Skip to main content

Wadah ICT

Literasi Digital Kesihatan Mulut: Bijak Menilai Maklumat Pergigian di Media Sosial

Pernahkah anda melayari media sosial dan tiba-tiba terlihat iklan klinik gigi menawarkan pemutihan gigi dengan harga mampu? Atau testimoni pengguna ubat gigi dengan dakwaan keberkesanan yang luar biasa? Di era digital ini, media sosial bukan sahaja menjadi pelantar hiburan, malah ia telah membuka ruang untuk masyarakat mencari maklumat berkaitan kesihatan, termasuk perkhidmatan pergigian. Namun, bersama ledakan maklumat ini hadir satu cabaran besar: bagaimana untuk kita membezakan perkhidmatan pergigian yang sah daripada yang palsu atau menyesatkan?

Media Sosial dan Dunia Pergigian
Menurut laporan Digital 2024, Malaysia mencatatkan lebih 29 juta pengguna media sosial aktif. Platform seperti TikTok, Instagram, Facebook, dan YouTube telah menjadi sumber rujukan utama bagi ramai individu dalam membuat keputusan berkaitan kesihatan. Kajian mendapati bahawa lebih 60% pengguna internet mencari maklumat kesihatan secara dalam talian sebelum berjumpa doktor atau pengamal perubatan.
Fenomena ini turut berlaku dalam bidang pergigian. Video “gigi putih dalam 5 minit” mencapai jutaan tontonan, manakala akaun yang mendakwa menawarkan rawatan pendakap gigi dan rawatan veneer pergigian dengan harga yang rendah pula mendapat pengikut yang ramai. Ini menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan pengamal pergigian berlesen kerana sesetengah promosi tersebut bukan sahaja mengelirukan, malah boleh membahayakan kesihatan pengguna.

Mengenali Perkhidmatan Pergigian Palsu di Media Sosial
Terdapat beberapa tanda amaran yang perlu diperhatikan oleh pengguna media sosial ketika menilai iklan atau konten berkaitan perkhidmatan pergigian:

  • Dakwaan yang melampau: Sebarang iklan yang mendakwa rawatan boleh memutihkan gigi dalam masa yang sangat singkat, atau merawat masalah pergigian yang serius dengan cara yang terlalu mudah tidak boleh terus dipercayai. Penyiasatan mengenai kesahihan maklumat tersebut perlu dilakukan terlebih dahulu melalui bacaan dari sumber yang boleh dipercayai atau dengan mendapatkan khidmat nasihat secara langsung daripada doktor gigi berlesen. Proses perawatan gigi yang sah memerlukan masa, kepakaran, dan prosedur klinikal yang teliti.
  • Ketiadaan maklumat pengamal berlesen: Di Malaysia, semua pengamal pergigian wajib berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MPM) di bawah Akta Pergigian 2018. Klinik yang sah akan memaparkan nama doktor dan nombor pendaftaran MPM mereka. Namun begitu, maklumat ini biasanya tidak dipamerkan di media sosial. Pengguna media sosial perlu memastikan pengamal pergigian tersebut adalah sah dan berdaftar dengan MPM sebelum mendapatkan khidmat pergigian yang diinginkan.
  • Testimoni tanpa bukti sahih: Gambar “sebelum dan selepas” boleh dengan mudah dimanipulasi menggunakan perisian penyuntingan foto. Berhati-hati dengan testimoni yang tidak disertai maklumat pesakit yang boleh disahkan atau ulasan daripada platform bebas seperti Google Reviews.
  • Harga yang jauh lebih murah tanpa penjelasan: Rawatan pergigian yang berkualiti memerlukan kos bahan, kelengkapan steril, dan bayaran kepakaran yang berpatutan. Harga yang terlalu murah berbanding pasaran mungkin menandakan penggunaan bahan yang tidak diluluskan atau prosedur yang dilakukan oleh individu tidak bertauliah.
  • Promosi rawatan di luar klinik: Perkhidmatan seperti pemasangan pendakap gigi atau prosedur pergigian kosmetik yang ditawarkan di rumah atau lokasi tidak berlesen seperti di bilik hotel atau pusat kecantikan adalah menyalahi undang-undang di Malaysia dan berisiko tinggi kepada kesihatan.

