BUKAN SEKADAR ‘CHATBOT’: GEMINI MENJADI TUTOR PERIBADI SENTIASA ‘ON’ KEPADA MAHASISWA
Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat
* Penulis Koresponden : faridatul@ukm.edu.my
Kata Kunci: Gemini, Tutor Peribadi, Study smart, Mahasiswa, Dunia Kampus
Lanskap menuntut ilmu di menara gading kini sudah jauh berubah. Mengimbas tradisi lalu, ketibaan musim peperiksaan pastinya disusuli dengan kegigihan mahasiswa memburu soalan tahun lepas (past year questions) demi mempersiapkan diri bagi menggenggam keputusan yang cemerlang. Bagaimanapun, realitinya tidak semua kursus memiliki arkib soalan yang lengkap. Rentak perubahan silibus yang pantas, evolusi format peperiksaan, dan isu keterbatasan akses kerap kali merencatkan persediaan para pelajar. Namun, kehadiran era kecerdasan buatan (AI) menerusi aplikasi seperti Gemini telah mengubah landskap pemikiran tersebut dengan menyediakan akses ‘tutor peribadi’ alaf baharu tanpa batasan masa. Implikasinya, mahasiswa kini mampu memanfaatkan teknologi ini bagi memangkin kualiti pembelajaran kendiri (self-study) ke tahap yang lebih optimum.
Merangka Soalan yang Komprehensif dan Mengikut Silibus
Jika dahulu mahasiswa terpaksa bergantung sepenuhnya pada himpunan soalan tahun lepas, kini Gemini berupaya menggubal pelbagai variasi format latihan yang dinamik. Menariknya, set soalan yang dihasilkan bukanlah kutipan secara rawak dari Internet, sebaliknya disesuaikan khusus mengikut acuan universiti masing-masing. Manfaat ini menjadi lebih nyata apabila mahasiswa memuat naik slide kuliah bersama kerangka objektif akademik kursus. Gemini akan bertindak umpama seorang pensyarah yang sedang merangka kertas soalan. Berpandukan hala tuju kurikulum tersebut, Gemini boleh mengimbangkan aras kesukaran latihan, sama ada sekadar menguji kefahaman asas mahupun mencabar minda dengan konsep beraras tinggi (KBAT). Natijahnya, bahan latih tubi yang dijana tampil lebih berfokus, menepati sukatan pelajaran, serta mengekalkan penggunaan istilah dan kata kunci tepat seperti yang disampaikan di dewan kuliah.
Analisis Nota dan Slide Kuliah untuk Ulang Kaji Lebih Padu
Lambakan slide kuliah yang tebal dan sarat dengan maklumat sering kali mencetuskan keletihan mental (mental fatigue) dalam kalangan pelajar. Di sinilah Gemini bertindak sebagai solusi pintar. Hanya dengan memuat naik fail PDF nota atau slide kuliah, mahasiswa boleh mengarahkan teknologi ini untuk mengekstrak isi penting, menyenaraikan formula wajib, mahupun menukarkan nota teks yang panjang kepada bentuk peta minda berstruktur dalam format Markdown.
Sebagai panduan, penyataan di bawah adalah contoh prompt (arahan) yang boleh digunakan oleh mahasiswa untuk menghasilkan isi penting daripada slide nota berasaskan format Markdown:

Sebaik sahaja Gemini menjana peta minda teks berstruktur tersebut, mahasiswa tidak perlu lagi menyalinnya secara manual. Mereka hanya perlu menyalin (copy) kod Markdown atau terus save secara automatik code markdown dengan formtat (*.md) dan memasukkannya ke dalam beberapa aplikasi nota serta pemetaan minda moden yang mampu menukarkan teks tersebut menjadi carta visual yang ringkas, kemas, dan estetik secara automatik. Antara aplikasi yang boleh digunakan adalah Notion atau Obsidian untuk menukarkannya menjadi struktur nota bertingkat (toggle lists), XMind atau GitMind bagi menjananya menjadi carta buih visual berwarna-warni dengan hanya satu klik, serta Mind Map AI untuk menghasilkan rajah alir atau peta minda digital yang sangat profesional.

Saluran Segera untuk Menjawab Kekeliruan Topik
Dalam ruang dewan kuliah yang besar, tidak semua pelajar mempunyai keberanian untuk mengajukan soalan ketika berdepan dengan topik yang sukar difahami. Situasi ini menjadi lebih rumit apabila masa kuliah amat terhad disebabkan kekangan pensyarah yang perlu mengejar sukatan silibus, sekali gus membataskan ruang untuk sesi soal jawab secara mendalam. Masalah berbeza pula timbul bagi mahasiswa yang tidak hadir ke kelas atas alasan tertentu. Apabila mereka merujuk semula slide nota ketika ketidak hadiran mereka dalam kuliah tersebut, mereka sering kali buntu kerana nota tersebut hanyalah sekadar ringkasan dalam bentuk bullet points yang sukar difahami tanpa penjelasan lisan.
Di sinilah Gemini hadir sebagai penyelamat keadaan. Menerusi teknologi ini, proses pencerahan konsep boleh berlaku secara serta-merta tanpa sebarang stigma atau rasa segan. Mahasiswa bebas bertanyakan apa sahaja topik yang kabur, termasuk memohon penjelasan lanjut bagi nota kuliah yang ringkas. Mahasiswa boleh mengarahkan Gemini menerangkannya dalam pelbagai gaya penyampaian. Melalui kaedah ini, mahasiswa berpeluang menerokai konsep pembelajaran holistik, di mana rantaian soalan boleh diajukan secara bertingkat sehingga struktur asas topik tersebut dapat dikuasai sepenuhnya. Kebolehan ini membolehkan konsep yang paling abstrak, daripada teori Quantum Physics sehinggalah kepada prinsip perakaunan debit-kredit, dipermudahkan dengan berkesan melalui analogi kehidupan seharian.
“Study Smater Not Harder”
Pengintegrasian Gemini dalam pembelajaran kendiri bukanlah satu jalan pintas untuk bersikap culas atau meniru, sebaliknya ia merupakan satu pemangkin utama dalam merealisasikan falsafah “Study Smarter, Not Harder”. Melalui pendekatan ini, mahasiswa tidak lagi perlu menghabiskan masa berjam-jam secara membuta tuli untuk menghafal ratusan muka surat nota, sebaliknya bertindak lebih bijak dengan memanfaatkan Gemini untuk menapis maklumat kritikal.
Melalui pembekalan data yang tepat ke dalam Gemini seperti slide kuliah dan hala tuju kurikulum, mereka tidak lagi perlu membuang masa meneka bab atau bentuk soalan yang bakal keluar dalam peperiksaan, sekali gus menjadikan ulang kaji mereka lebih berfokus dan bersasar. Wadah teknologi ini sekiranya dimanfaatkan secara beretika, mampu melahirkan generasi kelas tersendiri; sebuah kelompok mahasiswa yang lebih mandiri, berfikiran kritis, dan sentiasa bersiap siaga mendepani apa jua cabaran akademik.
✓ Artikel selesai
🤖 Bahan Pembelajaran Janaan AI
Jana slaid ringkas atau infografik daripada makalah ini menggunakan Claude, untuk memudahkan perkongsian atau ulang kaji.