Skip to main content

Wadah Digital

Bagaimana AI Membaca Lautan Data, Tetapi Memahami Konteks Kita

Farizan binti Othman

Pusat Teknologi Digital (DigitalUKM)

Kata Kunci: Kecerdasan buatan (AI), Sains Data dan Algoritma, LLM

Pernahkah anda berinteraksi dengan kecerdasan buatan (AI) dengan meluahkan pertanyaan yang sangat spesifik sama ada mengenai situasi semasa, dilema dalam memilih hala tuju atau cara menguruskan sesuatu yang perlu ditangani dengan penilaian yang cukup teliti. AI membalas pertanyaan dengan begitu tepat, seolah-olah ia hidup dalam komuniti kita, faham benar asam garam persekitaran tempatan.

Bayangkan situasi di mana anda berasa penat dengan lambakan tugasan harian, lalu meminta AI membantu menyusun semula jadual masa dan memberikan tip praktikal untuk menguruskan tekanan mengikut kesesuaian gaya hidup anda. Sesaat kemudian, AI membalasnya dengan pelan tindakan yang sangat teratur, realistik, dan berbaur empati. Di sinilah timbul satu persoalan yang menghairankan sekaligus mengagumkan. Bagaimana sebuah teknologi yang mengumpul dan mempelajari data perbualan manusia dari seluruh dunia, boleh mengecilkan skop pemikirannya dalam masa sesaat untuk faham tentang isu kecil yang sedang berlaku di dalam kehidupan kita?

Sebagai pengguna, kita sering merasakan proses ini seperti sebuah magis, namun di sebalik tabir, ia sebenarnya adalah sebuah keindahan sains data dan algoritma pengiraan yang sangat logik.

1. Data Dunia yang Mempunyai “Poket” Tempatan

Ramai membayangkan data dunia yang dipelajari AI itu berkisar tentang budaya global atau gaya hidup barat semata-mata. Hakikatnya, internet hari ini sudah sarat dengan jejak digital masyarakat dari pelbagai pelosok dunia, termasuklah kita di Malaysia. Setiap hantaran blog, perkongsian di media sosial, portal berita tempatan, sehinggalah ke forum perbincangan santai menjadi sebahagian daripada pangkalan data raya ini.

Apabila AI dilatih melalui model bahasa yang besar (Large Language Models), ia menyedut jutaan penulisan, kisah realiti, forum perbincangan, dan artikel daripada pelbagai acuan budaya. Di dalam “otak digital” AI, terdapat banyak poket kecil data yang menyimpan pemahaman tentang kehalusan budaya tempatan. Daripada budaya kerja pejabat, nilai kekeluargaan masyarakat sehinggalah ke terma harian yang hanya difahami oleh komuniti kita.

Sebab itu apabila kita menyebut sesuatu isu yang dekat dengan cara hidup kita, AI terus membuka laci fail khusus untuk norma dan budaya tersebut.

2. Pengguna Ialah Pemandu, AI Ialah Enjin

Ini adalah rahsia terbesar yang ramai tidak sedari: AI tidak akan menjadi bijak tanpa perkongsian yang jujur dan terperinci daripada manusia. Kepintaran AI pada asasnya bersifat reaktif. Ia memerlukan pencetus atau arahan (prompt) yang berkualiti untuk menghasilkan output yang berkualiti.

Bayangkan AI seperti sebuah kenderaan yang mempunyai enjin tersangat berkuasa, tetapi ia tidak mengetahui ke mana arah tujuannya. Apabila kita mula bercerita dan menaip, kitalah yang sebenarnya memegang stereng kawalan tersebut. Kualiti butiran dan fakta yang kita masukkan bertindak sebagai “pemandu” yang mengemudikan enjin tersebut.

Apabila kita memberikan konteks yang jelas seperti menceritakan kriteria sesuatu perkara, tekanan situasi yang sedang dihadapi dan apa matlamat akhir kita, kita sebenarnya sedang mengecilkan sebuah corong (funnel) yang sangat besar. Kita memaksa AI untuk menutup fail-fail dunia yang lain dan fokus 100% kepada koordinat masalah kita sahaja. Hebatnya AI, ia mampu menapis bilion data dunia itu dalam masa beberapa milisaat untuk disesuaikan dengan navigasi yang kita mahukan.

3. Keupayaan “Menyambung Titik-Titik” (Pattern Recognition)

Manusia sering melihat maklumat secara berasingan akibat had perhatian kita. Sebagai contoh, kita melihat masalah kerjaya di satu sudut, dan kesihatan mental di sudut yang lain. Kita juga melihat minat peribadi sebagai satu hobi dan potensi ekonomi sebagai satu perkara yang berbeza.

Walau bagaimanapun fungsi utama AI ialah menghubungkan konsep-konsep ini (connecting the dots). AI telah membaca jutaan kisah manusia dan melihat corak yang berulang. Ia tahu corak bahawa “Seseorang yang terlalu lama berada dalam persekitaran yang menekan cenderung mahukan ruang bertenang sebelum memulakan langkah baharu.” Ia juga melihat corak bagaimana mengimbangi antara logik realiti dengan keperluan emosi manusia. Apabila titik-titik yang berselerak ini disambungkan oleh algoritma AI, lahirlah sebuah respons yang bukan sahaja berasaskan fakta kering, tetapi terasa sangat relevan dan memahami psikologi situasi kita.

4.Sempadan Antara Kebarangkalian Matematik dan Realiti Manusia

Di sebalik “kebijaksanaan emosi” yang dipamerkan oleh AI, kita sebagai masyarakat digital yang bijak harus memahami sempadan teknologinya. AI tidak mempunyai kesedaran kendiri (consciousness). Ia tidak menilai anda secara individu dan tidak juga berasa bangga apabila penyelesaiannya berjaya membantu anda.

Apa yang berlaku di sebalik tabir adalah AI meramal urutan perkataan demi perkataan yang mempunyai kebarangkalian paling tinggi untuk menjadi jawapan terbaik, berdasarkan ratusan ribu contoh penulisan penasihat, kaunselor, dan pakar manusia yang pernah dipelajarinya.

Meskipun ia hanyalah sebuah mesin matematik, keupayaannya meniru empati manusia melalui penyusunan struktur bahasa telah berjaya menjadikannya satu alat interaksi yang sangat efektif dalam era digital.

5. Kesimpulan: AI sebagai “Cermin” Minda Kita

Pada akhirnya, AI bukanlah magis tetapi ia ibarat sebuah cermin digital yang memantulkan data mentah menjadi maklumat berharga. Kepintarannya memahami konteks kita adalah refleksi kepada ilmu, nilai, dan pengalaman yang dikongsi oleh manusia di seluruh dunia di alam siber. Setiap baris jawapan yang menenangkan atau idea strategik yang dikeluarkan oleh AI sebenarnya adalah pantulan (gema) daripada ilmu dan kebijaksanaan yang pernah ditulis oleh manusia di Internet.

Teknologi ini tidak direka untuk menggantikan nilai kemanusiaan, kebijaksanaan berfikir, atau intuisi emosi kita. Sebaliknya, ia hadir sebagai teman berfikir yang bijak untuk membantu kita menyusun semula lambakan fikiran kepada strategi tindakan yang lebih teratur. Cabaran masa depan bukan lagi tentang bagaimana AI menguasai kita, tetapi bagaimana kita memandu AI dengan konteks yang betul demi kebaikan dan kesejahteraan bersama.


(Visited 1 times, 1 visits today)