Algoritma vs Amanah: Bila AI Menguji Integriti Akademik
Ketika dunia sedang berpacu dengan kecerdasan buatan (AI), institusi pengajian tinggi turut tidak ketinggalan di dalam arus teknologi yang ditawarkan. Kini, AI tidak lagi sekadar alat bantu pengajaran dan penyelidikan, malah ia telah terlibat dalam hampir setiap tugasan akademik. Sama ada pelajar atau pensyarah, masing-masing berada di dalam ekosistem baharu yang dikawal oleh algoritma yang kononnya memudahkan tugasan, tetapi ada ketikanya kelihatan seperti pengganti pemikiran intelektual.
Kakitangan P&P bukan akademik yang menjalankan fungsi perantara di antara pelajar dan pensyarah untuk program sarjana kepakaran klinikal telah memerhatikan pelbagai sisi penggunaan AI terutamanya di dalam komponen penyelidikan. Kebergantungan kepada AI telah dijadikan sebagai pelengkap kepada latihan klinikal, perkhidmatan perubatan dan kesihatan. Justeru, AI menjadi jalan pintas bagi menyiapkan komponen penyelidikan dengan cepat tanpa benar-benar melalui proses sewajarnya.
Ironinya, fenomena ini bukanlah di kalangan para pelajar sahaja, para pensyarah juga dapat dilihat mula bergantung pada AI untuk menyemak, menilai dan memeriksa hasil penulisan pelajar. Adalah difahami bebanan tugasan pensyarah perubatan yang tinggi di dalam melangsaikan urusan pentadbiran dan pengurusan, tugasan akademik dan para pelajar, khidmat klinikal dan para pesakit serta projek kajian dan penyelidikan telah mencipta situasi mendesak yang memerlukan bantuan luar untuk meredakan kecelaruan.
Di sinilah garis kabur integriti di antara efisiensi dan etika akademik mula timbul. Mungkin para pensyarah berpendapat bahawa menggunakan AI untuk menilai kerja pelajar bukanlah satu kesalahan. Namun, realitinya adalah lebih kompleks kerana kita sering alpa bahawa sistem AI “berlatih dan belajar” daripada data yang dimasukkan. Apabila hasil penulisan pelajar yang belum diterbitkan atau dilindungi hak ciptanya dimasukkan ke dalam sistem AI untuk dinilai, hak cipta dan kerahsiaan hasil akademik tersebut terdedah kepada potensi kebocoran data, risiko pencurian data dan pelanggaran privasi.

Apa yang lebih membimbangkan, penggunaan AI tanpa pertimbangan kritikal boleh menyebabkan hilangnya pemikiran reflektif dan empati manusia dalam proses pendidikan. Dalam bidang kritikal seperti sains perubatan dan pengimejan diagnostik umpamanya, apa jua analisis bukan hanya berdasarkan fakta dan data semata, tetapi juga percaturan akal fikiran, pertimbangan klinikal, nilai moral dan etika, serta dasar empati yang tidak mampu difahami oleh mesin.
Tatkala pensyarah menyerahkan tugasnya kepada AI, ia seperti melepaskan fungsi utama seorang pemikul amanah pendidikan yang seharusnya mendidik manusia secara manusiawi. Pada ketika pelajar tidak lagi teruja “mengapa” dan “bagaimana” sesuatu ilmu itu dihujah, tetapi bergegas mencari bagaimana menjana jawapan terhebat dalam kalangan yang terbaik, akhirnya kedua-dua pihak kehilangan nilai yang paling penting di dalam akademik, iaitu kejujuran intelektual.
Universiti dan institusi pengajian tinggi perlu segera membangun dan melaksanakan dasar yang jelas melibatkan penggunaan AI. Pensyarah perlu tahu batas etika semasa menggunakan AI untuk semakan dan penilaian, dan pelajar perlu diajar tentang hak cipta serta risiko pendedahan data. Komuniti akademik harus digalakkan untuk menzahirkan idea asal dan menggunakan AI sebagai pelengkap, bukan pengganti pemikiran intelektual. Penggunaan AI tidak dilarang, namun mendidik komuniti akademik perihal etika penggunaannya amatlah kritikal buat masa ini. Pada titik inilah cabaran sebenar pendidikan moden dikenalpasti. Bukan untuk menolak arus teknologi pesat ataupun menandingi AI, tetapi untuk mengajar manusia supaya tetap menjadi manusia walau dihimpit arus kecerdasan mesin buatan.
Disediakan oleh:
Dr. Siti Farizwana Mohd Ridzwan
Jabatan Radiologi, Fakulti Perubatan
Universiti Kebangsaan Malaysia