Skip to main content

Wadah ICT

Mercy: Bayangan AI untuk Sistem Keadilan Masa Depan?

Di masa hadapan, dengan perkembangan teknologi AI yang sangat pesat, apakah akan terjadi jika kerusi hakim di mahkamah tidak lagi diduduki oleh seorang manusia tetapi digantikan oleh sebuah pelayan komputer yang memproses jutaan baris kod? Persoalan inilah yang menjadi nadi kepada filem Mercy (2026) yang kini ditayangkan di servis penstriman Prime Video. Dibintangi oleh Chris Pratt sebagai Detektif Chris Raven, filem ini membawa kita ke masa hadapan yang tidak terlalu jauh (hanya tiga tahun kehadapan iaitu 2029), di mana sistem keadilan konvensional telah runtuh dan digantikan oleh satu entiti AI yang dipanggil Judge Maddox.

Dalam filem arahan Timur Bekmambetov ini, Chris Raven dituduh membunuh isterinya. Namun, cabarannya bukan sekadar membuktikan dia tidak bersalah, tetapi dia harus melakukannya dalam tempoh 90 minit sebelum sistem AI menjatuhkan hukuman mati secara automatik. Di sini, prinsip asas perundangan “presumption of innocence” (tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah) telah terbalik. Beliau dianggap bersalah dan beban untuk membuktikan sebaliknya terletak sepenuhnya di bahunya dalam perlumbaan masa yang sangat singkat dan kejam.

Secara teknikalnya, Mercy memaparkan sebuah ekosistem Big Data dan penderia Internet Pelbagai Benda (Internet of Things, IoT) yang sangat matang. Setiap langkah watak utama dikesan melalui sensor biometrik, rakaman pengawasan bandar, dan integrasi data awan (cloud computing) yang menghubungkan sejarah digitalnya secara menyeluruh. AI tersebut bertindak sebagai penganalisis, pendakwa, dan hakim yang sekali gus memproses data berkelajuan tinggi (high-velocity data processing). Namun, di sebalik kecanggihan teknologi ini, filem ini sebenarnya merupakan sebuah kritikan tajam terhadap kegagalan tadbir urus data atau Big Data Governance.

Salah satu isu kritikal yang dibangkitkan ialah tentang etika dan keadilan data. Dalam dunia nyata, kita sering menganggap data sebagai sesuatu yang objektif. Namun, filem ini mengingatkan kita bahawa data boleh membawa “bias” atau kecenderungan tertentu. Jika algoritma Judge Maddox dilatih menggunakan data sejarah yang berat sebelah, maka keputusan yang dihasilkan juga akan menindas. Tanpa adanya elemen empati manusia, sistem keadilan berubah menjadi sebuah mesin pengiraan yang hanya melihat korelasi tanpa memahami konteks kehidupan manusia yang kompleks.

Selain itu, Mercy menonjolkan risiko besar mengenai privasi dan pengawasan total (surveillance state). Apabila sesebuah organisasi atau negara mengumpul data tanpa kawalan tadbir urus yang ketat, sempadan antara keselamatan dan pencabulan hak peribadi akan hilang. Dalam konteks Big Data Governance, isu ketelusan atau “Explainable AI” (XAI) menjadi sangat penting. Masalah utama dengan sistem AI dalam filem ini ialah sifatnya yang seperti “kotak hitam” (black box) bila mana keputusan dibuat di sebalik tabir algoritma tanpa manusia tahu bagaimana ia dicapai. Apabila algoritma tidak boleh diaudit, keadilan menjadi sesuatu yang mustahil untuk dicabar atau dirayu.

Satu lagi pemikiran kritis yang boleh diambil daripada filem ini ialah mengenai konsep human-in-the-loop. Dalam Mercy, manusia hampir tidak mempunyai peranan dalam proses membuat keputusan. Ini adalah satu bentuk kegagalan tadbir urus yang ekstrem. Secara idealnya, AI seharusnya berfungsi sebagai alat sokongan keputusan (decision support system) dan bukannya pengganti mutlak kepada pertimbangan manusia. Apabila akauntabiliti diletakkan sepenuhnya kepada mesin, persoalan moral yang besar timbul: Jika AI melakukan kesilapan dan menghukum orang yang tidak bersalah, siapakah yang harus memikul tanggungjawab? Pembangun perisian, kerajaan, atau algoritma itu sendiri?

Kesimpulannya, filem Mercy adalah satu amaran tentang masa hadapan yang terlalu bergantung kepada automasi tanpa diimbangi oleh kerangka tadbir urus yang kukuh. Ia mengajar kita bahawa teknologi walau secanggih mana pun, tetap memerlukan pengawasan manusia, etika yang jelas, dan integriti data yang tinggi. Tanpa elemen-elemen ini, apa yang kita panggil sebagai sistem keadilan digital atau digital justice system mungkin hanyalah satu bentuk kezaliman baru yang dibalut dengan kemasan teknologi terutamanya big data, IoT, cloud computing dan AI. Filem ini mengingatkan kita bahawa dalam usaha mengejar kecekapan, kita tidak boleh sesekali mengabaikan nilai kemanusiaan yang menjadi tunjang kepada keadilan yang sebenar.

Kata kunci: AI, Sistem Keadilan Digital, Tadbir Urus Data, XAI


Dr. Mohamad Taha Ijab
Felo Penyelidik
Institut Informatik Visual
Universiti Kebangsaan Malaysia

taha@ukm.edu.my

(Visited 1 times, 1 visits today)