Syumi Rafida Abdul Rahman¹, Nadzirah Hosen²*, Muhamad Solehin Fitry Rosley³
Fakulti Pengajian Sains Citra1, Institut Alam Sekitar & Pembangunan2, Institut Alam & Tamadun Melayu3
* Penulis Koresponden : nadzirahosen@ukm.edu.my
Kata Kunci: Herbarium Digital, Literasi Botani, Generasi Z, Kelestarian
“Saya menganggap tumbuhan di mana-mana pun sama kerana semua tumbuhan berakar, berbatang, berdaun, dan juga berbunga selain sering dijadikan hiasan untuk mencantikkan sesuatu kawasan”.
Inilah antara refleksi yang diberikan oleh kebanyakan Generasi Z apabila ditanya mengenai persepsi mereka terhadap tumbuhan. Kedengaran seperti acuh tidak acuh, namun inilah realiti pahit pada hari ini berhubung kesedaran Generasi Z terhadap tumbuhan di sekeliling mereka.
Literasi botani ditakrifkan sebagai pemahaman tentang biologi tumbuhan, ekologi, serta peranan penting yang dimainkan oleh tumbuhan dalam ekosistem. Pemahaman ini merupakan asas yang sangat penting dalam usaha pemuliharaan alam sekitar, pemeliharaan biodiversiti, serta pembinaan kesedaran ekologi. Apabila seseorang memiliki literasi botani, mereka bukan sahaja memahami hubungan timbal balik antara manusia dan tumbuhan, malah lebih bersedia untuk menghadapi cabaran sosio-ekologi global seperti kemerosotan biodiversiti, perubahan iklim, dan isu keselamatan makanan.

Rajah 1: Literasi botani membantu Generasi Z menghadapi cabaran sosio-ekologi global dengan lebih lestari.
Pasif di Mata Generasi Z: Cabaran Plant Blindness
Walaupun tumbuhan amat penting untuk kelangsungan ekosistem, generasi muda kini semakin terputus hubungan dengan alam semula jadi. Hal ini berpunca daripada kecenderungan mereka meluangkan masa lapang bersama media moden berbanding meneroka alam sekitar. Status semasa literasi botani dalam kalangan Generasi Z berada pada tahap yang rendah dan membimbangkan akibat penularan fenomena kepincangan kesedaran tumbuhan atau plant blindness.
Pada umumnya, Generasi Z mempunyai sikap dan persepsi yang positif terhadap tumbuhan kerana mereka menghargai nilai estetika elemen hijau ini. Walau bagaimanapun, minat aktif mereka untuk mengkaji, menjaga, atau mempelajari botani secara mendalam adalah sangat rendah. Hal ini berlaku kerana mereka cenderung melihat tumbuh-tumbuhan hanya sebagai “latar belakang pasif” kepada kehidupan manusia dan haiwan. Tambahan pula, silibus pembelajaran di institusi pengajian tinggi kurang menekankan kemahiran pengecaman spesies di lapangan, di samping kualiti bahan bacaan yang superfisial serta kaedah pengajaran konvensional yang kurang menarik.
Etnobotani: Menyingkap Warisan Ilmu Purba
Etnobotani merupakan salah satu bidang ilmu purba yang mengkaji hubungan timbal balik antara manusia dan tumbuh-tumbuhan untuk pelbagai tujuan kehidupan. Awalan “etno-“ dalam etnobotani merujuk aspek kebudayaan dan kemanusiaan yang mempengaruhi sesuatu masyarakat untuk menamakan, mengelaskan, menggunakan, dan menghargai tumbuhan di sekeliling mereka.
Sebelum disiplin ini diiktiraf secara saintifik pada akhir abad ke-19, tamadun purba seperti Mesir, China, India, dan Alam Melayu telah pun mengamalkannya melalui pemakanan, perubatan tradisional, pembinaan, pertanian, serta pelbagai amalan kebudayaan dan kerohanian. Hal ini dapat dilihat menerusi peranan tumbuhan dalam ritual adat, kepercayaan tempatan, cerita rakyat, dan identiti sesuatu kaum. Pada masa lalu, ilmu ini diturunkan secara lisan merentasi generasi menerusi pengalaman, tradisi, dan amalan tempatan.

