Wadah ICT

Kuantum dan Takdir: Sains atau Kebetulan?

Pernah tak kita terfikir hidup ini sebenarnya sudah ditentukan atau sekadar berlaku secara kebetulan? Soalan ini nampak ringkas, tapi sebenarnya sangat dalam. Menariknya, persoalan ini bukan sahaja dibincangkan dalam agama dan falsafah, tetapi juga dalam dunia sains, khususnya dalam bidang Fizik Kuantum.

Kalau ikut logik biasa, kita percaya dunia ini teratur. Kalau kita lepaskan sesuatu, ia akan jatuh. Kalau kita belajar bersungguh-sungguh, peluang berjaya lebih tinggi. Semuanya nampak ada sebab dan akibat.

Tapi, dunia kuantum cerita lain.

Dunia Kuantum: Bila Realiti Jadi “Pelik”

Dalam dunia kuantum, benda kecil seperti elektron tak ikut peraturan biasa. Ada konsep dipanggil superposisi di mana sesuatu zarah boleh berada dalam lebih daripada satu keadaan pada masa yang sama. Sepertinya ada yang pelik, kan?

Ada juga fenomena entanglement, di mana dua zarah boleh “berhubung” walaupun jauh. Apabila satu berubah, satu lagi turut terkesan serta-merta. Fenomena ini pernah membuat Albert Einstein geleng kepala dan memanggil sesuatu yang aneh.

Apakah maksudnya?
Pada tahap paling asas, alam ini sebenarnya tidak sepenuhnya pasti.

Jadi, Hidup Kita Pun Rawak?

Dalam fizik kuantum, saintis tidak boleh memberi jawapan tepat. Mereka hanya boleh memberi kebarangkalian. Contohnya, mereka tidak boleh berkata “zarah ini pasti di sini”, tapi hanya “kemungkinan ia di sini”.

Kalau ikut logik ini, mungkin ada yang berfikir: “Jadi hidup kita pun rawaklah?”

Tidak semestinya.

Walaupun ada unsur ketidaktentuan, kehidupan kita tetap dipenuhi dengan pilihan. Kita masih buat keputusan iaitu hendak belajar atau tidak, hendak berubah atau kekal sama, hendak berusaha atau menyerah.

Qada’ dan Qadar

Qada’ (قضاء) ialah ketetapan atau keputusan Allah yang telah ditentukan sejak azali (awal lagi) terhadap semua perkara. Ia merujuk kepada perancangan Allah secara menyeluruh dan berlaku sebelum sesuatu itu terjadi. Contohnya, jodoh, rezeki dan ajal.

Qadar (قدر) ialah pelaksanaan atau realisasi ketetapan Allah (qada’) yang berlaku dalam kehidupan kita seperti, apa yang telah ditentukan itu berlaku pada masa tertentu atau yang melibatkan peristiwa yang kita alami. Contohnya, bila sesuatu ujian berlaku atau kejadian sebenar dalam hidup.

Perbandingan Qada dan Qadar:

Qada’ Qadar
Ketetapan Allah sejak azali Pelaksanaan ketetapan itu
Perancangan Kejadian sebenar
“Blueprint” “Realiti berlaku”

Secara ringkasnya Qada’ adalah  Allah yang menentukan dan  Qadar adalah Allah jadikan ia berlaku.

Takdir: Sudah Tetap atau Masih Boleh Diubah?

Dalam konteks kehidupan, takdir sering difahami sebagai sesuatu yang telah ditentukan. Tetapi dalam masa yang sama, kita juga diajar bahawa usaha itu penting.

Di sinilah menariknya konsep takdir tidak semestinya bermaksud semuanya “tetap dan kaku”. Ia boleh difahami sebagai satu rangka besar kehidupan, tetapi dalam rangka itu, kita masih diberi ruang untuk bergerak dan memilih.

Firman Allah:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah Ar-Ra’d: 11)

Kuantum vs Takdir: Apa Bezanya?

Untuk lebih mudah difahami, kita lihat perbandingan ringkas:

Aspek Kuantum Takdir
Sifat asas Tidak pasti, berasaskan kebarangkalian Ketentuan yang lebih besar
Cara memahami Melalui eksperimen dan sains Melalui kepercayaan, nilai, Qada dan Qadar
Tahap kawalan Tidak boleh diramal sepenuhnya Ada ruang usaha manusia
Fokus “Bagaimana” sesuatu berlaku “Mengapa” sesuatu berlaku
Peranan manusia Pemerhati dan pengukur Pelaku yang membuat pilihan tetapi Allah yang tentukan

Apa Pengajaran untuk Kita?

Daripada semua ini, ada beberapa perkara santai tetapi bermakna yang kita boleh ambil:

  • Tidak semua benda boleh dikawal –itu normal
  • Pilihan kita tetap penting – walaupun tidak semua hasil kita tentukan
  • Jangan takut pada ketidaktentuan – kadang-kadang di situlah peluang muncul
  • Hidup bukan sekadar kebetulan – tetapi juga bukan 100% tetap

Kesimpulan

Akhirnya, persoalan “Kuantum dan Takdir: Sains atau Kebetulan?” mungkin tidak ada jawapan hitam putih.  Tapi mungkin jawapan terbaik ialah hidup kita berada di antara dua dunia, dunia yang tidak pasti dan dunia yang penuh bermakna. Sementara di tengah-tengah itu, kitalah yang mencorakkan perjalanan hidup kita dengan tawakal kepada Allah.

Katakunci:  Kuantum, Takdir, Superposisi

Oleh:
Suzita Awaluddin, Syazlina Osman, Hafizhah Suzana Hussien
Pusat Teknologi Digital

(Visited 6 times, 1 visits today)