DARI BIASA KE LUAR BIASA: PEMBANTU DIGITAL 24 JAM YANG MENGUBAH CARA KITA BERFIKIR DAN BEKERJA
Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina1
* Penulis Koresponden : kamaliana@ukm.edu.my
Kata Kunci: Pembantu, Kreatif, Masa, Fikiran, Pengurusan
Seronoknya Ada Pembantu
Ada ketika, aktiviti harian kita terlalu padat dengan segala aktiviti dianggap penting, sehingga munculnya di minda kita ungkapan ‘seronoknya ada pembantu’. Kerja perlu siap, pelajar atau pekerja perlu dibimbing, setiap mesyuarat perlu hadir, laporan perlu disemak, e-mel perlu dijawab, dan dalam masa yang sama kehidupan peribadi serta keluarga juga perlu diurus. Yang mana satu dahulu perlu diselesaikan dalam satu hari?
Kadang-kadang bukan kita tidak tahu apa yang perlu dibuat, tetapi terlalu banyak perkara berlaku serentak sehingga fikiran menjadi penat sebelum kerja benar-benar bermula. Wujudnya, cabaran menyeimbangkan pengurusan kerjaya, keluarga dan juga emosi diri sendiri. Di sinilah, kita selalu mengimpikan, alangkah gembiranya, jika ada pembantu setia sebagai orang kanan. Tetapi, kemungkinan kekangan kewangan dan masa, menyebabkan impian ini terkubur sepi.

Namun sejak beberapa tahun ini, impian ini menjadi realiti. Terima kasih kepada pencipta teknologi yang berusaha menjadikan semua kini bukan mimpi. Lebih menarik, teknologi ini bukan hanya membantu orang yang sudah mahir, kreatif atau yakin bersuara. Ia juga memberi ruang kepada orang biasa iaitu sejenis pendiam, kurang yakin, atau yang merasakan idea mereka tidak cukup bernas, menjadi seorang yang luar biasa.
Dengan bantuan Model Bahasa Besar (Large Language Model, LLM) seperti Gemini dan NotebookLM, idea yang pada awalnya berselerak boleh disusun menjadi lebih jelas. Ayat yang biasa, boleh diperhalusi menjadi lebih bernas. Cadangan yang kecil, boleh dikembangkan menjadi inovasi. Dalam diam, teknologi ini membantu seseorang menjadi lebih berani untuk mencuba, lebih yakin untuk berkongsi, dan lebih menonjol dalam cara berfikir serta bekerja.
Dalam keadaan inilah kita mula melihat teknologi digital. Gemini dan NotebookLM bukan sekadar aplikasi kecerdasan buatan, tetapi boleh menjadi pembantu digital yang sentiasa tersedia untuk Menyusun idea dan melancarkan urusan harian. Namun, seperti mana-mana pembantu yang baik, hasilnya sangat bergantung kepada panduan yang kita berikan. Kitalah ‘tuan’ teknologi ini. Jika arahannya kabur, hasilnya juga akan kabur. Inilah kemahiran baharu yang semakin penting dalam alaf digital ini, iaitu bukan sekadar tahu menggunakan teknologi, tetapi cerdik memberi arahan yang betul kepada teknologi.
Dalam pengajaran, Gemini banyak membantu ahli akademik melihat semula cara sesuatu kandungan disampaikan kepada pelajar. Konsep 5W1H sangat diamalkan ketika ini. Sebagai tenaga pengajar, kita mungkin sudah faham sesuatu topik, tetapi cabarannya ialah bagaimana untuk menjadikan topik itu dekat dengan kehidupan pelajar. Kadang-kadang pengajar mempunyai idea kasar untuk satu kuliah, tetapi belum nampak aliran yang sesuai. Dengan Gemini, kita boleh minta cadangan susunan topik, aktiviti refleksi, contoh kes, soalan perbincangan dan cara menjadikan kelas lebih interaktif.
Apa yang paling dihargai bukanlah kerana Gemini sebagai medium menyiapkan kerja untuk kita, tetapi kerana ia membantu mempercepatkan dalam fasa permulaan kerja. Daripada melihat skrin kosong dan tertanya-tanya bagaimana mahu menyusun modul, kita boleh mula dengan draf awal, kemudian menilai, membaiki dan menyesuaikan mengikut konteks tugasan. Di situlah kita mulai sedar, aplikasi kecerdasan buatan bukan menggantikan peranan pengajar atau pekerja, sebaliknya, ia memberi ruang kepada pengajar untuk belajar bagaimana pelajar atau orang lain berfikir, memahami dan mengaplikasikan ilmu.
Dalam konteks pengajaran dan inovasi pendidikan, ekosistem Google membuka ruang yang luas untuk menjadikan proses pembelajaran lebih tersusun, interaktif dan mudah dicapai. Ekosistem Google melalui aplikasi seperti Google Sheets, Forms, Slides dan Sites, membantu menjadikan pembelajaran lebih tersusun, interaktif dan visual tanpa menggantikan kefahaman asas atau kaedah manual. Gemini pula berperanan mempercepatkan pembangunan idea, serta membantu menilai keberkesanan pembelajaran dari aspek kefahaman, kemudahan penggunaan, visualisasi dan pengalaman pelajar. Gabungan semua teknologi digital ini dapat membantu penambahbaikan dalam inovasi pengajaran menjadi lebih sistematik dan bermakna.
