Kerusi untuk Laila: Integrasi Skrip Pentas Bersama NotebookLM dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Dr Mohd Fadhli Shah Khaidzir1 2*
Fakulti Pengajian Sains Citra (FPSC)1, Pusat Hal-Ehwal Pelajar (HEP-UKM)2
*cali.khaidzir@ukm.edu.my
Kata Kunci: NotebookLM; Penulisan Skrip; Storyboard Visual; Teater Pendidikan.
Seni pementasan teater dalam dunia pendidikan bukan sekadar aktiviti sampingan atau hiburan khalayak semata-mata, namun ia mampu menjadi wadah pedagogi yang amat bermakna dan berkesan. Melalui teater, para pelajar bukan sahaja diajar untuk memahami teks kesusasteraan atau mesej sosial, malah mereka dibawa menyelami emosi, budaya, dan nilai murni yang tersirat di sebalik setiap baris skrip. Walau bagaimanapun, cabaran terbesar yang sering dihadapi oleh para pendidik atau penggiat teater dalam ekosistem pendidikan adalah bagaimana untuk menguruskan lambakan bahan rujukan, menulis skrip yang mempunyai ‘jiwa’, serta menterjemahkan teks bertulis yang kaku kepada sebuah penceritaan visual (visual storytelling) yang dinamik di atas pentas.
Di sinilah teknologi kecerdasan buatan (AI) mula memainkan peranan transformatif. Kehadiran NotebookLM daripada Google telah membuka lembaran baharu dalam dunia kreatif digital. Aplikasi ini bertindak sebagai pembantu penyelidikan, penulis bersama, dan rakan sumbang saran (brainstorming) peribadi yang sangat luar biasa. Artikel ini melihat bagaimana NotebookLM boleh digunakan secara holistik, bermula daripada penulisan skrip, lakaran storyboard, visualisasi pentas, sehinggalah ke pementasan secara zahirnya.
Sering kali, pendidik atau pelajar menghadapi kekangan idea (writer’s block) untuk menstrukturkan dialog yang puitis dan mempunyai subteks yang mendalam. NotebookLM mempermudah proses ini melalui konsep source-grounding, iaitu penjanaan berasaskan sumber data yang kita miliki sahaja.

Gambar 1: Pembangunan Idea dan Rasional melalui NotebookLM
Mengambil contoh naskah “Kerusi untuk Laila” yang merupakan naskah intepretasi daripada cerita asal “Laila Majnun”, pendidik atau penulis skrip boleh memuat naik nota idea kasar, sinopsis plot, analisis psikologi watak Laila, mahupun metafora tentang ‘kerusi’ tersebut ke dalam ruangan sumber di NotebookLM. Selepas itu, pengguna boleh mengarahkan AI untuk menjana draf skrip dengan memberikan arahan yang spesifik, misalnya meminta AI menulis draf skrip pendek bagi Babak 1 yang memfokuskan kepada konflik emosi dalaman watak Laila terhadap bebanan hidupnya, lengkap dengan petunjuk arahan pentas (stage directions) yang dramatik.

Gambar 2: NotebookLM memberi ringkasan kepada setiap babak di dalam pembangunan skrip pentas
NotebookLM mampu menghasilkan skrip lengkap dengan pembahagian babak yang tersusun. Kelebihan utama aplikasi ini adalah ia tidak akan tersasar atau memberi output yang lari daripada acuan asal naskhah kerana ia terikat sepenuhnya kepada dokumen yang dibekalkan. Ini memastikan skrip “Kerusi untuk Laila” berkembang secara organik, berfakta, dan mengekalkan kualiti sastera yang tinggi.
Penceritaan visual dalam seni teater amat bergantung kepada keupayaan pengarah dan pelakon untuk membayangkan ruang pentas, susun atur prop, reka bentuk kostum, serta pencahayaan (lighting). Bagi pelajar yang baru berjinak-jinak dengan seni lakon, menterjemah teks skrip “Kerusi untuk Laila” kepada elemen fizikal pentas mungkin menjadi satu tugas yang mencabar. Di sinilah NotebookLM bertindak sebagai pengarah artistik digital untuk menghasilkan panduan storyboard yang komprehensif. Selepas skrip siap, pelajar boleh menggunakan bantuan NotebookLM untuk mengekstrak elemen visual berdasarkan dialog dan prop untuk memberi impak simbolik kepada penonton. Sebagai maklum balas, NotebookLM akan memberikan cadangan berstruktur yang kaya dengan elemen visual dalam bentuk naratif yang jelas.

Gambar 3: Proses transformasi skrip kepada penceritaan visual
Integrasi menyeluruh NotebookLM yang merangkumi transisi daripada skrip ke storyboard, serta visualisasi skrip kepada pementasan visual “Kerusi untuk Laila” membawa perubahan impak tinggi terhadap pengalaman pelajar di dalam kuliah dan pentas lakonan. Pertama sekali, pendekatan ini mewujudkan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) yang holistik, di mana pelajar tidak lagi sekadar menghafal skrip secara pasif, tetapi mereka terlibat aktif sebagai pereka bentuk produksi digital yang membina pementasan dari awal.
Seterusnya, ekosistem ini sangat mesra kepelbagaian gaya belajar kerana ia meraikan keunikan setiap pelajar. Pengalaman pembelajaran menjadi lebih menyeluruh dengan menggunaan NotebookLM yang mampu membantu dalam pencetusan idea dan memastikan setiap pelajar masih mempunyai kawalan terhadap hasil kerja mereka. Apabila mereka perlu berinteraksi dengan AI untuk menyelesaikan masalah ruang pentas, menyunting skrip, dan membedah emosi watak, mereka secara tidak langsung sedang melatih diri untuk berfikir secara kritis, kreatif, dan kolaboratif.

Gambar 4: Pementasaan teater “Kerusi untuk Laila”
Secara tuntasnya, NotebookLM telah membuktikan bahawa teknologi AI bukan lagi sekadar alat pemprosesan perkataan biasa, tetapi ia merupakan rakan kolaborasi kreatif yang sangat berkuasa dalam dunia pendidikan seni moden. Melalui keupayaannya mempermudahkan penulisan skrip, menstruktur visual storyboard, menganalisis video rujukan, NotebookLM berjaya merapatkan jurang antara teks akademik yang kaku dengan realisasi pementasan yang hidup. Para pendidik harus merebut peluang ini untuk mengintegrasikan teknologi termaju demi melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja celik digital, malah kaya dengan daya imaginasi, estetika, dan nilai kemanusiaan yang tinggi.
Dr Mohd Fadhli Shah Khaidzir
Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Inklusif)
Hal-Ehwal Pelajar HEP-UKM
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengajian Sains Citra (FPSC)
cali.khaidzir@ukm.edu.my
✓ Artikel selesai
🤖 Bahan Pembelajaran Janaan AI
Jana slaid ringkas atau infografik daripada makalah ini menggunakan Claude, untuk memudahkan perkongsian atau ulang kaji.