CABARAN MEMELIHARA JATI DIRI DIGITAL
Masnizah Mohd1,2*
Pusat Teknologi Digital1, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat2
*Penulis Koresponden: masnizah.mohd@ukm.edu.my
Kata Kunci: Jati Diri Digital, Kecerdasan Buatan (AI), Gemini, NotebookLM
Jati Diri Digital
Beberapa hari sebelum artikel ini ditulis, nama Profesor Dr. Zarina Shukur daripada Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi perhatian warga maya. Beliau mencetuskan satu cabaran santai dalam bentuk peraduan kepada pelajar, alumni dan orang ramai untuk ‘membetulkan’ gambar di poster rasminya menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), dengan satu syarat penting iaitu ‘identiti asal individu dalam gambar tidak boleh diubah.’ Cabaran ini nampak mudah, namun hasilnya sangat menarik untuk diteliti. Pelbagai versi gambar yang dijana AI mula beredar di media sosial dalam masa singkat. Rajah 1 menunjukkan, ada yang menambah sentuhan pencahayaan lebih profesional, ada yang memperkemas susunan tudung serta pakaian, ada juga yang menghasilkan versi wajah yang kelihatan lebih sempurna dari sudut estetik digital, malah ada juga yang mengubah identiti asal. Namun, respons yang muncul daripada warga maya agak mengejutkan tetapi bermakna. Ramai berpendapat bahawa gambar asal Prof. Zarina sebenarnya lebih kuat dari segi identiti dan karakter. Walaupun imej AI kelihatan lebih kemas, ia tidak sepenuhnya menangkap keaslian ekspresi, gaya dan personaliti sebenar individu tersebut. Situasi ini membuka satu perbincangan yang lebih besar iaitu apabila AI mula ‘menghasilkan wajah kita’, sejauh mana identiti sebenar masih dikekalkan? AI mungkin sangat pintar, tetapi AI tidak benar-benar mengenali kita secara menyeluruh seperti manusia yang memahami identiti, pengalaman, dan konteks diri. Tanpa konteks yang mencukupi, AI mungkin menghasilkan imej yang lebih mencerminkan stereotaip sosial berbanding realiti sebenar.

Rajah 1: Gambar asal dan suntingan AI
Teknologi AI dalam Imej Digital
Teknologi AI generatif seperti Gemini mampu menghasilkan imej yang sangat meyakinkan. Ia dilatih menggunakan jutaan data visual dan teks, membolehkannya menghasilkan pelbagai variasi imej berdasarkan arahan pengguna. Namun, AI tidak ‘mengenali’ seseorang seperti manusia mengenali manusia lain. Ia tidak memahami sejarah hidup, personaliti atau konteks sosial individu yang sebenar. Apa yang dihasilkan hanyalah interpretasi statistik berdasarkan pola dalam data latihan. Hal ini dapat dilihat dengan jelas dalam kes Prof. Zarina, apabila gaya pemakaian tudung beliau yang konsisten sejak zaman persekolahan hingga kini turut berubah dalam versi imej yang dijana AI. Sedangkan bagi mereka yang mengenali beliau, gaya tersebut sebenarnya merupakan sebahagian daripada identiti peribadi yang telah lama terbentuk dan tidak seharusnya diubah oleh algoritma. Akibatnya, imej yang dijana AI sering cenderung kepada versi yang lebih generik atau ‘ideal’. Wajah mungkin kelihatan lebih licin, ekspresi lebih neutral dan gaya lebih seragam berbanding realiti. Perbezaan antara imej asal dan imej yang dijana AI menunjukkan satu perkara penting iaitu keaslian tidak semestinya sinonim dengan kesempurnaan visual.
Apabila keaslian lebih bernilai daripada kesempurnaan, sesuatu yang tulen dan mencerminkan identiti sebenar akan sentiasa lebih dihargai berbanding imej yang terlalu sempurna tetapi tidak autentik. Fenomena ini mengingatkan kita bahawa dalam dunia digital, persepsi terhadap ‘cantik’ atau ‘profesional’ semakin banyak dipengaruhi oleh algoritma. AI boleh menjadikan imej lebih kemas, lebih terang dan lebih menarik secara visual. Namun begitu, nilai sebenar sesuatu imej bukan hanya pada estetiknya, tetapi pada keasliannya. Gambar asal seseorang membawa elemen yang tidak mudah digantikan oleh AI seperti ekspresi spontan, identiti budaya dan ciri peribadi yang terbentuk secara semula jadi. Kes Prof. Zarina menunjukkan bahawa masyarakat masih menghargai keaslian. Walaupun AI mampu menghasilkan versi yang lebih sempurna, ramai yang tetap merasakan imej asal lebih meyakinkan kerana ia mencerminkan individu sebenar, bukan versi yang ditafsir oleh mesin.
