AI Dalam Teknologi Digital: Mengabadikan Warisan UKM dalam Gigabait
Di satu sudut sunyi di Perpustakaan UKM, tersimpan naskhah-naskhah yang menjadi saksi bisu kepada kelahiran sebuah universiti kebangsaan. Manuskrip lama, dokumen rasmi penubuhan, serta koleksi gambar hitam putih yang merakam memori awal operasi universiti bukanlah sekadar kertas kusam. Ia adalah identiti dan warisan intelektual yang telah berusia puluhan tahun. Namun, musuh utama warisan fizikal ini adalah masa. Faktor usia, suhu, dan kelembapan sering kali mengancam kelestarian bahan-bahan nadir ini daripada terus dinikmati oleh generasi masa hadapan.
Secara tradisinya, pihak perpustakaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif pemeliharaan yang ketat. Mematuhi piawaian suhu dan kelembapan yang khusus, melakukan pembersihan berkala, serta membaiki helaian yang mula mereput adalah rutin harian bagi memastikan bahan klasik ini “panjang hayatnya”. Walau bagaimanapun, cabaran ruang storan yang semakin padat dengan pertambahan koleksi peribadi setiap tahun menuntut satu anjakan paradigma.
Sejajar dengan agenda pendigitalan Sektor Awam, Perpustakaan UKM telah melangkah berani dengan melaksanakan projek digitalisasi bahan-bahan terpilih. Inisiatif perpindahan storan ke “Awan Digital” bukan sekadar mengikut trend, tetapi merupakan strategi ampuh untuk menjamin kelestarian bahan di samping mengoptimumkan ruang fizikal.
Proses transformasi ini melibatkan kerjasama strategik antara Unit Arkib & Koleksi Khas bersama Unit Pemeliharaan dan Pendigitalan Bahan. Keutamaan diberikan kepada bahan yang mempunyai permintaan tinggi serta bahan yang berada dalam keadaan fizikal yang kritikal.
Salah satu teknologi penting yang digunakan ialah Pengecaman Aksara Optik (OCR). Melalui mesin pengimbas canggih, imej teks daripada dokumen lama ditukarkan kepada teks digital yang boleh dicari (searchable). Ini bermakna, penyelidik tidak lagi perlu menyelak ribuan helaian fizikal; cukup sekadar menaip kata kunci di skrin peranti.
Persoalannya, adakah data warisan ini selamat di “Awan”? Perpustakaan memastikan keselamatan data melalui kawalan had akses. Enjin carian luaran hanya dibenarkan “menawan” metadata bahan sahaja, manakala sumber asal bahan dihadkan aksesnya kepada warga universiti. Langkah ini bertindak sebagai perisai automatik dalam mengawal keselamatan harta intelek perpustakaan.
Menyahut tema “Kuasa Digital, Impak Global”, Perpustakaan UKM tidak berhenti pada pendigitalan semata-mata. Integrasi Kecerdasan Buatan (AI) telah diperkenalkan melalui platform seperti Chatbot “Korpus Sejarah UKM”. Bayangkan sebuah sistem yang mampu menjawab persoalan tentang tokoh universiti, sejarah fakulti, atau tarikh-tarikh penting penubuhan tanpa perlu bantuan manusia secara manual.
Inovasi ini mengubah cara kakitangan dan penyelidik bekerja. Jika dahulu mereka perlu menghabiskan masa berjam-jam di bilik bahan, kini AI bertindak sebagai “Pustakawan Pintar” yang mampu mengekstrak maklumat penting dalam hitungan saat. Ini adalah bukti jelas bagaimana teknologi digital mampu memperkasakan peranan arkib daripada sekadar “stor simpanan” kepada sebuah respositori universiti yang dinamik.
Prakarsa pendigitalan ini memberikan impak yang besar terhadap visibiliti universiti. Dengan adanya repositori digital yang teratur, sarjana dari dalam dan luar negara kini boleh memetik sumber sejarah UKM dengan lebih mudah. Keterbukaan akses kepada metadata ini secara tidak langsung meningkatkan sitasi dan nama baik UKM di persada global.
Sebagai rumusan, transformasi dari rak fail ke awan digital ini adalah satu tanggungjawab moral. Kita sedang membina jambatan digital yang menghubungkan masa lalu dengan masa depan. Pendigitalan warisan ini memastikan bahawa “suara” sejarah UKM akan terus didengari, dibaca, dan dikaji oleh generasi anak cucu kita, tanpa bimbang ia akan hilang ditelan zaman.
Kata Kunci: Warisan Digital, Pendigitalan Arkib, Teknologi OCR, Kecerdasan Buatan (AI), Storan Awan.
Oleh:
Ruzita Kamis
Perpustakaan Tun Seri Lanang, Universiti Kebangsaan Malaysia
