GEMINI DAN NOTEBOOKLM: RAKAN KOLABORATIF DALAM MEMBANGUNKAN MODUL ME-MYLAW
Norfiza Apfandi1*, Siti Aishah Hassan2
Pusat PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia
*Penulis Koresponden: norfizaza@ukm.edu.my
Kata Kunci: ME-MyLaw, Inovasi Pendidikan, Gemini
Keperluan Transformasi Pembelajaran Sistem Perundangan Malaysia
Matlamat untuk mula membangunkan Modul ME-MyLaw untuk kursus Pengenalan Kepada Sistem Perundangan Malaysia muncul apabila terdapat keperluan untuk menghasilkan sebuah modul yang bukan sahaja memenuhi keperluan kurikulum, malah menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan, interaktif dan bermakna. Niat adalah mahu membawa pelajar keluar daripada kaedah pembelajaran yang hanya bergantung pada kuliah dan nota kepada pengalaman pembelajaran yang lebih autentik melalui pendekatan experiential learning. Kesedaran bahawa pendidik memerlukan pembantu digital yang dapat mempercepatkan proses kerja tanpa menjejaskan kualiti akademik telah mendorong untuk meneroka penggunaan Gemini dan NotebookLM.
Memulakan Pembangunan Modul ME-MyLaw dengan Gemini
Pembangunan modul dengan menggunakan Gemini bermula apabila menjadikan Gemini sebagai ‘rakan berbincang’. Penerangan terhadap Gemini adalah mudah iaitu menerangkan objektif modul, hasil pembelajaran kursus dan pendekatan experiential learning yang ingin digunakan. Berdasarkan maklumat tersebut, Gemini membantu menjana pelbagai cadangan berkaitan struktur modul, aktiviti pembelajaran, kaedah pentaksiran dan susunan kandungan yang lebih sistematik.
Seterusnya, berlaku proses membuat penilaian setiap cadangan berdasarkan pengalaman mengajar dan keperluan pelajar dengan mengekalkan idea yang sesuai, mengubah suai cadangan yang kurang tepat dan menolak cadangan yang tidak menepati konteks sistem perundangan Malaysia. Melalui proses tersebut, ia dapat menghasilkan modul yang mencerminkan falsafah pengajaran sambil memanfaatkan kecerdasan buatan sebagai pemangkin idea.
Selepas itu, penggunaan Gemini hampir setiap hari sepanjang proses pembangunan Modul ME-MyLaw adalah dengan meminta Gemini membantu menulis hasil pembelajaran, membina rubrik pemarkahan, menghasilkan kajian kes, menyediakan soalan kuiz, mereka bentuk aktiviti berkumpulan dan memperkemas bahasa akademik. Gemini juga membantu menghasilkan contoh situasi yang hampir dengan kehidupan pelajar supaya mereka lebih mudah memahami konsep undang-undang yang abstrak. Pengalaman ini selari dengan dapatan Baharuddin et al. (2024) yang menunjukkan bahawa faktor seperti jangkaan prestasi, kemudahan penggunaan dan sokongan mempengaruhi penerimaan serta niat pelajar prasiswazah menggunakan ChatGPT. Justeru, dapatan tersebut mengukuhkan pandangan bahawa keperluan menggunakan AI dengan tujuan yang jelas supaya teknologi tersebut benar-benar memberikan nilai tambah kepada proses pembelajaran.
Walaupun Gemini banyak membantu dalam pembangunan modul ini, proses menyemak setiap cadangan tetap dilakukan sebelum memasukkannya ke dalam draf modul. Ia bagi memastikan kandungan yang digunakan selaras dengan kandungan pembelajaran, memenuhi standard akademik dan tepat dari sudut perundangan Malaysia. Kecerdasan buatan bukan sebagai pengganti kepakaran pendidik tetapi menggunakan kecerdasan buatan sebagai pembantu untuk mempercepatkan proses kerja. Ini kerana. menilai ketepatan dan kualiti hasil akhir tetap dilakukan sendiri oleh pendidik. Pendekatan ini turut selari dengan dapatan Saari et al. (2025) yang menunjukkan bahawa pelajar melihat ChatGPT sebagai sumber sokongan dalam pembelajaran dan bukan sebagai pengganti sumber pembelajaran utama.
