Kuasa Digital, Impak Global: GIS dan Warisannya kepada Bumi
Pengenalan
Bayangkan anda berdiri di hadapan sebuah masjid lama yang berusia 400 tahun. Dindingnya masih tegak, ukiran kayunya masih bermakna. Persoalannya, siapakah yang menjaganya agar tidak hilang ditelan zaman atau lebih buruk lagi, dirobohkan demi sebuah bangunan kondominium baharu? Jawapannya, semakin hari, semakin banyak kebergantungan kepada satu teknologi yang tersembunyi di balik skrin komputer, iaitu Geographic Information System (Sistem Maklumat Geografi) atau GIS.
Bukan Sekadar Peta Biasa
Meskipun kita sering menggunakan Google Maps, teknologi GIS sebenarnya jauh lebih berupaya dan melangkaui sekadar pencarian lokasi kedai makan terdekat. Secara asasnya, GIS merupakan sebuah sistem yang mengumpul, menyimpan, menganalisis dan memaparkan data berkonsepkan lokasi di permukaan bumi.
Untuk mudah difahami, bayangkan GIS ibarat sebiji kek lapis. Lapisan pertama merupakan peta asas yang mengandungi maklumat seperti koordinat, jaringan jalan raya dan sempadan negeri. Di atasnya, diletakkan pula lapisan kedua yang mewakili kawasan hutan simpan dan rangkaian sungai. Lapisan seterusnya mungkin mengandungi taburan tapak warisan budaya seperti kuil, kota lama dan makam diraja.
Apabila kesemua lapisan data ini digabungkan dan dianalisis secara bersepadu, ia membentuk sebuah alat perancangan yang sangat ampuh. Keupayaan digital inilah yang membolehkan kita melihat dunia secara holistik, sekali gus membantu dalam pembuatan keputusan yang lebih strategik berdasarkan gambaran menyeluruh tersebut.
Warisan di Hujung Jari: Memelihara Apa yang Kita Cintai
Malaysia kaya dengan warisan sejarah seperti Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka, Rumah Panjang Nanga Kesit, iaitu rumah panjang Iban di Sarawak, dan Rumah Sri Banai di Kedah. Namun, warisan ini amat rapuh. Bencana alam, pembangunan tidak terancang dan hakisan tanah berupaya menghapuskannya dalam sekelip mata.
Di sinilah teknologi GIS memainkan peranan secara senyap tetapi sangat berkesan. Pakar warisan pada masa kini menggunakan GIS untuk mendokumentasikan setiap tapak bersejarah dengan tepat yang merangkumi koordinat GPS, imej udara daripada dron dan model 3D bangunan lama. Seandainya bangunan tersebut musnah pada keesokan hari, segala maklumatnya masih terpelihara di dalam sistem digital. Ia ibarat fail sandaran (backup) kepada memori kolektif sesebuah bangsa.
Lebih menarik lagi, GIS mampu mengesan potensi ancaman sebelum ia benar-benar terjadi. Sistem ini boleh memantau perubahan bentuk muka bumi menggunakan imej satelit. Sekiranya terdapat kawasan berhampiran tapak warisan yang mula dibangunkan secara haram atau mengalami hakisan yang membimbangkan, isyarat amaran boleh disalurkan kepada pihak berkuasa pada masa nyata (real-time). UNESCO sendiri telah memetakan lebih 70,000 tapak warisan di seluruh dunia menggunakan teknologi geospatial. Ini bukanlah sekadar statistik kecil, sebaliknya ia merupakan sebuah perpustakaan peradaban manusia yang tersimpan kemas dalam format digital.
Bumi yang Sakit, Data yang Menyembuh
Perubahan iklim bukan lagi sekadar teori. Bencana alam seperti fenomena pantai tenggelam, kebakaran hutan dan banjir semakin kerap berlaku. Namun, untuk menanganinya, kita memerlukan lebih daripada sekadar keazaman. Kita amat memerlukan data yang tepat dan pemetaan yang betul. GIS memainkan peranan yang sangat besar dalam agenda kelestarian global. Sebagai contoh nyata, hutan tropika di Malaysia, Indonesia dan Brazil dipantau menggunakan data satelit yang diproses melalui GIS. Apabila kawasan hutan semakin berkurangan, sama ada akibat pembalakan haram mahupun pembukaan ladang baharu, sistem ini akan dapat mengesannya dalam tempoh beberapa hari sahaja.
Dalam sektor tenaga boleh diperbaharui pula, GIS digunakan untuk mengenal pasti lokasi yang paling sesuai bagi pemasangan panel solar dan turbin angin. Bukit manakah yang paling berangin? Kawasan manakah yang menerima taburan cahaya matahari paling banyak sepanjang tahun? GIS mampu menjawab persoalan-persoalan ini bersandarkan data dan bukannya andaian semata-mata. Dalam konteks perubahan iklim juga, model GIS boleh meramalkan kawasan pantai yang berisiko untuk tenggelam menjelang tahun 2050 sekiranya paras air laut terus meningkat. Maklumat sebegini amat penting bagi perancangan bandar, penggubalan dasar awam dan juga pengurusan insurans bencana.
Malaysia dalam Peta Digital Dunia
Dalam konteks tempatan, Malaysia juga tidak ketinggalan. Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) telah membangunkan infrastruktur geospatial negara yang diaplikasikan dalam pelbagai sektor, bermula daripada pertanian sehinggalah kepada pengurusan bencana. Program MyGDI (Malaysian Geospatial Data Infrastructure) bertindak sebagai tulang belakang kepada inisiatif ini. Melalui program ini, data geospatial dapat dikongsi antara agensi kerajaan, universiti dan sektor swasta yang sekali gus membolehkan keputusan dibuat dengan lebih bersepadu demi pembangunan negara.
Di peringkat akademik pula, semakin banyak universiti tempatan kini menawarkan pengajian dalam bidang sains geoinformasi. Hal ini membuktikan bahawa generasi baharu profesional Malaysia sedang giat dilatih untuk memanfaatkan kuasa digital ini bagi kesejahteraan negara dan juga alam sekitar.
Penutup: Data adalah Warisan Baru Kita
Satu ketika dahulu, warisan hanya ditafsirkan melalui peninggalan batu, kayu, dan kertas. Hari ini, makna warisan turut merangkumi susunan data, koordinat dan model digital. GIS bukanlah sekadar teknologi asing yang jauh di angkasa. Sebaliknya, ia merupakan alat yang semakin dekat dengan kehidupan seharian kita. Penggunaannya boleh dilihat bermula daripada aplikasi cuaca yang kita semak setiap pagi sehinggalah kepada sistem pengurusan bencana yang melindungi kawasan perumahan kita.
Apabila kuasa digital ini dimanfaatkan secara bijak dan beretika, impaknya bukan sahaja pada skala global, malah turut menyentuh kehidupan peribadi kita. Ia berkait rapat dengan usaha memelihara tapak bersejarah di pekan kecil, memastikan kelestarian sungai di belakang rumah, dan yang paling utama, mewariskan sebuah bumi yang lebih baik buat generasi anak cucu kita kelak.
Kuasa digital, impak global. Semuanya bermula hanya dengan satu titik di atas peta.
Kata Kunci: GIS; Geospatial, Warisan Budaya, Kelestarian, Pemetaan Digital
Oleh:
Nuriah Abd Majid
nuriah@ukm.edu.my
Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI),Universiti Kebangsaan Malaysia