Azhari Shamsudeen
Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina
* Penulis Koresponden: azharibs@ukm.edu.my
Kata Kunci: Penaburan Pintar, Automasi, Dron, VRT
Impak Sosioekonomi dan Cabaran Adaptasi Dalam Sektor Pertanian Padi
Sektor pertanian padi di Malaysia berhadapan dengan cabaran struktur yang amat kritikal khususnya dalam hal ehwal keselamatan makanan dan keterjaminan bekalan beras negara․ Fasa penyediaan dan penaburan benih merupakan salah satu fasa penting yang perlu dititikberatkan bagi mencapai hasil tanaman padi yang maksimum․ Walau bagaimanapun‚ kaedah penaburan tradisional buruh kini berhadapan dengan kekurangan tenaga kerja akibat penuaan para petani di kalangan pesawah‚ dan golongan muda lebih minat mencari pekerjaan di bandar․ Sehubungan itu‚ untuk menangani ketidakcekapan ini‚ Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2030 menetapkan peralihan yang pantas ke arah Pertanian Persis (PA) dengan memberi tumpuan kepada mekanisme pintar dalam proses penyemaian dan taburan benih․ Kerajaan juga menyasarkan untuk mencapai kadar sara diri (SSR) sebanyak 75% menjelang 2025 dan 80% menjelang 2030, disokong oleh kemajuan teknologi dan peningkatan intensiti penanaman padi.
Pada masa sekarang, dron pertanian mula menjadi teknologi automasi untuk kerja taburan benih padi yang paling pesat pembangunannya seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1․ Dron padi yang dipandu sistem kedudukan global (GPS) dan pemetaan pra-operasi berupaya menaburkan benih dengan tepat serta sekata di seluruh petak sawah tanpa perlu pesawah turun ke bendang untuk menabur benih․ Selain itu‚ corak taburan benih yang terhasil melalui pemprograman pintar secara berautonomi juga menjamin taburan benih yang optimum‚ sekata dan tidak membazir serta mempercepatkan jangka masa penanaman․ Ia menggantikan kaedah mencedung secara manual, di mana benih padi disemai di tapak semaian dipindahkan ke dalam petak sawah dengan menggunakan jentera penanam․ Penanaman padi dengan mesin ini akan menjamin keseragaman jarak atur pokok padi pada setiap barisan di dalam petak sawah yang akan membantu keseragaman dalam pendedahan cahaya matahari‚ pengairan‚ kawalan rumpai dan perosak di peringkat pertumbuhan․
Rajah 1: Aplikasi dron dalam pertanian padi
Penggunaan teknologi taburan benih pintar ini memberikan implikasi penjimatan kos operasi dan peningkatan produktiviti yang sangat ketara. Sebagai contoh, kerja-kerja menabur benih secara manual memerlukan kos upah buruh konvensional mencecah RM100 bagi setiap hektar. Namun, dengan penggunaan dron pertanian, ia berjaya mengurangkan kos tersebut kepada RM70 sahaja bagi setiap hektar. Walaupun pelaburan sebanyak RM40,000 untuk sebuah dron pertanian adalah agak tinggi, ia sangat berbaloi dalam mempercepatkan proses penaburan benih bagi kawasan seluas 40.47 hektar. Penjimatan masa operasi yang boleh mencapai sehingga 70% berbanding kaedah manual, sekali gus mengurangkan beban kerja fizikal pesawah. Selain daripada itu, melalui program SMART Sawah Padi Berskala Besar (SMART SBB), penyatuan tanah yang diuruskan menggunakan jentera penanam (transplanter) dan benih berkualiti tinggi terbukti meningkatkan hasil tuaian pesawah daripada purata biasa 5 tan metrik kepada lingkungan 7 hingga 11 tan metrik per hektar. Taburan yang sekata juga mengurangkan pembaziran benih yang harganya semakin meningkat di pasaran. Walaupun kelebihan teknikal penaburan pintar ini amat jelas dan cekap (rujuk Rajah 2), namun kadar penggunaan teknologi ini dalam kalangan majoriti pesawah kecil di Malaysia masih berada pada tahap yang rendah disebabkan kekangan sosioekonomi dan penyampaian maklumat.
Teknologi kadar boleh ubah (VRT) yang menggunakan penderia pintar untuk menanam benih pada kadar yang berbeza berdasarkan variasi fizikal dan nutrien tanah secara masa-nyata telah digunakan secara berperingkat․ Di samping itu, jentera penabur benih dalam barisan membantu menyusun aliran tanaman secara sistematik bagi menggantikan kaedah tabur terus rawak yang sering menyulitkan proses pengurusan sawah pasca-tanam. Satu lagi teknologi yang boleh digunakan ialah teknologi taburan benih terus (Direct Seeded Rice – DSR) bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh. Kaedah DSR kini menjadi alternatif utama yang menghapuskan keperluan penyediaan tapak semaian dan proses pemindahan anak benih. Kaedah ini lebih pantas, menjimatkan kos buruh, dan mengurangkan penggunaan air. Selepas benih ditabur, proses pertumbuhan anak benih dipantau secara masa nyata menggunakan teknologi Kembar Digital (Digital Twin) yang diintegrasikan dengan Internet of Things (IoT).
