Melangkah Tanpa Sangsi: AI Sebagai Sistem Sokongan Mobiliti Wanita

Kartini Abd Wahab¹*, Nur Hafizah Yusoff¹ & Noordeyana Tambi¹
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan1
* Penulis Koresponden: kartini@ukm.edu.my

Kata Kunci: kecerdasan buatan (AI), kesejahteraan perjalanan, mobiliti wanita, sistem sokongan digital, perjalanan solo

Dalam era mobiliti global dan kemajuan teknologi digital masa kini, semakin ramai wanita di Malaysia memilih untuk mengembara secara solo atas pelbagai tujuan seperti pelancongan, pendidikan, pekerjaan mahupun pembangunan kendiri. Trend eksplorasi solo ini didorong oleh keperluan autonomi diri, sekali gus mencerminkan peningkatan keupayaan serta kebebasan wanita dalam membuat keputusan perjalanan. Namun, peningkatan mobiliti ini turut membawa cabaran tersendiri, khususnya dari segi keselamatan, kesejahteraan emosi dan keperluan sokongan strategik yang responsif terhadap realiti perjalanan wanita.

Hakikatnya, walaupun sektor pelancongan telah giat mengadaptasi aplikasi dan teknologi berkaitan perjalanan, penggunaan tersebut masih bertumpu pada sistem komersial yang bersifat transaksional, seperti bot sembang untuk tempahan, maklumat asas pakej pelancongan, atau fungsi navigasi umum tanpa kemampuan memahami konteks peribadi pengguna. Kebergantungan kepada teknologi yang bersifat operasi ini menunjukkan bahawa ekosistem digital pelancongan belum berkembang sebagai sistem sokongan perjalanan kendiri secara masa nyata. Dengan kata lain, teknologi sedia ada masih belum bersedia untuk mengambil kira keperluan perlindungan, sokongan emosi dan panduan strategik yang responsif terhadap realiti mobiliti wanita dalam situasi sebenar.



Imej dijana oleh Copilot (2026)

Justeru, di sinilah peranan Kecerdasan Buatan (AI) menjadi sangat penting untuk diterokai. AI bukan lagi sekadar alat digital biasa yang memproses data, tetapi boleh berfungsi sebagai sistem sokongan digital yang membantu wanita ketika bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Dengan kemampuan memberi maklumat yang sesuai dengan situasi semasa di lapangan, kehadiran sistem AI dapat meningkatkan keselamatan dan membantu menjaga kesejahteraan emosi wanita sepanjang perjalanan mereka.

Berdasarkan corak komunikasi antara AI dan wanita yang melakukan perjalanan solo ke Utara Semenanjung Malaysia, AI memberikan sokongan yang membantu mereka membuat keputusan, memahami arah, serta mengurus risiko dan emosi. Sebelum perjalanan bermula, AI membantu merancang perjalanan dengan lebih teratur, termasuk maklumat tentang destinasi, jarak, masa perjalanan, jadual pengangkutan awam dan pilihan penginapan yang sesuai. Komunikasi dua hala yang jelas, membolehkan AI memberi maklumat dan cadangan yang tepat, sekali gus meningkatkan keyakinan wanita untuk meneroka destinasi atau kawasan terpencil yang belum pernah mereka kunjungi.

Interaksi bersama AI sepanjang perjalanan menunjukkan bahawa AI berfungsi sebagai sistem sokongan navigasi yang membantu pengguna memahami persekitaran dengan lebih yakin, terutamanya apabila bergerak di kawasan terpencil yang kurang maklumat di internet. Melalui soalan-soalan situasi seperti lokasi semasa, tanda tempat berdekatan, keadaan jalan, kemudahan awam atau anggaran jarak selamat, AI memberikan maklumat yang sesuai dengan keadaan sebenar. Sokongan ini membantu wanita menilai pilihan laluan, memahami arah dan membuat keputusan pergerakan dengan lebih teratur. Walaupun AI tidak menggantikan pemerhatian fizikal, namun komunikasi yang jelas membolehkan AI menyesuaikan respons mengikut konteks perjalanan.



Teknologi membina keyakinan wanita untuk melangkah tanpa sangsi.
Foto: Koleksi peribadi penulis

Interaksi pengguna bersama AI sepanjang perjalanan juga memperlihatkan fungsi AI sebagai sistem sokongan reflektif yang membantu wanita menilai risiko luar jangka, terutamanya dalam menimbang tahap keselamatan dan pilihan ketersediaan jenis pengangkutan di kawasan terpencil. Malah, respons empatik dan konsisten AI juga berupaya menangkap nuansa emosi, meredakan rasa was-was, serta membina keyakinan wanita sepanjang perjalanan kendiri. Hal ini selaras dengan pandangan Korade, bahawa sistem perbualan AI moden mampu menggunakan pengesanan emosi untuk memberi respons interaktif masa nyata yang dapat mengurangkan kebimbangan pelancong solo serta meningkatkan kepuasan kembara. Dengan kata lain, komunikasi berkonteks membolehkan AI berfungsi sebagai rakan strategik yang interaktif dan menyumbang kepada kesejahteraan emosi wanita sepanjang perjalanan.

Keseluruhannya, AI terbukti berfungsi sebagai sistem sokongan digital yang membantu wanita moden bergerak dengan lebih yakin dalam siri perjalanan solo mereka. Sokongan ini memberi ruang lebih luas kepada golongan wanita untuk melangkah tanpa sangsi, meneroka destinasi baharu dan mencapai impian perjalanan mereka dengan lebih teratur, terarah dan terjamin dari segi keselamatan. Sekaligus, pemahaman yang seimbang tentang potensi positif AI ini, membantu kita melihat teknologi ini bukan sekadar alat digital, tetapi sebagai sistem sokongan yang menyumbang kepada kesejahteraan manusia. (Sekalung penghargaan kepada penaja SK-2025-051).

Rujukan
1.Kartini Abd Wahab, Nur Hafizah Yusoff & Noordeyana Tambi. (2026). Bahasa Melayu dalam Ekosistem AI: Bentuk Interaksi Manusia–AI dalam Konteks Perjalanan Kendiri. Kertas Kerja Seminar Linguistik Kebangsaan (SLiK) 2026. Universiti Malaysia Terengganu, 28-29 September 2026.

2.Korade, N., Waykar, S., Waghmode, A., & Tate, S. (2025). AI travel buddy: Emotion detection and conversational AI for enhancing solo travel experiences. In Smart trends in computing and communications: Proceedings of SmartCom 2024, 279–291. Springer.

Belajar artikel ini dalam i-GEM Baca, uji kefahaman, fikir, cuba dan cabar diri. Kumpul XP dan lencana.
Mula Belajar di i-GEM →
(Visited 33 times, 1 visits today)