Kemampuan Manusiawi dalam Tsunami Digital

Zaman tsunami digital ialah satu era di mana teknologi berkembang terlalu pantas sehingga manusia hampir kelelahan mengejar perkembangan teknologi digital. Media sosial, platform digital, automasi, kecerdasan buatan (AI) dan budaya data telah mengubah cara manusia bekerja, belajar dan membina identiti. Fenomena terkini seperti penggunaan arahan (prompt) ‘Create a caricature of me and my job’ mencerminkan bagaimana teknologi bukan sahaja memproses data, tetapi turut membentuk gambaran diri manusia. Walaupun ini membuka ruang eksperimen baharu, ia juga mencetuskan kebimbangan terhadap ancaman identiti dan kehilangan nilai seni halus seperti proses, ketekunan, gerak hati dan makna yang lahir daripada pengalaman manusia. Seni tidak lagi dilihat sebagai hasil renungan dan kehalusan rasa, sebaliknya sebagai produk segera yang dinilai berdasarkan populariti dan kebolehtularan (virality).

Teknologi digital, termasuk AI, menawarkan kemudahan luar biasa. Bermula daripada penjanaan kandungan secara automatik, analisis pantas, hinggalah visualisasi identiti melalui avatar dan karikatur. Walau bagaimanapun, teknologi ini sebenarnya hanya mensimulasikan kefahaman, bukan memahami manusia secara mendalam. Ia tidak memiliki emosi, nilai, pengalaman hidup atau konteks sosial yang membentuk seseorang individu. Di sinilah keupayaan manusiawi seperti empati, kebijaksanaan dan pertimbangan moral kekal tidak terganti. Lebih membimbangkan, tsunami digital turut menyumbang kepada hakisan pemikiran logik dan rasional. Apabila AI dan algoritma sentiasa menyediakan jawapan pantas, manusia semakin kurang terdorong untuk berfikir secara mendalam, membina hujah atau menilai sebab dan akibat secara sistematik. Lebih serius lagi, tsunami digital membawa risiko kehilangan identiti watan. Apabila kandungan digital global yang sering berteraskan nilai dan estetika Barat mula mendominasi ruang maya, seni, bahasa dan budaya tempatan semakin terpinggir. Karya seni digital yang dijana AI jarang mencerminkan nilai sejarah, falsafah, dan kehalusan budaya tempatan secara autentik.

Kini muncul fenomena FOMO (Fear of Missing Out) dalam era digital dan AI. FOMO bukan sekadar takut ketinggalan tren media sosial, tetapi turut merangkumi ketakutan tidak menguasai teknologi terkini, tidak menggunakan alat AI popular, atau tidak membina persona digital yang cukup relevan. Tren seperti penciptaan karikatur diri berasaskan AI memperlihatkan bagaimana manusia terdorong untuk sentiasa menyesuaikan diri dengan imej digital yang diiktiraf algoritma, walaupun ia mungkin menyempitkan identiti sebenar mereka. FOMO yang dipacu teknologi ini memberi kesan langsung kepada kesejahteraan manusia. Individu sering merasakan tekanan untuk sentiasa produktif, sentiasa terkini, dan sentiasa kelihatan relevan dalam ruang digital. Algoritma media sosial dan platform AI pula mengukuhkan tekanan ini melalui notifikasi, cadangan kandungan dan perbandingan sosial yang berterusan. Akibatnya, ramai mengalami keletihan digital, kebimbangan dan rasa tidak mencukupi. Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh melemahkan keupayaan manusia untuk fokus, berfikir secara mendalam dan menikmati kehidupan di luar skrin.

Dalam konteks pendidikan dan pekerjaan, tsunami digital turut mengubah makna kemahiran dan pembelajaran. Pelajar dan pekerja mungkin terperangkap dalam penggunaan AI secara reaktif, bukan untuk memperkasa pemikiran, tetapi untuk mengelakkan ketinggalan. Kemampuan manusiawi seperti pemikiran kritikal, kreativiti tulen, komunikasi berkesan dan keupayaan membuat keputusan beretika menjadi semakin penting. Ia tidak dapat dijana secara automatik, sebaliknya perlu diasah melalui pengalaman, refleksi dan interaksi manusia. Tanpa nilai kemanusiaan, teknologi digital cenderung ke arah ketidaksamarataan, bias algoritma dan pencerobohan privasi. Manusia perlu berfungsi bukan sekadar sebagai pengguna teknologi, tetapi sebagai penjaga nilai dalam memastikan teknologi digunakan untuk kesejahteraan bersama, bukan sekadar kecekapan atau keuntungan.

Kesimpulannya, tsunami digital bukan sekadar cabaran teknologi, tetapi cabaran terhadap makna kemanusiaan. Ia memperlihatkan keinginan manusia untuk dilihat, difahami dan diiktiraf dalam dunia yang semakin berasaskan data. Namun, di sebalik avatar, algoritma dan automasi, kemampuan manusiawi tetap menjadi teras kepada kesejahteraan dan makna hidup. Manusia tidak perlu berlumba menjadi seperti mesin, tetapi perlu memperkukuh apa yang menjadikan mereka manusia melalui nilai empati, kebijaksanaan, keseimbangan dan keupayaan memilih yang bermakna, bukan sekadar yang tular. Manusia perlu kembali bertanya, apakah nilai yang ingin kita pertahankan? Kemampuan manusiawi berfikir secara mendalam, berkarya dengan jiwa, dan berpaut pada identiti budaya menjadi benteng terakhir agar kemajuan digital tidak menghakis akar kemanusiaan itu sendiri dalam arus tsunami digital.

Disediakan oleh:
Masnizah Mohd
Pusat Teknologi Digital (DigitalUKM)
Pusat Kajian Keselamatan Siber, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM)

(Visited 4 times, 1 visits today)