PENGGUNAAN NOTEBOOKLM BAGI MEMPERKUKUH PEMBELAJARAN BERASASKAN PROJEK DALAM PENDIDIKAN KEJURUTERAAN
Wan Fathul Hakim Bin W ZamriΒΉ*
Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia1,
* Penulis Koresponden : wfathul.hakim@ukm.edu.my
Kata Kunci: Notebooklm; Visualisasi; Projek; Reka Bentuk
Kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) semakin memainkan peranan penting dalam mentransformasikan kaedah pengajaran dan pembelajaran, khususnya dalam bidang pendidikan kejuruteraan. Bidang ini bukan sahaja menekankan penguasaan teori, malah memerlukan pelajar membangunkan kemahiran menyelesaikan masalah, mereka bentuk produk, berfikir secara kritis dan bekerja secara kolaboratif melalui pendekatan pembelajaran berasaskan projek (Project-Based Learning, PBL). Seiring dengan perkembangan teknologi AI, pelbagai platform telah dibangunkan bagi menyokong proses pembelajaran yang lebih interaktif, sistematik dan berpusatkan pelajar.
Salah satu platform yang semakin mendapat perhatian ialah NotebookLM, iaitu aplikasi AI yang berupaya menganalisis dokumen, merumuskan maklumat serta menghasilkan visualisasi berdasarkan kandungan yang dimuat naik oleh pengguna. Berbeza dengan chatbot AI yang bergantung kepada pengetahuan umum, NotebookLM menghasilkan analisis berdasarkan sumber rujukan yang disediakan oleh pengguna. Pendekatan ini membolehkan dapatan yang lebih tepat, konsisten dan mengekalkan konteks asal dokumen, sekali gus menjadikannya sesuai digunakan dalam aktiviti pengajaran yang melibatkan analisis dokumen teknikal dan cadangan projek kejuruteraan.
Penggunaan NotebookLM dalam Menganalisis Cadangan Projek bagi Kursus Reka Bentuk Kejuruteraan Mekanikal
Dalam Semester 2 Sesi 2025/2026, NotebookLM telah digunakan secara menyeluruh dalam pengurusan kursus KKKM6933: Reka Bentuk Kejuruteraan Mekanikal. Kursus ini dikendalikan oleh tiga orang pensyarah yang membimbing pelajar Sarjana dalam membangunkan projek reka bentuk produk mekanikal. Struktur kursus melibatkan pelbagai aktiviti reka bentuk seperti penempatan fungsi kualiti (QFD), spesifikasi reka bentuk produk (PDS), analisis pesaing dan simulasi elemen terhingga (Finite Element Method), sebelum pelajar membangunkan produk akhir reka bentuk mekanikal.
Pada minggu ketiga pengajaran, enam kumpulan pelajar dikehendaki menghantar satu kertas cadangan projek berjumlah lima muka surat yang mengandungi tajuk projek, pengenalan, kajian kepustakaan, objektif, cadangan konsep inovasi dan novelti, metodologi, penutup serta rujukan. Pelajar yang mengikuti kursus ini terdiri daripada gabungan pelajar tempatan dan antarabangsa dari Malaysia, China dan Iraq. Kepelbagaian latar belakang akademik serta pengalaman profesional menjadikan proses perbincangan lebih dinamik, namun pada masa yang sama menimbulkan cabaran dalam memastikan semua pelajar memahami setiap cadangan projek yang dibentangkan.
Sebelum penggunaan NotebookLM, pembentangan cadangan projek lazimnya bergantung kepada teks dan lakaran ringkas yang disediakan oleh pelajar. Walaupun cadangan tersebut menerangkan idea asas dengan baik, kebanyakan konsep reka bentuk mekanikal agak sukar diterjemahkan hanya melalui lakaran dua dimensi. Akibatnya, pelajar yang bukan ahli kumpulan berkenaan menghadapi kesukaran untuk membayangkan mekanisme operasi, fungsi komponen serta inovasi yang dicadangkan. Keadaan ini turut mengehadkan perbincangan teknikal kerana sebahagian besar masa digunakan untuk memahami konsep asas produk.
