Kuasa Digital dan Masa Depan Pekerjaan: Antara Peluang dan Cabaran

Teknologi digital sebagai nadi utama kepada semua sektor perniagaan telah mengubah cara kita bekerja, berkomunikasi dan berfikir. Dalam konteks pengurusan sumber manusia, transformasi digital bukan sekadar berkisar kepada aspek penggunaan sistem automasi, tetapi juga melibatkan pelbagai perubahan cara kerja yang lebih moden. Bagi membudayakan cara kerja moden tersebut, setiap kakitangan di kebanyakan organisasi perlu meningkatkan pengetahuan dan ilmu berkaitan teknologi digital dan situasi tersebut menyumbang kepada pembangunan bakat yang lebih dinamik di kalangan kakitangan.

Selain itu, teknologi digital yang merangkumi teknologi kecerdasan buatan (AI), Internet of Things dan Big Data Analyitics membuka laluan kepada organisasi untuk membuat keputusan dengan lebih pantas dan tepat. Pekerja pula berpeluang membina kemahiran digital yang dapat meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran mereka. Walau bagaimanapun, di sebalik peluang ini, muncul cabaran-cabaran besar yang tidak dapat dielakkan. Di antaranya adalah keperluan menyesuaikan diri dengan teknologi baharu, tekanan terhadap keselamatan data serta risiko kehilangan pekerjaan akibat automasi.

Bertitik tolak dari perkara di atas, sektor perusahaan kecil dan sederhana menjadi medan penting dalam mengukur tahap kesiapsiagaan tenaga kerja menghadapi era digital. Ramai usahawan dan pekerja masih berada di peringkat awal transformasi ini. Oleh itu, pendidikan digital dan latihan berterusan harus diberi keutamaan agar semua lapisan masyarakat dapat menikmati manfaat teknologi yang ada. Kuasa digital tidak boleh hanya dimiliki oleh golongan tertentu sahaja. Teknologi serba canggih ini mesti digunakan untuk memperkasakan masyarakat secara menyeluruh, bukan untuk menggantikan peranan manusia, tetapi bertujuan menambah nilai kepada sifat-sifat kreativiti dan empati  manusia. Inilah hala tuju kuasa digital yang sebenarnya, iaitu masih lagi berteraskan nilai-nilai murni dan kemanusiaan, namum impaknya adalah bersifat global.

Disediakan oleh:

Dr. Norhafizah Abu Hasan
Norhafizah1@ukm.edu.my
Pusat INSAN, FEP, UKM
 

(Visited 40 times, 1 visits today)