidak menentu ini? Jawapannya mudah. Ia bukan sekadar menambah sistem keselamatan teknikal, tetapi kita perlu membina “perisian” pemikiran yang lebih kritikal. Kita perlu faham bahawa di dalam setiap interaksi digital, perlu ada satu ruang untuk kita berhenti sekejap sebelum membuat sebarang tindakan. Ruang inilah yang perlu dimanfaatkan untuk menilai maklumat secara kritis dengan bertanya kepada diri sendiri sama ada maklumat tersebut sahih atau sekadar bertujuan menimbulkan kebimbangan dan kekeliruan
Langkah paling berkesan ialah dengan memupuk sikap berhati-hati dan sentiasa berfikir secara rasional. Jika menerima panggilan kecemasan yang meminta wang, jangan terburu-buru bertindak mengikut perasaan. Sebaliknya, cuba gunakan saluran komunikasi lain untuk mengesahkan kesahihan panggilan tersebut. Amalan menyemak semula atau double-checking perlu dijadikan budaya dan tabiat harian. Kita tidak boleh lagi mempercayai sepenuhnya apa yang terpapar pada skrin telefon kerana ia mungkin hanyalah pentas lakonan digital yang dirancang dengan begitu licik.
Ringkasnya, kita perlu menyedari bahawa teknologi hanyalah sebuah alat. Benteng pertahanan yang sebenar terletak pada kebijaksanaan dan pertimbangan manusia sendiri. Literasi digital bukan sekadar keupayaan menggunakan gajet atau aplikasi, tetapi juga kebolehan untuk berfikir secara kritis dan mempersoalkan kesahihan sesuatu maklumat.
Kita perlu membina “antivirus” dalam diri sendiri dengan membudayakan pemikiran yang rasional, berhati-hati dan tidak mudah dipengaruhi oleh emosi. Dalam dunia yang semakin dipacu oleh kuasa digital, pertahanan terbaik bukanlah semata-mata bergantung kepada teknologi atau kod pengaturcaraan yang kompleks, tetapi keupayaan untuk kekal tenang dan membuat keputusan secara bijaksana ketika berdepan dengan pelbagai bentuk manipulasi emosi.
Pada akhirnya, kebijaksanaan emosi inilah yang akan menentukan sama ada kita mengawal teknologi atau menjadi mangsa kepada kecanggihannya.
Oleh:
Nurul Izzatty Ismail
Noor Faezah Juhari
Masrina Nadia Mohd Salleh