Skip to main content

Wadah Digital

AURA, PENGKARYA, DAN ALGORITMA: MENILAI SEMULA KONSEP ESTETIKA SENI DALAM ERA GENERATIF AI

Dr. Nor Afian Yusof1*

Fakulti Pengajian Citra Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysial1
*Penulis Koresponden : affian@ukm.edu.my

Kata Kunci: Seni Visual, Estetika Digital, Generatif AI, Gemini, NotebookLM

Apabila Kanvas Diganti Prompt

Dahulu, apabila kita bercakap pasal karya seni, imej yang menerpa di fikiran selalunya sama iaitu seorang artis dengan gaun bertompok cat, memegang berus di hadapan kanvas, atau seorang pengukir yang sedang gigih memahat batu dalam studio yang penuh debu. Seni tradisional erat dengan sentuhan manusia di mana setiap garisan, palitan warna, malah kesilapan kecil (flaws) yang sengaja atau tak sengaja itulah yang memberi jiwa atau aura kepada sesuatu karya.

Namun, kedatangan era Generatif Artificial Intelligence (AI) seperti Gemini dan alatan pemprosesan maklumat pintar seperti NotebookLM telah menggoncang pasak dunia seni visual dan media baru. Hanya dengan memasukkan beberapa baris teks atau prompt, algoritma mampu menghasilkan visual yang menakjubkan dalam hitungan saat. Persoalannya, di manakah letaknya aura seni apabila algoritma mula mengambil tempat si pengkarya? Adakah fungsi artis sudah lapuk, atau sebenarnya definisi estetika itu sendiri yang sedang berevolusi?

Aura Walter Benjamin dalam Era Bit dan Pixel

Bila menyebut tentang “aura” dalam seni, pengkritik dan ahli falsafah seni selalu merujuk kembali kepada pandangan Walter Benjamin melalui tulisannya yang terkenal pada tahun 1935. Benjamin menyatakan bahawa peniruan mekanikal (seperti fotografi dan filem) menghakis aura unik karya asal kerana ia mencabut karya daripada konteks ruang dan masa (hic et nunc).
Hari ini, cabaran itu hadir dalam bentuk digital yang lebih canggih iaitu algoritma. Apabila AI digilap dengan jutaan imej daripada sejarah seni manusia untuk menghasilkan imej baharu, adakah karya AI itu sekadar “salinan tanpa asal”?
Di sinilah pandangan kita terhadap estetika perlu dinilai semula. Bagi pengkarya seni media baru, aura tidak lagi terletak semata-mata pada sifat fizikal bahan (seperti cat minyak di atas kanvas), tetapi pada proses pemikiran, konsep, dan dialog antara manusia dengan teknologi.

Gemini sebagai Rakan Brainstorming dan Pengkarya Bersama

Pada amalan pengkaryaan moden, alatan AI seperti Gemini bukan lagi sekadar alat penjana imej atau sebagai pengumpul data, tetapi bertindak sebagai co-creator atau rakan pencetus idea.

Sebagai contoh, dalam mereka bentuk sebuah karya media baru yang kompleks, pengkarya selalunya berdepan dengan masalah creativity block. Tetapi dengan Gemini, pengkarya boleh melontarkan idea abstrak. Contohnya, “Bagaimana rupa perasaan nostalgia jika diterjemahkan dalam bentuk lampu neon dan struktur fraktal?”

Gemini tidak memberi jawapan muktamad, sebaliknya membuka pelbagai sudut pandang estetika baharu apabila ia mencadangkan palet warna, metafora visual, hinggalah elemen binaan naratif. Disini “aura” seni berpindah daripada tindakan memegang berus kepada keupayaan pengkarya mengarahkan, mengkritik, dan memilih idea yang dicetuskan oleh algoritma. Kreativiti manusia terletak pada curatorial judgment dimana kebolehan memilih jiwa di sebalik lambakan pilihan teknikal.

NotebookLM membina Teori dan Falsafah di Sebalik Visual

Sebuah karya seni visual yang hebat jarang berdiri tanpa landasan teori atau falsafah yang kukuh. Di sinilah NotebookLM memainkan peranan yang amat kritis untuk pengkarya dan pengkaji seni.

Semasa merangka konsep pameran atau penulisan wacana seni, pengkarya perlu membaca ratusan artikel falsafah, jurnal estetika, dan teks sejarah seni. Ini akan memakan masa dan perahan otak yang maksima dalam menentukan konsep seni yang akan digunakan. Namun dengan NotebookLM, proses itu membolehkan kita memasukkan pelbagai dokumen daripada teori estetika klasik hingga ke artikel media baru terkini dan menukarkannya menjadi arkib peribadi pintar.

Melalui NotebookLM, kita boleh bertanyakan soalan khusus seperti: “Berdasarkan dokumen yang dimuat naik, apakah titik persamaan antara pandangan Baudrillard tentang simulacra dengan hasil generasi imej AI?”

NotebookLM akan membantu menjalin pertalian antara teori estetika yang rumit dengan praktis visual yang sedang dibangunkan. Hasilnya, karya seni yang dihasilkan bukan sekadar cantik pada pandangan mata (estetika permukaan), tetapi disokong oleh kerangka konseptual yang padat dan bermakna.

Menilai Semula Estetika Intelektual Buatan vs Sentuhan Manusia

Adakah algoritma bakal membunuh nilai estetika seni?. Jawapannya bergantung kepada perspektif bagaimana kita memandangnya.

Jika estetika hanya diukur pada kemahiran teknikal melukis atau mengukir, ya, AI sudah boleh meniru kemahiran itu dengan begitu pantas. Namun, estetika seni sebenar merangkumi emosi, konteks sosial, sejarah, dan pengalaman hidup adalah sesuatu yang belum dan mungkin tidak akan dimiliki oleh algoritma yang hanya memproses corak data (data patterns) dalam menghasilkan karya yang bersifat generik.

Algoritma mungkin boleh menghasilkan visual yang indah, tetapi manusia yang memberikan ia makna. Kehadiran Gemini dan NotebookLM sebenarnya membebaskan pengkarya daripada kekangan teknikal yang berulang-ulang, sekali gus memberi lebih ruang untuk fokus kepada aspek konseptual, pemikiran kritis, dan nilai estetika yang lebih mendalam.

Meraikan Sintesis Baharu

Seni sentiasa berevolusi seiring dengan perkembangan teknologi. Daripada penemuan cat tiub, penciptaan kamera, sehingga kemunculan komputer, setiap gelombang teknologi baharu sentiasa disambut dengan keraguan sebelum akhirnya diraikan sebagai medium seni baharu yang akhirnya menjadi sesuatu yang normal dalam dunia seni itu sendiri.

Era Generatif AI tidak membunuh aura seni, sebaliknya menyuntik aura baharu dalam bentuk estetika yang kolaboratif. Pengkarya hari ini tidak lagi berdiri sendirian di dalam studio, tetapi berdialog dengan algoritma. Setelah memanfaatkan keupayaan percambahan idea daripada Gemini dan analisis konseptual daripada NotebookLM, pengkarya media bersedia membawa wacana seni visual ke tahap yang lebih tinggi di mana kuasa digital benar-benar memberi impak global terhadap pemikiran manusia.


(Visited 1 times, 1 visits today)