PENYELIDIKAN PANTAS & TEPAT: MENGUASAI NOTEBOOKLM DAN GEMINI MELALUI KERANGKA 5M
Hafika Ab Karim1, Mohd Effendi @ Ewan Mohd Matore2*
Fakulti Pendidikan, UKM,1, Fakulti Pendidikan, UKM 2
*Penulis Koresponden: effendi@ukm.edu.my
Kata Kunci: NotebookLM; Gemini; Kerangka 5M; Kecerdasan buatan generatif
Pengenalan
Kemunculan kecerdasan buatan generatif (AI generatif) telah mengubah cara penyelidik mengakses, mengurus dan memanfaatkan maklumat dalam penyelidikan akademik. Keupayaan teknologi ini dalam menjana teks, menganalisis maklumat serta menyokong proses pembelajaran dan penyelidikan telah membuka peluang baharu kepada penyelidik untuk bekerja dengan lebih cekap dan sistematik. Perkembangan ini turut mempengaruhi penerimaan pengguna terhadap AI generatif dalam konteks pendidikan tinggi di Malaysia Walau bagaimanapun, UNESCO (2023) menegaskan bahawa penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan dan penyelidikan perlu disertai dengan pemikiran kritis, pertimbangan etika serta integriti akademik agar teknologi berfungsi sebagai penyokong kepada proses pembelajaran, bukannya menggantikan peranan manusia.
Akses yang semakin meluas kepada pangkalan data seperti Scopus, Web of Science (WoS) dan Google Scholar membolehkan ratusan artikel diperoleh dalam tempoh yang singkat. Namun begitu, pengalaman sepanjang penyediaan tesis dan manuskrip akademik menunjukkan bahawa cabaran sebenar bukan lagi mendapatkan artikel, tetapi mengurus lambakan fail portable document format (PDF) dan menghubungkan dapatan daripada pelbagai kajian serta mensintesis literatur secara sistematik. Pada peringkat ini, Gemini digunakan sebagai rakan berfikir untuk mengenal pasti jurang kajian, mencadangkan aliran hujah yang lebih logik serta mengemukakan perspektif alternatif. Pendekatan ini membantu menghasilkan penulisan yang lebih tersusun tanpa mengabaikan pemikiran kritis penyelidik, selaras dengan dapatan bahawa AI generatif berpotensi menyokong proses penulisan akademik melalui penambahbaikan idea, struktur penulisan dan penyampaian hujah. Pengalaman menggunakan NotebookLM dan Gemini sepanjang pengajian pascasiswazah telah mendorong pembentukan Kerangka 5M NotebookLM Gemini, iaitu satu pendekatan praktikal yang merangkumi lima komponen utama sebagai panduan untuk memanfaatkan AI secara lebih strategik dalam setiap fasa penyelidikan.
Rajah 1: Lima Komponen dalam Kerangka 5M NotebookLM Gemini
Rajah 1 menunjukkan lima komponen utama yang saling melengkapi, iaitu Mengumpul, Mengurus, Memahami, Memperkaya Idea dan Menyemak dalam Kerangka 5M. NotebookLM Gemini yang dibangunkan berdasarkan pengalaman sepanjang proses penyediaan sorotan literatur dan penulisan tesis serta manuskrip akademik. Setiap komponen mewakili fasa penting dalam aliran kerja penyelidikan yang bermula daripada pencarian sumber rujukan sehingga proses semakan akhir manuskrip.
Berbeza dengan penggunaan AI yang sering tertumpu kepada penjanaan kandungan semata-mata, kerangka ini menekankan penggunaan NotebookLM dan Gemini secara strategik untuk menyokong keseluruhan proses penyelidikan. NotebookLM berperanan sebagai platform utama dalam pengurusan dan sintesis literatur, manakala Gemini berfungsi sebagai rakan berfikir untuk memperkukuh hujah, memperluas perspektif dan memperkemas penulisan akademik. Bagi memberikan gambaran yang lebih jelas, setiap komponen dalam Kerangka 5M dihuraikan secara berperingkat berdasarkan pengalaman penggunaan aplikasi ini.
Langkah 1: Mengumpul
Cabaran pertama dalam penyelidikan bukan sekadar mendapatkan artikel tetapi mengurus jumlahnya yang semakin bertambah. Tanpa pengelasan yang sistematik, proses mencari semula sumber ketika menulis sorotan literatur akan menjadi sukar. Oleh itu, artikel dikelaskan mengikut tema sebelum dimuat naik ke NotebookLM supaya setiap ruang kerja mempunyai fokus yang jelas.
