Fakulti Pengajian Sains Citra1, Fakulti Pengajian Sains Citra2
* Penulis Koresponden : chairozila@ukm.edu.my
Kata Kunci: kucing, AI, media sosial, kreativiti
Pengenalan
Perkembangan pesat teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, atau AI) masakini telah mengubah landskap media sosial secara menyeluruh di dalam aliran media sosial. Kini, AI bukan sahaja digunakan untuk mengesyorkan kandungan kepada pengguna, malah berupaya menghasilkan teks, imej, video dan audio yang hampir menyamai hasil kreativiti manusia. Dalam ekosistem digital ini, kandungan berkaitan kucing muncul sebagai antara fenomena paling kerap mendapat penglibatan dan pengaruh di dalam media sosial di Malaysia. Netizen berjenaka, “Oyen tak pernah tak popular”. Gelagat kucing Oyen yang direka sebagai meme, ilustrasi, cerita pendek serta imej yang dijana AI bukan sahaja menarik jutaan tontonan, malah membentuk budaya digital dikalangan warganet Malaysia yang mendapat sambutan yang hangat.

Rajah 1: Ilustrasi kucing Oyen
Sebelum kewujudan AI, populariti kucing dalam kehidupan manusia bukanlah suatu fenomena baharu. Kucing telah wujud semenjak di zaman Mesir purba lagi sebagai haiwan yang hidup berlegar-legar dekat dengan manusia sebagai simbol persahabatan, perlindungan kepada manusia, dan kesuburan wanita. Sehingga kini kucing sering dikaitkan dengan persahabatan dengan manusia, sifat comel, dan menghiburkan, sekali gus menjadikannya subjek yang mudah menarik perhatian warganet didalam media sosial. Platform media sosial seperti Instagram, Facebook dan YouTube dipenuhi dengan kandungan berkaitan kucing yang meraih jutaan tontonan, perkongsian dan interaksi daripada pengguna setiap hari. Populariti kandungan ini turut dapat dilihat melalui penggunaan tanda pagar (hashtag) yang meluas di platform media sosial seperti TikTok. Sebagai contoh, hashtag #kucing telah menjana kira-kira 2.9 juta hantaran, manakala #kucingtiktok merekodkan sekitar 1.7 juta hantaran. Statistik ini menunjukkan bahawa kandungan berkaitan kucing bukan sahaja mendapat perhatian yang tinggi dalam kalangan pengguna media sosial, malah telah berkembang sebagai satu fenomena budaya digital yang merentas pelbagai platform yang menyukai hantaran kucing yang comel.

Rajah 2: Bobby Si Kucing AI (imej dari Facebook)
Dengan kehadiran dan kemunculan AI generatif, penghasilan kandungan tersebut telah dipercepatkan lagi. Melalui arahan teks yang ringkas, pengguna kini boleh menghasilkan gambar kucing dalam pelbagai gaya seni, video animasi, cerita fiksyen malah memberi suara kepada kucing tersebut. Teknologi ini menjadikan proses penciptaan kandungan lebih mudah, pantas dan murah, sekali gus meningkatkan jumlah kandungan yang beredar dalam ruang digital. Penghasilan dan pewujudan halaman Facebook yang dihasilkan dan didedikasikan khusus untuk kucing dalam bentuk video seperti dalam Rajah 2, di samping peningkatan penggunaan arahan (prompt) yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI) dengan menampilkan elemen kucing, telah menyumbang kepada peningkatan tahap penglibatan pengguna. Hantaran berkaitan kucing sering memperolehi jumlah tanda suka, komen, perkongsian dan respons yang tinggi daripada pengguna (seperti kehadiran 11k follower), sekali gus menunjukkan daya tarikan kucing yang berterusan dalam budaya digital serta peranannya yang berkesan dalam menggalakkan interaksi dalam talian kepada warganet yang sukakan kucing.
Dari perspektif kesejahteraan digital, kandungan berkaitan kucing sebenarnya menawarkan pelbagai manfaat kepada pengguna. Banyak kajian menunjukkan bahawa melihat gambar atau video haiwan peliharaan mampu mengurangkan tekanan, meningkatkan emosi positif dan memberikan rasa tenang selepas menjalani rutin harian yang mencabar. Dalam dunia yang semakin dipenuhi pelbagai tekanan toksik dialam pekerjaan dan kehidupan, kandungan ringan seperti video kucing boleh menjadi satu bentuk hiburan yang membantu meningkatkan kesejahteraan emosi pengguna. AI pula membantu memperbanyakkan kandungan sedemikian dan membolehkan pengguna menghasilkan bahan kreatif yang mampu mencetuskan memberi kelegaan dan ketenangan dikalangan komuniti digital, contohnya seperti penggunaan bahasa.