Rajah 2: Hubungan timbal balik di antara manusia dan tumbuhan turut melibatkan elemen budaya yang membentuk kepercayaan dan identiti sesebuah masyarakat.
Sinergi Herbarium Digital & AI Generatif (Gemini & Gemini Notebook)
Herbarium digital merupakan salah satu kaedah pembelajaran berasaskan projek dalam bidang etnobotani yang mampu mengasah minat dan tahap pemahaman seseorang terhadap tumbuhan secara lebih mendalam. Secara konseptual, herbarium digital ialah gabungan kaedah di mana spesimen tumbuhan tidak lagi hanya diawet secara fizikal. Sebaliknya, spesimen didokumentasi, disimpan, dan dikongsi dalam bentuk digital dengan foto resolusi tinggi, data lokasi, nota ekologi, serta perincian maklumat sejarah sosio-budaya yang berkaitan.
Dengan sokongan teknologi AI generatif seperti Gemini dan Gemini Notebook, herbarium digital mampu dihasilkan sebagai dokumen saintifik yang interaktif dan inovatif sesuai dengan minat Generasi Z. Sebagai contoh, Gemini membantu penstrukturan naratif etnobotani dan penterjemahan data lapangan secara kreatif, manakala Gemini Notebook bertindak sebagai pangkalan pengetahuan interaktif yang membolehkan interaksi serta sesi soal jawab dengan dokumen analisis botani dijalankan.

Rajah 3: Gemini dan Gemini Notebook membantu menghasilkan herbarium digital yang interaktif dan inovatif selain mudah diakses oleh masyarakat secara meluas.
Pendigitalan botani ini menjadi pemangkin utama kepada kelestarian literasi botani melalui beberapa mekanisme inovatif yang menghubungkan kemahiran teknologi Generasi Z dengan kesedaran ekologi harian. Penggunaan media digital dan AI mampu meningkatkan kualiti ilustrasi dalam menggambarkan ciri-ciri fizikal serta naratif asal usul sesuatu tumbuhan. Proses pengumpulan dan penterjemahan maklumat ini secara tidak langsung mewujudkan hubungan dinamik menerusi penelitian peranan tumbuhan dalam ritual adat, kepercayaan tempatan, cerita rakyat, dan identiti masyarakat. Projek ini membantu membina hubungan emosi dan peribadi yang kuat generasi muda dengan dunia tumbuhan. Apabila mereka mengkaji dan mendokumentasikan spesimen, tumbuhan tidak lagi dianggap sebagai “latar belakang hijau” yang pasif, sekali gus membantu mengatasi masalah plant blindness.
Ejen Transformasi dan Kelestarian Masa Hadapan
Pemanfaatan teknologi media sosial turut menjadikan herbarium digital bukan sahaja mudah diakses, malah mudah dikongsikan secara meluas sekali gus menjadikan sains tumbuhan lebih menyeronokkan. Sinergi antara literasi digital Generasi Z dan penyebaran ilmu melalui media sosial membolehkan mereka bertindak sebagai ejen kelestarian alam sekitar yang aktif. Pembelajaran melalui herbarium digital membantu dalam meningkatkan kesedaran bahawa sains tumbuhan bukanlah sekadar subjek akademik teori semata-mata, sebaliknya merupakan ilmu yang sangat relevan dan dekat dengan kehidupan harian mereka. Pendekatan kolaboratif ini bukan sahaja membina kemahiran berfikir kritis dan menyelesaikan masalah, malah memastikan literasi botani terus lestari dan relevan dalam melahirkan profesional yang peka terhadap cabaran masa hadapan.
Penutup
Kesimpulannya, herbarium digital merupakan ejen transformasi pendidikan moden yang mampu merapatkan jurang antara kepantasan teknologi digital Generasi Z dengan keperluan mendesak untuk memulihara dan memelihara alam sekitar. Melalui projek herbarium digital berasaskan AI, pembelajaran botani menjadi jauh lebih dinamik, interaktif, dan tinggi aksesibiliti. Pendekatan ini bukan sahaja menarik minat aktif generasi muda, malah secara drastik mengurangkan isu plant blindness dengan menarik perhatian visual mereka kepada keunikan spesies flora. Hal ini menjadikan herbarium digital sebagai salah satu pemangkin dalam melahirkan Generasi Z yang mampu mengaplikasikan literasi botani ke tahap multidimensi demi kelestarian global.
Rujukan
[1] Anggarani, D. A., Sari, M. S., & Sulisetijono. (2025). Digital and botanical literacy profiles for sustainability: A study on biology students. Journal of Applied Educational Study, 1(3), 19–33. https://doi.org/10.64460/jaes.v1i3.107
[2] Bombjaková, D., & Rusňáková, V. (2025). Trees in the eyes of young learners: A study on knowledge and educational methods. Plant-Environment Interactions, 6(1), e70090. https://doi.org/10.1002/pei3.70090
[3] Stroud, S., Fennell, M., Mitchley, J., Lydon, S., Peacock, J., & Bacon, K. L. (2022). The botanical education extinction and the fall of plant awareness. Ecology and Evolution, 12(7), e9019. https://doi.org/10.1002/ece3.9019