Prompt Engineering sebagai Strategi Membentuk Kandungan Pembelajaran
Pembangunan modul ME-MyLaw ini, turut menggunakan pendekatan prompt engineering. Kaedah memberi arahan khusus kepada AI berdasarkan konteks kursus, objektif pembelajaran dan keperluan pelajar. Sebagai contoh, meminta Gemini membantu mereka bentuk aktiviti pembelajaran berdasarkan empat fasa Experiential Learning iaitu Exposure, Experience, Reflection dan Application serta mencadangkan kaedah pentaksiran yang sesuai. Melalui prompt tersebut, ia memperoleh idea tentang aktiviti lawatan akademik, simulasi, portfolio dan refleksi pembelajaran. Seterusnya, menilai setiap idea dan menyesuaikannya dengan keperluan modul serta konteks pembelajaran pelajar. Proses ini membantu membangunkan modul dengan lebih sistematik, kreatif dan berfokuskan pengalaman pembelajaran pelajar.
Sebagai contoh, arahan kepada AI:
“Saya ingin mengajar kandungan kursus Pengenalan Sistem Perundangan Malaysia dan sedang membangunkan modul pembelajaran berasaskan pengalaman. Bantu saya mereka bentuk aktiviti pembelajaran mengikut empat fasa Experiential Learning iaitu Exposure, Experience, Reflection dan Application serta cadangkan kaedah pentaksiran yang sesuai dengan hasil pembelajaran kursus.”
Rajah 1: Arahan kepada Gemini untuk mereka bentuk modul pembelajaran berasaskan Experiential Learning
NotebookLM sebagai Rakan Penyelidikan dan Analisis Sumber
Apabila memasuki fasa penyelidikan, keperluan untuk menggunakan NotebookLM mula terbit. Ia dimulai dengan memuat naik artikel jurnal, buku, dokumen kurikulum dan bahan rujukan berkaitan pembelajaran berasaskan pengalaman. Justeru, bagi mengelakkan daripada perlu membaca setiap dokumen yang panjang secara berulang, soalan terus dikemukakan kepada NotebookLM. Arahan kepada NotebookLM diberi bagi mengenal pasti tema utama, membandingkan dapatan kajian, menjelaskan teori tertentu dan merumuskan isi penting daripada setiap sumber.
Rajah 2: Arahan kepada NotebookLM diberi bagi mengenal pasti tema utama, membandingkan dapatan kajian, menjelaskan teori tertentu dan merumuskan isi penting daripada setiap sumber
Pendekatan ini mengubah kaedah normal dalam menjalankan penyelidikan kerana masa tidak lagi membazir dengan mencari maklumat dalam puluhan fail PDF. Sebaliknya, dapat menumpukan perhatian kepada analisis, penilaian dan sintesis idea. Melalui penggunaan NotebookLM, kandungan sumber difahami dengan lebih cepat kerana dokumen yang menjadi asas kepada analisisnya telah tersedia. Pendekatan ini memudahkan penyediaan sorotan literatur dan membuat perbandingan antara sumber bagi menyokong pembangunan Modul ME-MyLaw.
Mengintegrasikan Gemini dan NotebookLM dalam Amalan Pendidik
Pengalaman menggunakan Gemini dan NotebookLM dalam tugas harian sebagai pendidik juga lebih praktikal dalam menyediakan draf surat rasmi, membina rubrik penilaian, menghasilkan soalan peperiksaan dan merancang aktiviti pembelajaran. Pada masa yang sama, menggunakan NotebookLM untuk menyusun bahan bacaan, meringkaskan jurnal dan mendapatkan penjelasan berdasarkan dokumen penyelidikan. Penggabungan kedua-dua aplikasi ini mengikut fungsi masing-masing supaya dapat mengurus dan membantu tugasan dengan lebih tersusun dan produktif.
Selain itu, pengalaman membangunkan Modul ME-MyLaw mengajar bahawa perlu menggunakan AI secara bertanggungjawab. Tidak dinafikan, arahan atau prompt yang jelas supaya Gemini memahami konteks dan keperluan dapat membantu penyediaan kandungan modul. Namun demikian, terdapat keperluan menyemak semula setiap fakta sebelum menggunakannya dalam pengajaran dan memastikan kandungannya tepat serta relevan dengan konteks perundangan Malaysia. Adalah diingatkan juga untuk mengelakkan pemuatan naik data sulit atau maklumat peribadi ke dalam platform AI. Langkah ini untuk memastikan agar menggunakan teknologi secara beretika tanpa menjejaskan integriti akademik. Keperluan untuk menyemak dan menilai maklumat yang dijana AI turut mendapat sokongan daripada Madiah dan Abu Samah (2025). Kajian tersebut mendapati bahawa walaupun 80.5% responden melihat ChatGPT sebagai bermanfaat untuk pembelajaran, hanya 49.8% menyatakan kepercayaan terhadap ketepatan maklumat yang diberikan. Oleh itu, dapatan ini mengukuhkan amalan saya untuk tidak menerima maklumat yang dijana AI secara terus tanpa membuat semakan dan penilaian.
