Wadah ICT

Berapa Nilai Warisan Alam Semula jadi Kita? Dari Klik Tempahan ke Kesanggupan Membayar

Bayangkan satu situasi.

Seorang pelancong muda dari Kuala Lumpur membuka telefon pintarnya untuk menempah lawatan ke Taman Negara Mulu. Dalam beberapa klik sahaja, dia memilih tarikh, pakej lawatan gua, dan membuat bayaran secara dalam talian. Sebelum pembayaran disahkan, satu pilihan kecil muncul di skrin:

“Adakah anda ingin menyumbang RM10 untuk kelangsungan dan pemuliharaan taman negara ini?”

Soalan itu nampak ringkas. Tapi di situlah sebenarnya bermula persoalan besar tentang  nilai berapa harga warisan kita di mata masyarakat?

Warisan: Dari Hutan Hujan ke Gajah yang Dilindungi

Warisan alam kita bukan sekadar tentang keindahan yang dapat kita lihat, kita rasakan udara yang segar daripadanya, tetapi lebih kepada kehidupan yang kita lindungi. Ianya lebih kepada kehidupan yang ada dialam semula jadi ini yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit semata-mata.

Di Setiu Wetlands, Terengganu sebagai salah satu contoh yang mungkin kita boleh kaitkan dengan kepentingan hutan paya bakau dan kehidupan kita. Pengunjung ke sana dapat menyaksikan ekosistem tanah lembap yang kaya dengan biodiversiti, dari bakau hingga hidupan marin. Manakala di Gunung Mulu, pelawat kagum dengan keunikan gua batu kapur dan hutan hujan purba. Formasi batu kapur “Pinnacles” yang unik, biodiversiti hutan hujan tropika yang tinggi, serta trek  pendakian yang mencabar, menjadikannya sebuah permata ekopelancongan yang ikonik bagi  Malaysia.

Namun begitu, warisan alam tidak terhad kepada landskap sahaja. Di Kuala Gandah Elephant Conservation Center, Pahang, pelawat berpeluang melihat sendiri usaha menyelamat dan memulihara gajah liar yang terancam akibat konflik manusia-hidupan liar. Pusat ini bukan sekadar menjadi destinasi pelancongan, tetapi simbol usaha pemuliharaan yang memerlukan komitmen berterusan  dari segi tenaga, kepakaran dan kewangan. Realiti yang sukar difahami oleh masyarakat umum ialah kelangsunagn pemuliharaan memerlukan kos yang tinggi dan berterusan.

Teknologi Digital: Dari Pengalaman ke Tindakan

Dalam era digital, pengalaman pelancongan semakin mudah dengan adanya tempahan dalam talian, peta digital, dan perkongsian di media sosial. Tetapi teknologi juga boleh melakukan lebih daripada itu.

Bayangkan jika setiap pelawat ke Kuala Gandah atau Gunung Mulu menerima notifikasi selepas lawatan:

  • “Sumbangan RM10 anda membantu penjagaan gajah yang diselamatkan”
  • “Dana anda menyokong pemulihan habitat tanah lembap”

Dengan satu klik, pelawat bukan sahaja menikmati pengalaman yang bermakna, malah mereka turut menyumbang kepada kelestarian alam semula jadi kita.

Berapa Nilai yang Kita Sanggup Bayar?

Di sinilah konsep kesanggupan membayar (Willingness to Pay, WTP) menjadi penting.

Kajian dalam konteks Malaysia menunjukkan bahawa masyarakat sebenarnya bersedia untuk menyokong pemuliharaan:

  • sekitar RM50 hingga RM60 setahun melalui cukai,
  • dan lebih tinggi, melalui kaedah derma sekitar RM40 hingga RM45 setahun

Dalam konteks pelancongan pula, pelawat lazimnya sanggup menyumbang sekitar RM5 hingga RM15 bagi setiap lawatan, terutama apabila mereka memahami bahawa sumbangan tersebut terus menyokong konservasi.

Ini bermaksud, jika setiap pelawat ke Kuala Gandah menyumbang walaupun RM10, dana yang terkumpul boleh membantu:

  • kos makanan dan penjagaan gajah
  • operasi pemindahan gajah liar
  • program pendidikan dan kesedaran awam

Nilai kecil daripada individu, tetapi impak besar secara kolektif.

Kenapa Kita Lebih Rela Menyumbang?

Menariknya, ramai lebih cenderung untuk memberi melalui derma berbanding bayaran wajib. Kenapa? Ini kerana derma memberi rasa keterlibatan.

Apabila pelawat diberi pilihan dan bukannya melalui paksaan, mereka lebih rela menyumbang. Tambahan pula, dengan teknologi digital yang telus (contohnya laporan penggunaan dana), proses yang pantas dan cekap, kepercayaan terhadap sistem juga meningkat.

Di sinilah teknologi dan tingkah laku manusia saling berkaitan: apabila kita faham impak, kita lebih sanggup menyumbang.

Dari Pelawat kepada Penjaga Warisan

Apa yang bermula sebagai satu lawatan, boleh berubah menjadi satu hubungan.

Pelawat yang menyumbang mungkin akan:

  • kembali semula ke destinasi tersebut
  • Menjadi ‘duta’ dengan berkongsi pengalaman di media sosial agar keunikan sesuatu destinasi menjadi lebih cepat tersebar.
  • Memberi sokongan berterusan menyokong usaha pemuliharaan

Dalam erti kata lain, mereka bukan hanya  sekadar pelancong,  tetapi bertukar menjadi penjaga warisan secara tidak langsung.

Nilai yang Kita Tentukan Sendiri

Kembali kepada soalan awal:

“Adakah anda ingin menyumbang RM10?”

Di Kuala Gandah, RM10 mungkin membantu memberi makan seekor gajah.
Di Setiu Wetlands, RM10 mungkin menyumbang kepada pemulihan ekosistem.
Di Gunung Mulu, RM10 mungkin membantu melindungi khazanah dunia.

Akhirnya, warisan bukan ditentukan oleh nilainya di atas kertas, tetapi oleh kesanggupan kita untuk melindunginya. Dengan bantuan teknologi dan digital yang semakin cekap, telus, dan pantas, warisan alam semula jadi kita menjadi lebih dikenali dan seterusnya dihargai.

Kata Kunci: Nilai Tersembunyi; warisan alam; Teknologi Digital; Kesanggupan Membayar; Pemuliharaan

Oleh,
Suziana Hassan
Universiti Kebangsaan Malaysia

(Visited 4 times, 1 visits today)