Etika Berkongsi Maklumat Pergigian di Media Sosial
Literasi digital bukan sekadar kemahiran menggunakan teknologi. Ia juga merangkumi tanggungjawab etika dalam berkongsi maklumat. Apabila anda berkongsi maklumat berkaitan kesihatan pergigian di media sosial, tanyakan kepada diri sendiri: adakah maklumat ini daripada sumber yang dipercayai? Adakah ia boleh membawa manfaat atau memudaratkan orang lain?
Pengamal pergigian yang beretika tidak akan mengiklankan rawatan dengan cara yang mengelirukan atau menjanjikan hasil yang tidak realistik. Garis panduan pengiklanan yang dikeluarkan oleh MPM dan Kementerian Kesihatan Malaysia menetapkan bahawa promosi perubatan mestilah benar, tidak mengelirukan, dan tidak mengeksploitasi orang awam.
Langkah Bijak Sebelum Memilih Perkhidmatan Pergigian

Sebagai pengguna digital yang bijak, berikut adalah panduan praktikal dalam membuat keputusan berkaitan kesihatan mulut:

  • Semak status pendaftaran pengamal: Lawati laman web rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (https://mhps.moh.gov.my/SEARCH/) untuk mengesahkan sama ada pengamal yang berkenaan berdaftar dan berlesen untuk menjalankan rawatan pergigian.
  • Dapatkan pandangan kedua: Jangan tergesa-gesa membuat keputusan berdasarkan iklan media sosial semata-mata. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi berlesen dan bandingkan maklumat daripada beberapa sumber yang boleh dipercayai.
  • Amalkan pemikiran kritis: Persoalkan setiap tuntutan yang dibuat dalam iklan. Cari bukti saintifik atau ulasan bebas sebelum mempercayai sebarang promosi kesihatan.
  • Laporkan kandungan yang mencurigakan: Platform media sosial menyediakan fungsi pelaporan. Gunakan ciri ini untuk melaporkan iklan atau akaun yang menawarkan perkhidmatan perubatan yang kelihatan tidak sah atau berbahaya.

Kesimpulan
Senyuman yang indah adalah hasil daripada rawatan yang berkualiti, selamat dan berasaskan penilaian profesional oleh doktor pergigian berdaftar. Media sosial adalah alat yang berkuasa, tetapi kuasa itu boleh disalahgunakan dengan ditabur janji kosong di telefon pintar anda. Literasi digital yang tinggi bermakna kita bukan sahaja tahu cara menggunakan media sosial, tetapi juga bijak menilai kesahihan maklumat yang kita terima dan bertanggungjawab terhadap apa yang kita sebarkan.

Dalam konteks kesihatan mulut, kecuaian dalam memilih perkhidmatan pergigian boleh membawa impak jangka panjang yang serius, daripada jangkitan, kerosakan gigi kekal, sehinggalah kepada kerugian kewangan yang besar. Masyarakat yang celik digital adalah masyarakat yang mampu melindungi dirinya sendiri, mendidik orang sekeliling, dan secara kolektif menolak penyebaran maklumat palsu yang mengancam kesejahteraan bersama.
Mulakan dengan langkah kecil: sebelum berkongsi sebarang maklumat berkaitan kesihatan di media sosial, semak, fikir, dan sahkan. Kerana dalam dunia digital hari ini, literasi bukan sekadar kemahiran. Ia adalah perlindungan.




Rujukan
Datareportal. (2024). Digital 2024: Malaysia. https://datareportal.com/reports/digital-2024-malaysia
Kementerian Kesihatan Malaysia (2023). Garis Panduan Pengiklanan Untuk Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan
Malaysian Dental Council. (2022). Guidelines and Provisions for Public Information
World Health Organization. (2023). Oral Health. WHO Global Oral Health Status Report.
Dental Act 2018 (Act 804).


Kata kunci: literasi digital, media sosial, pergigian, perkhidmatan palsu, kesihatan mulut

Oleh:

Haslina Rani, Tuti Ningseh Mohd Dom
Jabatan Kesihatan Pergigian Keluarga, Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia

(Visited 1 times, 1 visits today)