Visualisasi Konsep Produk bagi Meningkatkan Kefahaman dan Perbincangan dalam Kelas
Bagi mengatasi kekangan tersebut, kesemua enam kertas cadangan telah dimuat naik ke dalam NotebookLM untuk dianalisis. Platform ini berjaya mengekstrak maklumat utama daripada setiap kertas cadangan dan menghasilkan rumusan yang lebih sistematik. Lebih penting lagi, NotebookLM dapat membantu menghasilkan visualisasi konsep berdasarkan penerangan yang terkandung dalam kertas cadangan. Walaupun visual tersebut masih memerlukan semakan oleh pensyarah, ia memberikan gambaran awal yang jauh lebih jelas berbanding lakaran asal yang disediakan oleh pelajar.
Enam cadangan projek yang dianalisis melibatkan pelbagai cadangan produk bagi aplikasi kejuruteraan mekanikal seperti ditunjukkan dalam Rajah 1, iaitu Height-Adjustable Multifunctional Transfer Chair, Smart Crib Auxiliary Sleep Robot, Portable Solar-Powered UV Water Purifier, Smart Paddy Dehusking Machine, Time-Based Single-Axis Intelligent Solar Panel Bracket, dan Intelligent Cart-Mounted Tennis Ball Collection and Sorting System.
Rajah 1: Visualisasi Konsep Produk bagi 6 kumpulan
Melalui NotebookLM, setiap projek berjaya divisualisasikan dalam bentuk yang lebih mudah difahami. Sebagai contoh, konsep Pemindahan Kerusi (Transfer Chair) dapat dipersembahkan dengan ilustrasi yang menunjukkan mekanisme bukaan kerusi, sistem pelarasan ketinggian dan kaedah pemindahan pesakit. Projek Penapis Air UV Mudah Alih Berkuasa Suria (Portable Solar-Powered UV Water Purifier) pula divisualisasikan dengan menunjukkan susunan sistem penapisan, ruang penyahjangkitan UV dan panel solar yang membekalkan tenaga kepada sistem. Begitu juga projek Mesin Kisar Padi Pintar (Smart Paddy Dehusking Machine), yang berjaya diterangkan melalui ilustrasi aliran pemprosesan padi daripada bahagian kemasukan sehingga proses pengasingan hasil. Kesemua visual ini membantu pelajar memahami fungsi produk secara menyeluruh tanpa perlu mentafsir penerangan teknikal yang panjang.
Penggunaan NotebookLM juga memberi impak yang besar kepada sesi slot pembentangan dalam kelas. Sebelum ini, setiap kumpulan hanya memberi tumpuan kepada projek masing-masing. Namun dengan adanya visualisasi yang dihasilkan berdasarkan kertas cadangan, semua pelajar dapat memahami keenam-enam projek dengan lebih cepat. Perbincangan kelas menjadi lebih bermakna kerana masa tidak lagi dihabiskan untuk menjelaskan konsep asas produk, sebaliknya boleh difokuskan kepada isu-isu reka bentuk kejuruteraan yang lebih mendalam seperti kebolehlaksanaan reka bentuk, pemilihan mekanisme, ergonomik, aspek keselamatan, pemilihan bahan, kaedah pembuatan serta potensi inovasi produk.
Impak NotebookLM terhadap Keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran Kursus KKKM6933
Selain meningkatkan kefahaman pelajar, NotebookLM turut membantu pensyarah dalam menguruskan proses pembelajaran. Sebagai salah seorang daripada tiga tenaga pengajar, pihak penulis bertanggungjawab mengendalikan sesi ulasan terhadap enam cadangan projek tersebut. Dengan bantuan NotebookLM, keseluruhan kertas cadangan dapat diteliti dengan lebih sistematik sebelum sesi pembentangan dijalankan. Ringkasan yang dihasilkan memudahkan pensyarah mengenal pasti objektif utama, elemen novelti, serta persoalan teknikal yang perlu dibincangkan bersama pelajar. Pendekatan ini meningkatkan kecekapan penyediaan bahan pengajaran dan memastikan sesi perbincangan lebih tersusun.