Dalam penyelidikan pula, NotebookLM memberi pengalaman yang berbeza. Sebagai penyelidik, kita sering berdepan dengan banyak dokumen. Membaca semuanya memerlukan masa dan tenaga. NotebookLM membantu kita untuk berkomunikasi dengan dokumen tersebut. Kita boleh minta ringkasan, mengenal pasti tema utama, membandingkan isi penting atau bertanya soalan khusus berdasarkan dokumen yang telah dimuat naik. Teknik ‘snow ball’ atau ringkasan berperingkat boleh digunakan di sini. Selain itu, ia membantu juga menghasilkan kod yang bernilai untuk pembangunan produk atau sistem.
Jika dilihat dari sudut pengurusan kualiti, penggunaan teknologi digital seperti Gemini, NotebookLM dan ekosistem Google ini berpotensi menyokong penambahbaikan berterusan dan prinsip Lean dalam institusi pendidikan. Lean dalam pendidikan menekankan pengenalpastian dan pengurangan aktiviti yang tidak memberi nilai, termasuk kelewatan, pengulangan kerja, pencarian maklumat yang tidak tersusun dan pemprosesan berlebihan. Pengurangan pembaziran ini dapat memberikan kebebasan kepada staf untuk digunakan dengan aktiviti yang lebih bernilai termasuk meningkatkan aktiviti pengajaran, perkhidmatan, dan penyelidikan.
Dalam konteks beban mental pula, teknologi ini membantu mengurangkan beban kognitif yang tidak perlu. Kadang-kadang keletihan bukan datang daripada kerja yang terlalu sukar, tetapi daripada terlalu banyak perkara kecil yang perlu diingat, disusun dan diproses serentak. Contohnya, di sinilah wujudnya Google Calendar/Task, pembantu kita yang lain. Kita tidak perlu ingat tarikh, tugasan, isi mesyuarat, dan lain-lain. Apabila semua ini bertindan, kapasiti mental menjadi terbeban. Emosi terganggu apabila kepala berserabut.


Rajah 2 menunjukkan tugasan-tugasan yang boleh dibuat oleh ekosistem digital ini. Namun, penggunaan aplikasi ini dalam kerja perlu dilakukan dengan berhati-hati. Tanggungjawab kerja masih berada pada manusia, iaitu dalam menyemak fakta, menilai kesesuaian sumber, dan memastikan ketepatan konteks sebenar. Aplikasi ini ialah pembantu yang sangat rajin, tetapi bukan penilai terakhir. Keputusan, pertimbangan dan nilai kerja tetap perlu datang daripada kita. Kadang-kadang kita hanya perlukan seseorang, atau sesuatu, untuk membantu menyusun semula fikiran kita. Dalam hal ini, Gemini, NotebookLM serta ekosistem Google boleh menjadi seperti Rakan Seperjuangan yang membantu kita menyusun dengan lebih jelas.
Penutup
Terdapat kajian yang membangunkan tip rangka kerja gabungan ekosistem digital dalam penghasilan output yang baik. Secara asasnya, tip utama ialah memberikan arahan kerja yang jelas dengan menyatakan konteks, sasaran pembaca, gaya, tujuan dan format supaya hasil yang diperoleh lebih tepat. Hasil teknologi juga perlu disemak, diubah suai dan diperkaya dengan pengalaman serta suara sendiri agar tidak kehilangan nilai manusia. Dengan penggunaan yang bijak, teknologi digital bukan sahaja mengurangkan kekusutan minda, tetapi juga turut membina keyakinan dan menonjolkan kreativiti. Di sinilah kuasa digital benar-benar memberi impak. Bukan sahaja kepada sistem kerja, tetapi kepada cara manusia melihat potensi dirinya sendiri.
“Manusia itu istimewa”
Rujukan
[1] Hariyani, D., Hariyani, P., Mishra, S., & Sharma, M. K. (2025). A literature review on lean tools for enhancing the quality in the outcome-based education system. Thinking Skills and Creativity, 57, 101793. https://doi.org/10.1016/j.tsc.2025.101793
[2] Kasneci, E., Sessler, K., Küchemann, S., Bannert, M., Dementieva, D., Fischer, F., Gasser, U., Groh, G., Günnemann, S., Hüllermeier, E., Krusche, S., Kutyniok, G., Michaeli, T., Nerdel, C., Pfeffer, J., Poquet, O., Sailer, M., Schmidt, A., Seidel, T., Stadler, M., Weller, J., Kuhn, J., Kasneci, G. (2023). ChatGPT for good? On opportunities and challenges of large language models for education. Learning and individual differences, 103, 102274. https://doi.org/10.1016/j.lindif.2023.102274
[3] Lee, H. Y., Flecha, J. R. V., & Wu, T. T. (2026). Combining NotebookLM and Gemini Gems to Reduce Hallucination and Curriculum Misalignment in Programming Education: System Design and Early Evidence. In International Conference on Innovative Technologies and Learning (pp. 460-469). Cham: Springer Nature Switzerland.
✓ Artikel selesai
🤖 Bahan Pembelajaran Janaan AI
Jana slaid ringkas atau infografik daripada makalah ini menggunakan Claude, untuk memudahkan perkongsian atau ulang kaji.