Harga Sebuah Keselamatan: Adakah Privasi Kita Kini Menjadi Pertaruhan?
Setiap kali kita mengimbas wajah atau menekan butang ‘setuju’ pada skrin telefon, sedar atau tidak, kita sebenarnya sedang menyerahkan secebis daripada identiti kita kepada dunia digital. Di dunia hari ini, kita seolah-olah sedang menandatangani satu perjanjian yang kita sendiri tidak pasti pengakhirannya. Kita sering kali begitu mudah menyerahkan segala data peribadi, hinggakan lokasi keberadaan kita pun sanggup dikongsi, asalkan kita dijanjikan benteng perlindungan daripada ancaman siber yang kian menghimpit. Namun, tanpa sedar, kita mungkin sedang menggadaikan satu aset yang paling berharga, iaitu ruang peribadi kita sendiri. Persoalannya, adakah keselamatan ICT yang kita dambakan ini memerlukan pengorbanan privasi yang mutlak, atau sebenarnya kita sekadar terperangkap dalam sebuah ilusi?
Jika diperhatikan, teknologi hari ini sudah menjadi seakan “mata-mata” yang sangat rajin. Di satu sudut, kita merasa lega sebab sistem keselamatan boleh kesan aktiviti pelik di dalam akaun kita sepantas kilat. Tetapi di sudut yang lain, sedarkah kita yang setiap tapak digital kita sedang diperhati? Daripada apa yang kita beli, ke mana kita pergi, hinggalah kepada apa yang kita borakkan dengan raka-rakan di media sosial, segalanya dirakam dan disimpan atas nama “keselamatan”. Kita seolah-olah hidup di dalam sebuah rumah kaca. Di mana kita merasa selamat daripada ribut di luar, tetapi kita lupa bahawa orang luar boleh nampak segala-galanya yang kita buat di dalam.
Sering kali kita dengar ayat, “Kalau tak buat salah, kenapa nak takut?” Tapi hakikatnya, isu privasi ini bukannya tentang kita ada buat salah atau tidak. Ia sebenarnya tentang hak kita untuk ada ruang peribadi yang tidak diceroboh oleh algoritma mesin. Bayangkan jika semua gerak-geri kita di kampus atau di tempat kerja dipantau oleh sistem AI yang kononnya nak jaga keselamatan ICT. Memanglah kita rasa selamat, tapi dalam masa yang sama kita akan rasa rimas sebab seolah-olah ada sepasang mata yang tidak pernah tidur sedang memerhati. Mencari titik imbang inilah yang sebenarnya paling mencabar dalam dunia digital sekarang.
Melangkah ke tahun 2026, cabaran ini jadi makin rumit. Bila teknologi palsuan deepfake dan pencurian identiti makin menjadi-jadi, kita seolah-olah dipaksa untuk serahkan lebih banyak data peribadi kepada sistem untuk buktikan yang “kita adalah kita”. Kita bagi imbasan retina, kita bagi rakaman suara, kita bagi corak cap jari. Persoalannya, bila semua data biometrik yang sangat sensitif ini sudah masuk dalam pangkalan data yang besar, siapa yang boleh menjamin bahawa ia tidak akan bocor suatu hari nanti?. Inilah risiko besar yang kita ambil. Kita korbankan privasi yang paling intim demi secebis rasa selamat yang kadangkala belum tentu terjamin.
Di dalam persekitaran tempat kerja, pertembungan antara privasi dan keselamatan siber adalah satu realiti yang tidak dapat dielakkan. Walaupun organisasi memerlukan data berskala besar untuk tujuan analisis dan kelancaran urusan operasi, tanggungjawab untuk melindungi hak peribadi setiap kakitangan tetap perlu menjadi keutamaan yang tidak boleh diabaikan. Kita tidak boleh lagi mengharapkan sistem komputer semata-mata untuk menjaga keseimbangan ini. Perlu ada kesedaran etika yang tinggi daripada manusia yang mengendalikan teknologi tersebut. Literasi digital bukan sekadar tahu guna peranti, tapi tahu bila hendak berkata “tidak” kepada pengumpulan data yang melampau.
Ringkasnya, kita kena faham yang privasi dan keselamatan bukannya dua perkara yang saling bermusuhan. Kedua-duanya sangat penting untuk kelangsungan hidup digital kita. Apa yang kita perlukan sekarang bukannya lebih banyak teknologi pengawasan yang menyesakkan, tetapi lebih banyak ketelusan daripada pihak yang mengumpul data tersebut. Kita berhak tahu bagaimana data kita digunakan dan sejauh mana rahsia kita dijaga. Di dalam dunia yang penuh dengan kuasa digital ini, pertahanan terbaik kita bukannya dengan menutup terus pintu teknologi, tetapi dengan menjadi pengguna yang bijak dan berani bertanya. kita semua mahukan keselamatan di dunia digital tanpa perlu merasa seolah-olah segala privasi kita terdedah tanpa batasan di depan algoritma.
Kata kunci: keselamatan siber, keselamatan peribadi, privasi, AI, algoritma
Oleh :
Nurul Izzatty Ismail
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan dan Keusahawanan
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM
izzatty@ukm.edu.my