Penggunaan Teknologi AI dalam Membina Konteks
Gemini dan alatan AI seperti NotebookLM seharusnya dilihat sebagai pembantu dalam proses kreatif dan pengurusan maklumat, bukannya pengganti kepada identiti sebenar seseorang. Perlu ditekankan bahawa teknologi seperti Gemini bukanlah masalah, sebaliknya, ia adalah alat yang berkuasa untuk membantu proses kreatif. Gemini boleh digunakan untuk mencadangkan idea poster, menghasilkan variasi reka bentuk, menulis slogan, atau membantu mempercepatkan kerja reka bentuk grafik. AI bertindak sebagai pembantu kreatif yang meningkatkan produktiviti dalam konteks ini. Namun, apabila melibatkan identiti individu, sempadan penggunaannya perlu difahami dengan jelas. AI tidak sepatutnya menggantikan perwakilan sebenar seseorang, terutamanya dalam konteks rasmi, akademik atau profesional. Keputusan akhir tentang bagaimana seseorang ingin diwakili secara visual masih perlu datang daripada manusia sendiri. NotebookLM pula membantu memastikan bahawa AI bekerja berdasarkan konteks yang tepat dengan merujuk kepada sumber dan dokumen sebenar, sekali gus mengurangkan risiko interpretasi yang tersasar daripada identiti atau makna asal sesuatu maklumat. Selain Gemini, NotebookLM turut memainkan peranan penting dalam ekosistem AI moden. Jika Gemini membantu menghasilkan kandungan, NotebookLM pula membantu mengurus dan memahami konteks maklumat. Justeru, NotebookLM boleh digunakan untuk mengumpulkan maklumat sahih atau sumber yang dipercayai seperti biodata, pencapaian akademik, bidang kepakaran dan bahan rujukan rasmi dalam situasi penghasilan poster atau profil individu.
Dengan adanya konteks yang betul, AI dapat menghasilkan kandungan yang lebih tepat dan tidak lari daripada identiti sebenar individu tersebut dengan adanya konteks yang betul. Ini penting kerana salah satu cabaran utama AI generatif ialah kecenderungan untuk ‘mengisi kekosongan’ dengan andaian. Jika tidak dikawal, keadaan ini boleh menyebabkan maklumat yang dihasilkan menyimpang daripada fakta sebenar, kelihatan aneh, sekali gus membentuk gambaran yang tidak tepat terhadap identiti, konteks, atau maksud asal sesuatu data. Kemajuan AI membawa bersama tanggungjawab yang besar kepada pengguna. Literasi AI bukan sekadar tahu menggunakan alat, tetapi memahami batas dan implikasinya. Pengguna perlu sedar bahawa tidak semua hasil AI tepat atau sesuai digunakan tanpa semakan. Terdapat risiko bahawa identiti seseorang boleh diubah secara tidak disengajakan akibat penambahbaikan algoritma misalnya dalam konteks imej dan poster. Oleh itu, Human-in-the-Loop (HITL) atau proses semakan manusia tetap diperlukan. Keupayaan untuk menilai sama ada sesuatu imej masih setia kepada identiti asal merupakan kemahiran penting dalam era digital ini. Aspek ini menjadi semakin relevan kerana AI kini digunakan secara meluas dalam pengajaran, penyelidikan dan komunikasi. AI akan terus berkembang dan menjadi semakin canggih. Tidak mustahil pada masa hadapan, imej yang dijana AI akan kelihatan hampir tidak dapat dibezakan daripada gambar sebenar. Namun, semakin tinggi tahap kecanggihan teknologi, semakin penting untuk kita mengekalkan nilai keaslian. Teknologi seharusnya membantu memperkukuh identiti manusia, bukan menggantikannya. Mungkin keaslian akan menjadi satu bentuk ‘kemewahan baharu’ dalam dunia yang semakin dipenuhi imej digital yang sempurna. Kes Prof. Zarina memberikan kita satu pengajaran mudah tetapi mendalam, iaitu kadangkala, apa yang paling nyata bukanlah yang paling sempurna.
Penutup
Kesimpulannya, teknologi AI dan alatan seperti Gemini dan NotebookLM membuka ruang baharu dalam kreativiti digital. Namun, penggunaan teknologi ini perlu disertai dengan kefahaman yang jelas tentang identiti, konteks dan keaslian. AI boleh membantu menghasilkan gambar yang lebih menarik, tetapi ia tidak boleh memahami siapa kita sebenarnya. Di sinilah peranan manusia kekal penting, sebagai penentu identiti, penjaga makna dan pengimbang kepada kecanggihan algoritma. Cabaran sebenar bukan lagi menghasilkan imej yang cantik, tetapi memastikan kita tidak hilang dalam imej yang dijana oleh mesin dalam dunia yang semakin dipacu oleh AI. Selain data, jati diri dan identiti kini menjadi ‘mata wang’ baharu dalam era AI. Ini kerana nilai seseorang bukan lagi hanya terletak pada maklumat yang dikongsi, tetapi pada keaslian dan integriti identiti yang mampu dipertahankan dalam dunia digital.
Penghargaan
Penulis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Prof. Dr. Zarina Shukur atas kesudian beliau memberikan persetujuan untuk menjadikan pengalaman tersebut sebagai kajian kes dalam artikel ini, serta menyemak kandungan penulisan dan berkongsi pandangan yang memperkayakan perbincangan mengenai cabaran memelihara jati diri digital dalam era AI.
Rujukan
1. Barve, S., Mao, A., Shi, J. M., Juneja, P., & Saha, K. (2026). Social stereotypes in AI text-to-image generation. AI and Ethics, 6(2), 296.
2. Google. (2025). Gemini for Google Workspace. https://workspace.google.com/gemini/
3. Google. (2025). NotebookLM: Your AI-powered research assistant. https://notebooklm.google/
4. Kosmo! (2026). Profesor minta sunting gambar guna AI, hadiah menarik menanti hingga 5 petang ini. https://www.kosmo.com.my/2026/06/11/profesor-minta-betulkan-gambar-guna-ai-hadiah-menarik-menanti-hingga-5-petang-ini/
5. UNESCO. (2023). Guidance for generative artificial intelligence in education and research. United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization. https://unesdoc.unesco.org/ark:/48223/pf0000386693
✓ Artikel selesai
🤖 Bahan Pembelajaran Janaan AI
Jana slaid ringkas atau infografik daripada makalah ini menggunakan Claude, untuk memudahkan perkongsian atau ulang kaji.