Satu lagi kelebihan utama NotebookLM ialah keupayaannya membantu menghasilkan slaid pembentangan secara automatik berdasarkan kertas cadangan yang dimuat naik. Contoh slaid daripada hasil analisa salah satu cadangan projek oleh pelajar ditunjukkan dalam Rajah 2. Pensyarah juga boleh menggunakan hasil analisis NotebookLM sebagai asas pembinaan bahan pengajaran. Kandungan utama kertas cadangan, ilustrasi konsep dan rumusan boleh digabungkan dalam bentuk persembahan yang lebih profesional. Walaupun suntingan akhir masih diperlukan bagi memastikan ketepatan teknikal dan kesesuaian dengan hasil pembelajaran kursus, masa penyediaan bahan pengajaran dapat dikurangkan dengan ketara.
Rajah 2: Contoh slaid pembentangan secara automatik berdasarkan kertas cadangan yang dimuat naik bagi projek Kumpulan 1
Dari perspektif pembelajaran, NotebookLM turut menyokong pendekatan pembelajaran kolaboratif (collaborative learning). Oleh kerana semua kumpulan dapat melihat visualisasi projek kumpulan lain, mereka bukan sahaja memahami idea masing-masing, malah memperoleh inspirasi daripada pendekatan reka bentuk yang berbeza. Hal ini menggalakkan budaya perkongsian ilmu, perbincangan kritikal dan penambahbaikan cadangan secara berterusan. Keadaan ini amat sesuai untuk kursus peringkat Sarjana yang menekankan pemikiran analitikal dan penyelesaian masalah kejuruteraan secara kreatif.
Walau bagaimanapun, penggunaan NotebookLM tidak menggantikan peranan pensyarah dalam proses pengajaran. Visual dan rumusan yang dihasilkan perlu disemak bagi memastikan ia benar-benar mencerminkan kandungan kertas cadangan yang dihantar oleh pelajar. Pensyarah masih bertanggungjawab mengesahkan ketepatan fakta, menilai aspek kejuruteraan, membimbing proses reka bentuk serta memberikan maklum balas profesional berdasarkan pengalaman dan pengetahuan bidang.
Penutup
Secara keseluruhannya, pengalaman menggunakan NotebookLM dalam pelaksanaan pembelajaran berasaskan projek menunjukkan bahawa platform ini mampu meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan kejuruteraan. Keupayaannya menganalisis kertas cadangan projek, menghasilkan rumusan yang sistematik, memvisualisasikan konsep reka bentuk serta membantu penyediaan bahan pembentangan telah memperkayakan pengalaman pembelajaran, khususnya dalam kursus yang menekankan pembangunan produk dan penyelesaian masalah kejuruteraan. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman pelajar terhadap cadangan projek kumpulan lain, malah membolehkan sesi perbincangan di dalam kelas memberi tumpuan kepada aspek yang lebih kritikal seperti inovasi reka bentuk, kebolehlaksanaan, pemilihan bahan, kaedah pembuatan dan potensi pembangunan prototaip. Pengalaman ini membuktikan bahawa NotebookLM berpotensi menjadi salah satu alat sokongan berasaskan kecerdasan buatan yang mampu memperkukuh pelaksanaan pembelajaran berasaskan projek dalam pendidikan kejuruteraan. Dengan penggunaan yang terancang dan bimbingan pensyarah yang berterusan, platform ini berupaya menyokong pembentukan graduan yang lebih kreatif, analitikal dan bersedia menghadapi cabaran industri pada era pendigitalan.
✓ Artikel selesai
🤖 Bahan Pembelajaran Janaan AI
Jana slaid ringkas atau infografik daripada makalah ini menggunakan Claude, untuk memudahkan perkongsian atau ulang kaji.