Skip to main content

Wadah Digital

KUASA GEMINI DAN NOTEBOOKLM: MENGUBAH KAKITANGAN MAKMAL DARIPADA ‘SIFAR ILMU IT’ KEPADA PENGATURCARA KOMPUTER

Noor Jannah Awang¹*, Ira Wahadah Md Ghazali², Farah Suella Asnina Jumaat3
Fakulti Sains & Teknologi1
* Penulis Koresponden : njannah@ukm.edu.my

Kata Kunci: Gemini, NotebookLM, Pengaturcaraan, Pelupusan, Buangan Terjadual

Pengenalan

Pernahkah anda terfikir, seorang ahli kimia (chemist) yang bekerja di makmal mengendalikan eksperimen, peralatan saintifik serta proses kerja yang melibatkan bahan kimia, mampu membangunkan sebuah sistem digital yang kompleks? Lebih mengejutkan, ahli kimia ini mempunyai “sifar pengetahuan IT” (zero IT knowledge), tidak pernah menghadiri sebarang kursus pengaturcaraan komputer (programming), namun sistem yang dibangunkannya berjaya menewaskan pakar IT di peringkat kebangsaan!

Ini bukanlah sekadar cerita yang direka-reka, melainkan realiti manis yang dilalui oleh penulis dan penulis bersama. Sebagai kakitangan yang bertanggungjawab menguruskan pengoperasian makmal serta perkhidmatan instrumen saintifik di Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), penulis tidak pernah menyangka bahawa pengalaman menguruskan makmal akhirnya membawa mereka ke dunia pengaturcaraan komputer.

Berpunca daripada inisiatif untuk mentransformasikan proses kerja pengurusan pelupusan buangan terjadual atau sisa kimia secara digital, lahirlah sebuah sistem yang dikenali sebagai Sistem Maklumat dan Pemantauan Buangan Terjadual Berpusat, atau i-SWIMS (Integrated Scheduled Waste Information & Monitoring System). Di sebalik pembangunan i-SWIMS, terdapat dua “rakan digital” yang sentiasa menemani mereka sepanjang proses pembangunan, iaitu Google Gemini dan NotebookLM. Kedua-dua model kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) ini bukan sekadar menjadi tempat bertanya soalan, tetapi turut berperanan sebagai pembimbing, pembantu penyelesaian masalah dan “rakan brainstorming” dalam merealisasikan idea yang pada awalnya kelihatan seperti sesuatu yang mustahil.

Pening Kepala Mengurus Sisa Kimia

Sebelum wujudnya sistem ini, proses menguruskan buangan terjadual (BT) atau sisa kimia dari lebih 50 buah makmal di lapan bangunan FST adalah satu tugas yang sangat merumitkan. Sistem konvensional menggunakan borang fizikal yang diisi secara manual menyebabkan proses kerja merekod dan menghantar maklumat mengambil masa yang lama. Proses manual ini memakan masa purata sehingga 16 hari bekerja.

Kelewatan ini berisiko mencetuskan pelanggaran Akta Kualiti Alam Sekeliling (Peraturan-Peraturan Buangan Terjadual 2005) yang menetapkan bahawa sisa tidak boleh disimpan melebihi 180 hari atau 20 Metrik Tan. Perekodan berasaskan kertas juga terdedah kepada risiko “sisa hantu” (ghost waste)—iaitu sisa berbahaya yang tidak direkodkan, yang boleh mengancam nyawa kakitangan, pelajar dan kontraktor semasa proses pelupusan. Bagi merumuskan punca masalah ini kepada pihak pengurusan, mereka menggunakan NotebookLM untuk menganalisis dokumen dan menjana carta grafik yang mudah difahami.



Rajah 1:Rumusan permasalahan pengurusan buangan terjadual di tempat kerja yang dianalisis menggunakan keupayaan NotebookLM

Ekosistem Google Workspace dan Gemini sebagai Rakan Pembangun Web

Menyedari perlunya transformasi digital, kami tekad untuk membina platform berasaskan pengkomputeran awan bagi menambahbaik proses kerja. Memandangkan kami merupakan pengguna tegar ekosistem Google Workspace di tempat kerja, kami memilih Google Apps Script sebagai platform pengaturcaraan. Masalah utama kami adalah tidak mempunyai asas menulis kod komputer (coding). Di sinilah Gemini mengubah segalanya menjadi jambatan antara idea kami dengan kod komputer. Melalui arahan atau prom (prompt) yang santai, Gemini membimbing mereka satu per satu menterjemahkan logik proses kerja ke dalam bahasa pengaturcaraan.

  1. Pembangunan Antara Muka dan Logik Sistem: Gemini membantu menyusun ribuan baris kod HTML untuk membina Antara Muka Pengguna dan Pengalaman Pengguna (UI/UX – User Interface & User Experience) yang mesra pengguna. Manakala untuk bahagian belakang sistem (back-end) yang memproses data, Gemini membimbing dengan menulis kod skrip JavaScript yang kompleks.

  2. Penyahpepijatan (Debugging): Setiap kali sistem memaparkan ralat, mereka hanya menyalin kod tersebut ke ruang sembang Gemini dan dengan pantas Gemini mengesan kesilapan logik dan memberikan skrip pembetulan.
    Satu contoh perbualan menarik adalah ketika mereka meminta Gemini menyusun fungsi butang mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Jabatan Alam Sekitar. Gemini bukan sahaja memahami logik SOP buangan terjadual tersebut, malah terus menjana kod untuk memastikan sistem ini mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Satu contoh perbualan menarik adalah ketika mereka meminta Gemini menyusun fungsi butang mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Jabatan Alam Sekitar. Gemini bukan sahaja memahami logik SOP buangan terjadual tersebut, malah terus menjana kod untuk memastikan sistem ini mematuhi undang-undang yang ditetapkan.