Sepanjang proses pembangunan modul, Gemini dan NotebookLM mempunyai fungsi yang saling melengkapi iaitu Gemini untuk menjana idea, mencipta bahan dan memperkemas penulisan manakala saya NotebookLM untuk membaca, memahami dan menganalisis sumber rujukan. Penggabungan kedua-dua aplikasi tersebut dapat mempercepatkan pembangunan Modul ME-MyLaw sambil mengekalkan kawalan terhadap kandungan, ketepatan akademik dan kreativiti aktiviti pembelajaran.
Refleksi dan Hala Tuju Penggunaan AI dalam Pendidikan
Berdasarkan pengalaman tersebut, terdapat lima tip kepada pendidik yang ingin memanfaatkan Gemini dan NotebookLM. Pertama, pendidik perlu menetapkan objektif yang jelas sebelum menulis prompt. Kedua, menggalakkan mereka melihat AI sebagai rakan kolaboratif dan bukannya pengganti pendidik. Ketiga, mereka perlu menyemak dan mengesahkan semua maklumat yang dijana sebelum menggunakannya. Keempat, mereka wajar menggunakan NotebookLM bersama dokumen rujukan yang berkualiti supaya analisis berpandukan sumber yang sahih. Kelima, mereka perlu mencuba pelbagai jenis prompt kerana arahan yang lebih spesifik dapat menghasilkan respons yang lebih tepat dan relevan.
Rajah 3: Arahan kepada NotebookLM untuk merangka modul pembelajaran berasaskan Experiential Learning
Pengalaman membangunkan Modul ME-MyLaw membuktikan bahawa menggunakan Gemini dan NotebookLM sebagai rakan kolaboratif untuk mempercepatkan proses merancang, menyelidik, menghasilkan bahan dan menambah baik pengajaran tanpa menggantikan peranan pendidik. Pada masa hadapan, diharapkan ia dapat memperluaskan penggunaan kedua-dua aplikasi ini untuk menghasilkan bahan pembelajaran yang lebih interaktif, memperkayakan aktiviti experiential learning dan menyokong pembelajaran yang lebih diperibadikan mengikut keperluan pelajar. Selain itu, terdapat juga cadangan mendokumentasikan penggunaan AI secara lebih sistematik serta menilai kesannya terhadap penglibatan, kefahaman dan pengalaman pembelajaran pelajar. Kesimpulannya, masa depan pendidikan bukan terletak pada pilihan antara pendidik dengan AI tetapi pada keupayaan kita menggabungkan kepakaran manusia dan teknologi secara kreatif, kritis dan beretika bagi menghasilkan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna.
Rujukan
[1] Baharuddin, M. F., Ahmad Zaki, N. D., Mohammad Yusuff, K. N., & Wahi Anuar, M. A. (2024). Assessing the acceptance and behavioral intentions towards ChatGPT among undergraduate students. Journal of Information and Knowledge Management, 14(2), 40–49. https://doi.org/10.24191/jikm.v14i2.3668
[2] Saari, K. A., Muda, Z., Razali, N., Fathur Rahman, B. T., & Abdul Jabar, N. F. (2025). Exploring ChatGPT utilisation in higher education: A student perspective. GADING Journal for the Social Sciences, 28(2), 166–178. https://doi.org/10.24191/gading.v28i2.679
[3] Madiah, M., & Abu Samah, A. R. (2025). Exploring the relationship between academic achievement and ChatGPT usage: A survey of higher education students in Malaysia. Journal of Informatics and Web Engineering, 4(2), 275–302. https://doi.org/10.33093/jiwe.2025.4.2.18
✓ Artikel selesai
🤖 Bahan Pembelajaran Janaan AI
Jana slaid ringkas atau infografik daripada makalah ini menggunakan Claude, untuk memudahkan perkongsian atau ulang kaji.