Langkah 2: Mengurus
Isu utama penyelidik selepas mengumpul artikel ialah mencari semula maklumat yang diperlukan. NotebookLM menghimpunkan semua sumber dalam satu ruang kerja yang membolehkan rujukan dibuat dengan pantas tanpa perlu membuka fail PDF satu persatu
Langkah 3: Memahami
Selepas sumber disusun dengan baik, penyelidik perlu mensintesis idea daripada pelbagai kajian. NotebookLM membolehkan analisis pelbagai artikel dibuat secara serentak bagi mengenal pasti corak dapatan serta jurang penyelidikan. Pendekatan ini menghasilkan sorotan literatur yang lebih berstruktur dan bukannya sekadar ringkasan artikel sahaja.
Langkah 4: Memperkaya Idea
Langkah seterusnya, penyelidik boleh membina hujah yang tersusun menggunakan Gemini yang berperanan sebagai rakan berfikir bagi mengenal pasti jurang kajian dan mencadangkan struktur hujah yang lebih logik. Pendekatan ini membantu memperhalusi idea tanpa menjejaskan pemikiran kritis penyelidik. Sehubungan itu, proses penyemakan kekal sebagai langkah terakhir yang sangat penting.
Langkah 5: Menyemak
Semakan akhir merangkumi penilaian hujah berteraskan literatur dan pencapaian objektif kajian NotebookLM digunakan untuk menyemak keselarasan hujah dengan sumber rujukan. Seterusnya, Gemini menilai kejelasan idea serta aliran penulisan sebelum manuskrip dihantar.
Jadual 1. Ringkasan tip praktikal dan contoh prompt bagi setiap langkah dalam Kerangka 5M NotebookLM–Gemini
Jadual 1 merumuskan setiap komponen dalam Kerangka 5M NotebookLM Gemini berserta tip praktikal dan contoh prompt yang boleh terus diaplikasikan dalam penyelidikan akademik. Ringkasan ini bertujuan membantu penyelidik memahami fungsi setiap komponen secara menyeluruh serta memilih strategi yang sesuai mengikut keperluan pada setiap fasa penyelidikan.
Rajah 2: Rumusan Kerangka 5M NotebookLM Gemini
Rajah 2 menunjukkan rumusan bagi Kerangka 5M NotebookLM Gemini yang dibangunkan berdasarkan pengalaman penggunaan dalam pengurusan literatur serta penulisan akademik. Kerangka ini membantu penyelidik menyiapkan literatur dan penulisan dengan lebih sistematik dan efisien.
Penutup
Secara keseluruhannya, penggunaan NotebookLM dan Gemini telah memperkenalkan teknologi baharu dalam penyelidikan dan membuka ruang kepada pendekatan kerja yang lebih sistematik, cekap dan berfokus. Pengalaman menggunakan kedua-dua aplikasi ini diterjemahkan kepada satu aliran kerja yang praktikal menerusi Kerangka 5M NotebookLM Gemini. Aliran ini boleh bermula daripada proses mengumpul literatur sehinggalah kepada semakan akhir manuskrip. Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurus sumber rujukan dengan lebih teratur, malah menyokong proses sintesis literatur, pembinaan hujah dan penambahbaikan penulisan akademik secara berterusan.
Pada masa hadapan, penggunaan AI dalam penyelidikan dijangka berkembang daripada sekadar membantu pengurusan maklumat kepada menyokong proses analisis, kolaborasi dan pembinaan pengetahuan yang lebih menyeluruh. Oleh itu, penyelidik, pensyarah dan pelajar pascasiswazah perlu meningkatkan keupayaan menggunakan AI secara strategik dan beretika. Kerangka 5M yang dikemukakan dalam artikel ini juga berpotensi diperluaskan melalui amalan terbaik, latihan penggunaan AI dalam penyelidikan serta penambahbaikan berdasarkan perkembangan teknologi dari semasa ke semasa.
Pada akhirnya, kekuatan sesuatu penyelidikan bukan ditentukan oleh kecanggihan teknologi yang digunakan, tetapi oleh keupayaan penyelidik mengemukakan soalan yang tepat, menilai maklumat secara kritis dan membina hujah yang bermakna. NotebookLM dan Gemini hanyalah pemudah cara, manakala nilai sebenar penyelidikan tetap lahir daripada pemikiran, kebijaksanaan dan integriti penyelidik itu sendiri.
Rujukan
Aydin, Ö., Karaarslan, E., Safa Erenay, F. & Džakula, N.B. 2026. Generative AI in Academic Writing: A Comparison of DeepSeek, Qwen, ChatGPT, Gemini, Llama, Mistral, and Gemma. Turkish Journal of Engineering 10(2): 592–607.
Mizan, N.A. & Norman, H. 2024. Persepsi Pelajar Pra-Universiti dalam Menggunakan AI Generatif: Kajian di Universiti Swasta Malaysia. Jurnal Pendidikan Bitara UPSI 17(2): 138–149.
UNESCO. 2023. Guidance for generative AI in education and research. Guidance for generative AI in education and research. France: United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization.
✓ Artikel selesai
🤖 Bahan Pembelajaran Janaan AI
Jana slaid ringkas atau infografik daripada makalah ini menggunakan Claude, untuk memudahkan perkongsian atau ulang kaji.