Rajah 2: Tangkap layar perbualan sebenar Gemini memahami logik SOP dan membantu menyelesaikan isu pengekodan.

Impak Kolaborasi Manusia dan Ekosistem Google AI

Sinergi kakitangan makmal bersama AI telah membuahkan hasil yang amat luar biasa. Sistem i-SWIMS kini beroperasi sepenuhnya dalam Pengurusan Buangan Terjadual di FST serta diperluaskan di Pusat Tanggungjawab (PTj) lain seperti INBIOSIS dan SERI.


Rajah 3: Paparan Antara muka laman web sistem i-SWIMS yang interaktif dan berfungsi sepenuhnya hasil kolaborasi manusia dan ekosistem Google AI.

Impak yang diperolehi hasil daripada kolaborasi antara manusia dan ekosistem google AI digambarkan seperti berikut: –

  • Penjimatan Masa dan Kos: Penghantaran rekod berjaya mengurangkan masa dengan signifikan daripada 16 hari kepada 3 hari bekerja. Kos yang dianggarkan mencecah RM499,284 jika menggunakan khidmat sumber luar (outsource) berjaya dijimatkan sehingga RM7,040 sahaja, iaitu sebanyak 98% penjimatan! Penjimatan kos (Avoidance cost) ini adalah sesuatu yang luar biasa.
  • Transformasi proses kerja: Walaupun dibina oleh amatur IT, sistem yang dibangunkan memberi impak yang signifikan melalui transformasi proses kerja manual menggunakan kaedah borang kepada pendigitalan ekosistem pengurusan buangan terjadual yang bersepadu di setiap peringkat.
  • Pengiktirafan Agensi dalam Dan luar UKM: Kualiti sistem i-SWIMS telah mendapat pengesahan dan sokongan penuh daripada pihak Pusat Teknologi Digital (DigitalUKM) dan ROSH UKM. Lebih membanggakan, inovasi ini menembusi sempadan universiti apabila mendapat sokongan penuh serta menarik minat agensi-agensi luar berprofil tinggi seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Institut Penyelidikan Sains & Teknologi Pertahanan (STRIDE), dan Agensi Nuklear Malaysia.
  • Pengiktirafan Harta Intelek (MyIPO): Sistem yang dibina secara dalaman ini tidak dipandang sepi malah kami telah berjaya mendaftarkan hak cipta (copyright) rasmi untuk sistem i-SWIMS ini melalui eIPR UKM sebagai langkah awal ke arah perlindungan Harta Intelek. Ini bermakna, inovasi digital ciptaan staf ‘sifar IT’ ini terbukti berjaya mendapatkan pengiktirafan.
  • Kejayaan Mengungguli Konvensyen KIK Peringkat Universiti Awam 2026: Sistem ini dinobatkan sebagai Naib Juara di Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Universiti Awam Kali Ke-18 Tahun 2026. Kejayaan mereka menewaskan pesaing-pesaing yang diketuai oleh pakar IT dari pelbagai universiti awam merupakan satu kemenangan yang epik buat mereka sekaligus mengharumkan nama UKM.
  • Pengesahan Tahap Kesediaan Teknologi: Projek ini bukan sekadar “syok sendiri” malah sistem ini telah dinilai dan disahkan secara rasmi oleh Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi UKM dimana ianya mencapai tahap Technology Readiness Level (TRL 8). Ini membuktikan bahawa sistem ciptaan ‘amatur IT’ terbukti berfungsi dengan efektif sepenuhnya di persekitaran operasi sebenar dan bukan lagi sebuah prototaip.

Penutup

Kisah i-SWIMS ini membuktikan bahawa kuasa untuk mencipta dan membangunkan penyelesaian digital tidak terhad kepada mereka yang mempunyai latar belakang IT sahaja. Kecerdasan buatan seperti Gemini dan NotebookLM bukanlah sebuah teknologi yang menggantikan manusia, sebaliknya menjadi pengupaya (enabler) yang memperkasakan keupayaan kakitangan untuk menghasilkan idea dan penyelesaian kreatif yang berimpak tinggi. Kejayaan ini bukan sahaja menyokong agenda pendigitalan UKM, malah seiring dengan aspirasi pendigitalan nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Aplikasi sistem ini akan diperluaskan serta dimanfaatkan diseluruh UKM disamping memastikan sistem ini sentiasa berkembang di masa hadapan.

Rujukan:
[1] Jabatan Alam Sekitar. (2005). Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam. https://www.doe.gov.my/peraturan/peraturan-kualiti-alam-sekeliling-buangan-terjadual-2005-p-u-a-294-2005/.
[2] Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH). (2023) Garis Panduan Pelupusan Buangan Terjadual. Universiti Kebangsaan Malaysia. https://www.ukm.my/kelestarian/sustainability-policies/data/UKM-SPKPPP-PTP07-ROSH-AK04-GP01.pdf
[3] Nota Pengarang: Perbualan sebenar bersama model AI Google Gemini semasa proses pembangunan sistem i-SWIMS, 2026.


(Visited 1 times, 1 visits today)