Rajah 3: Kugiran Kucing Meow-sicians Janaan AI
Penjanaan kucing dalam AI telah menghasilkan pelbagai kreativiti pencipta kandungan. Rajah 3 menunjukkan penjanaan kucing sebagai ahli muzik (meow-sicians), pemain gitar, keyboard dan drum. Penggunaan perkataan meow-sicians telah berfungsi sebagai pelakuran kata yang memberi daya tarikan atau kreativiti penggunaan bahasa kepada pembaca. Kandungan seperti ini telah memberi pengenalan kandungan baharu yang sebelum ini sukar dibayangkan oleh warga Internet, ataupun sesuatu yang menjangkau keupayaan fikiran. Melalui keupayaan AI menghasilkan imej kucing, naratif dan representasi digital yang kreatif, pengguna kini didedahkan kepada pengalaman visual dan kreativiti yang melepasi batas keupayaan kreativiti yang biasa. Kehadiran fenomena seperti kucing bermain gitar, kucing membasuh baju, kucing membawa kereta telah mengubah landskap penghasilan kandungan digital dan mempengaruhi cara warganet Malaysia berkomunikasi dan membina makna dalam berinteraksi di ruang maya.
Walaupun kandungan sedemikian sering dianggap sebagai hiburan yang tidak mendatangkan mudarat, penggunaannya dalam era AI menimbulkan pelbagai persoalan berkaitan etika penghasilan kandungan dan kesannya terhadap kesejahteraan digital masyarakat. Perkembangan ini turut mengundang persoalan etika yang perlu diberi perhatian. Salah satu isu utama ialah ketelusan kandungan. Kandungan yang dijana AI sering kali kelihatan begitu realistik sehingga pengguna sukar membezakan sama ada sesuatu gambar atau video benar-benar dirakam ataupun dihasilkan sepenuhnya oleh AI. Sekiranya kandungan tersebut dikongsi tanpa sebarang penjelasan, pengguna berisiko mempercayai maklumat yang tidak sahih. Dalam konteks media sosial, penyebaran kandungan yang mengelirukan boleh menjejaskan kepercayaan pengguna terhadap maklumat digital dan menyumbang kepada peningkatan fenomena maklumat palsu.
Selain itu, isu hak cipta turut menjadi cabaran dalam penggunaan AI. Kebanyakan model AI dilatih menggunakan jutaan imej dan karya kreatif yang diperoleh daripada Internet. Walaupun teknologi ini mampu menghasilkan ilustrasi kucing yang unik, persoalan masih timbul mengenai hak pemilik asal karya yang digunakan sebagai data latihan. Keadaan ini mencetuskan perdebatan tentang pemilikan intelektual, keaslian karya dan pengiktirafan terhadap kreativiti manusia. Dalam era AI, pencipta kandungan perlu mengamalkan etika digital dengan memastikan hasil yang dikongsi menghormati hak cipta serta tidak mengeksploitasi hasil kerja individu lain. Walau bagaimanapun, manfaat tersebut perlu diseimbangkan dengan kesedaran terhadap kesan negatif penggunaan media sosial secara berlebihan. Algoritma platform media sosial direka untuk memaksimumkan penglibatan pengguna dengan memaparkan kandungan yang paling berpotensi menarik perhatian mereka. Oleh sebab kandungan kucing sering mendapat kadar interaksi yang tinggi, algoritma akan terus mencadangkannya kepada pengguna.
Fenomena ini boleh menyebabkan pengguna menghabiskan lebih banyak masa melayari media sosial tanpa disedari. Penggunaan media sosial yang berlebihan dikaitkan dengan keletihan digital, gangguan tumpuan, pengurangan produktiviti serta masalah keseimbangan antara kehidupan dalam talian dan luar talian. Dalam konteks ini, kesejahteraan digital bukan sahaja merujuk kepada kebahagiaan ketika menggunakan teknologi, tetapi juga kepada keupayaan individu mengawal penggunaan teknologi secara sihat dan seimbang. Selain dari itu, isu kecurian kandungan juga timbul disebabkan ingin mendapatkan kadar interaksi tinggi di dalam platform media sosial. Maka kecurian data dan permasalahan kecurian gambar kucing juga kerap berlaku dikalangan warganet. Kebocoran data ini juga kerap menjadi isu yang sensitif di dalam perbincangan maya.