Rajah 2: Teknologi autonomi semaian dan taburan benih padi
Selain daripada itu, berdasarkan kajian penilaian teknologi oleh Hairazi et al. (2021) di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), majoriti pesawah masih bergantung kepada kaedah tabur terus tradisional (sama ada tabur terus dalam air sebanyak 50.7%, tabur terus basah 37.0%, atau tabur terus kering 32.9%. Sebaliknya, kadar penggunaan jentera penanam padi (transplanter) hanya mencatatkan 16.9%, manakala kadar penggunaan alat penabur benih padi VRT (14.3%) dan penabur benih padi dalam barisan pula adalah 14.1%. Secara umumnya, sebanyak 70.1% pesawah kecil memperoleh pendapatan bulanan sekitar RM1,000 hingga RM3,000 sahaja, menjadikan pelaburan awal bagi pembelian dron atau mesin penanam automatik satu bebanan yang berat tanpa bantuan subsidi. Situasi ini diburukkan lagi dengan profil demografi pesawah di mana majoriti pesawah telah berumur dan kurang mempunyai latihan formal untuk mengendalikan perisian serta perkakasan pertanian pintar yang kompleks.
Selain itu, penggunaan dron penabur benih tertakluk kepada undang-undang keselamatan ruang udara di bawah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). Bagi mengatasi isu ini, program seperti “Jelajah Dron Pertanian” telah diperkenalkan oleh MARDI bagi melatih dan memberikan lesen kendalian sah menerusi sijil Remote Certificate of Competency-Agriculture Light (RCOC-AL) kepada operator dron luar bandar.
Penutup
Walaupun teknologi moden untuk semaian dan taburan benih ini terbukti meningkatkan kecekapan, namun tahap penggunaannya dalam kalangan pesawah masih di peringkat sederhana dan terdapat kekangan dari segi faktor demografi dan sosioekonomi. Sehubungan dengan itu, bagi mempercepatkan transisi ke arah teknologi taburan benih moden secara menyeluruh, beberapa pendekatan strategik perlu diambil, antaranya adalah:
(a) Model perkhidmatan langganan (Farming-as-a-service): Memandangkan kos pemilikan mesin penanam dan dron adalah tinggi, syarikat peneraju teknologi perlu didorong untuk menawarkan khidmat penaburan benih secara sewaan kepada komuniti pesawah kecil melalui seliaan Pertubuhan Peladang Kawasan.
(b) Penyediaan dana dan subsidi berfokus: Agrobank dan agensi kerajaan perlu menyediakan pembiayaan khas berfaedah rendah atau geran sepadan bagi membolehkan kumpulan pesawah kecil membeli jentera penanam benih secara berkongsi.
(c) Latihan demonstrasi fizikal (On-site training): Oleh kerana pesawah didapati lebih mudah menerima pendedahan baharu melalui lawatan fizikal berbanding kursus teori, program latihan amali secara langsung di tapak sawah model perlu diperbanyakkan oleh Jabatan Pertanian dan MARDI.
Sektor penanaman padi kini bergerak ke arah sistem yang lebih mekanikal dan digital. Melalui pendekatan seperti autonomi, dron, VRT, DSR dan penglihatan mesin bukan sahaja menyelesaikan isu kekurangan tenaga buruh untuk proses semaian dan penaburan, malah meningkatkan sekuriti makanan dan keuntungan pesawah dalam jangka masa panjang. Dengan pemodenan kaedah penanaman padi ini, negara bukan sahaja mampu meningkatkan kecekapan pengeluaran beras domestik ke tahap sara diri yang mampan, malah berjaya melestarikan imej sektor pertanian untuk menarik minat penglibatan generasi muda dan seterusnya meningkatkan pengeluaran padi secara berkala di Malaysia.
Rujukan
[1] Bayu Rima Aditya, Anranur Uwaisy Marchiningrum, and Yudha Ginanjar. (2026). Digital Twin for Agricultural Land Monitoring System. Pertanika J. Sci. & Technol. https://doi.org/10.47836/pjst.34.1.01
[2] S. Manoj Kumar, R. Karthikeyan, K. Thirukumaran, A. Senthil, P. Dhananchezhiyan. (2025). Prospects of Mechanization in Direct Seeded Rice: A Comprehensive Review. https://doi.org/10.22067/jam.2024.87897.1247
[3] Rahim, H., Ariff, E. E. E., & Amin, M. Z. M. (2021). Tahap Penggunaan Teknologi Padi MARDI di Muda Agricultural Development Authority (MADA). Buletin Teknologi MARDI. http://ebuletin.mardi.gov.my/buletin/23/Hairazi.pdf
[4] Ruslan, R., Khairunniza-Bejo, S., Rukunudin, I.H, Jahari, M. and Ibrahim, M.F. (2020). Development of a machine vision system for rice seed inspection system, Food Research. https://doi.org/10.26656/fr.2017.4(S6).049