Satu lagi isu etika yang semakin mendapat perhatian ialah eksploitasi kucing demi menghasilkan kandungan yang tular. Keinginan memperoleh tontonan dan keuntungan daripada media sosial mendorong sesetengah pencipta kandungan memaparkan situasi yang membahayakan atau memberi tekanan kepada kucing semata-mata untuk menarik perhatian pengguna. Walaupun AI membolehkan kandungan maya dihasilkan tanpa melibatkan haiwan sebenar, teknologi ini juga boleh menghasilkan video palsu yang menggambarkan situasi yang tidak pernah berlaku. Kandungan sedemikian boleh mengelirukan masyarakat, menggalakkan tingkah laku tidak bertanggungjawab dikalangan pencipta kandungan serta mengaburkan sempadan antara realiti dan rekaan. Oleh itu, penggunaan AI harus disertai dengan rasa tanggungjawab terhadap kebajikan haiwan dan ketepatan maklumat yang dikongsi.
Bagi memastikan keseimbangan antara inovasi dan etika, semua pihak mempunyai peranan penting. Pembangun AI perlu membangunkan sistem yang lebih telus dengan memberikan penandaan terhadap kandungan yang dijana AI. Platform media sosial pula perlu memperkukuh dasar berkaitan penyebaran kandungan sintetik dan meningkatkan mekanisme pengesanan maklumat palsu. Pada masa yang sama, pengguna perlu meningkatkan literasi AI dan literasi media agar mampu menilai kesahihan sesuatu kandungan sebelum mempercayai atau menyebarkannya. Pendidikan mengenai etika digital juga wajar diterapkan supaya masyarakat memahami bahawa teknologi AI harus digunakan untuk memperkayakan kreativiti dan komunikasi, bukannya sekadar umpan kilik (clickbait) untuk mengelirukan atau mengeksploitasi manusia dan haiwan semata-mata.
Penutup
Kesimpulannya, fenomena kandungan kucing dalam era AI telah tiba dan kini teknologi kecerdasan buatan AI telah mampu membentuk budaya media sosial secara signifikan. AI membuka peluang besar kepada penghasilan kandungan yang kreatif, menarik dan memberi manfaat kepada kesejahteraan emosi pengguna. Namun, perkembangan tersebut turut disertai cabaran etika seperti ketelusan, hak cipta, penyebaran maklumat palsu dan eksploitasi haiwan. Oleh itu, kesejahteraan digital hanya dapat dicapai sekiranya pembangunan teknologi AI disokong oleh amalan etika, literasi digital dan penggunaan media sosial secara bertanggungjawab. Pendekatan yang seimbang antara inovasi teknologi, integriti kandungan dan kesejahteraan masyarakat akan memastikan media sosial terus menjadi ruang yang selamat, beretika dan memberi manfaat kepada semua warganet di Malaysia.
Rujukan
[1] AFun AshriaTi (2026). Prompters Malaya: Lazy day with my cat. https://www.facebook.com/photo/?fbid=27343449618617347&set=pcb.1395187265458647
[2] My Name is Bobby. (2026). Vidio Kucing AI, AI cat video. https://www.facebook.com/reel/1398565082387546
[3] Nurkholis Majid, Suzy S. Azeharie. (2023). Strategi Komunikasi Pemilik Kucing Selebriti dalam Membangun Personal Branding. Kiwari, Vol. 2, No. 1
[4] Ucun Rohimat. (2026). Band Kucing AI The Meow-sicians Sunset Performance. https://www.facebook.com/ucunrohimat
[5] Yovita Amalia, Dian Arymami, S.Sos., M.Si.. (2025). Selebritisasi Anjing dan Kucing dalam Media Sosial TikTok. Perpustakaan Universitas Gajah Mada. h Mada
[5] Yuko, Elizabeth. (2021). How cats became divine symbols in ancient Egypt. History. A&E Television Networks. https://www.history.com/articles/cats-ancient-egypt