Pengalaman Menggunakan Gemini dan NotebookLM dalam Pengajaran, Penyelidikan dan Perkhidmatan
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan,
Universiti Kebangsaan Malaysia
* Penulis Koresponden : ruzanna@ukm.edu.my
Kata Kunci: Gemini, NotebookLM, produktiviti akademik, kecerdasan buatan generatif
Pengenalan
Kecerdasan buatan (AI) kini menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian manusia. Bukan sahaja peranan AI berkembang pesat dalam lanskap akademik, malah beban tugas pensyarah turut semakin bertambah dari semasa ke semasa. Ibarat aplikasi navigasi yang mampu mencari laluan terpantas sama ada perjalanan dekat mahupun jauh dan berliku, AI turut membantu pensyarah menyelesaikan kerja-kerja rutin mahupun kompleks dengan lebih cekap. Teknologi ini bertindak sebagai alat sokongan produktiviti yang mampu meningkatkan kecekapan akademik serta kualiti aliran kerja secara ketara (Khalifa & Albadawy, 2024).
Institusi pengajian tinggi awam di Malaysia kini diberikan akses kepada Gemini dan NotebookLM bagi memperkasakan pengajaran, pembelajaran serta penyelidikan. Sebagai salah seorang pengguna, penulis mengambil peluang untuk meneroka penggunaan kedua-dua alat ini dengan lebih mendalam. Artikel ini berkongsi pengalaman menggunakan Gemini dan NotebookLM dalam kerja harian beliau.
AI dalam Pengajaran
Sebagai seorang pensyarah matematik di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, beliau sering berdepan dengan kepelbagaian tahap kemahiran matematik dalam kalangan pelajar. Pelajar yang lemah dalam matematik memerlukan bahan bantu belajar yang lebih khusus berbanding pelajar yang mempunyai kefahaman baik atau sederhana. Dengan bantuan Gemini, penyediaan latihan yang bersesuaian dengan tahap kefahaman setiap pelajar menjadi lebih mudah direalisasikan. Dengan menggunakan prompt yang direka sendiri berdasarkan topik atau masalah tertentu, jenis soalan yang dikehendaki serta tahap kesukaran yang diingini dapat menjana soalan latihan dengan lebih pantas. Rajah 1 menunjukkan contoh output soalan latihan dalam format interaktif.

Rajah 1: Contoh output soalan latihan dari Gemini
Ciri interaktif yang dipaparkan dalam Rajah 1 membolehkan sesi kuliah menjadi lebih dinamik dan responsif berbanding kaedah pengajaran satu hala. Dengan ini penulis dapat menilai tahap kefahaman pelajar semasa kuliah dan menyesuaikan penyampaian pengajaran mengikut keperluan semasa. Pelajar turut menggunakan prompt yang sama untuk berlatih mengjawab soalan di luar sesi kuliah sambil mendapatkan panduan jawapan serta merta. Pendekatan ini menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih perbadi dan bersesuaian dengan keperluan setiap pelajar.
Selain Gemini, NotebookLM pula membantu untuk mengumpul dan menyusun maklumat daripada sumber-sumber khusus seperti buku rujukan, laporan dan artikel. Maklumat yang dijana oleh NotebookLM membolehkan bahan pengajaran menjadi lebih padu dan terkini. Bentuk output seperti infografik, peta minda dan video turut menjadikan bahan pengajaran lebih menarik kepada para pelajar.
Tanpa bantuan AI, kerja-kerja penyediaan bahan pengajaran dan pentaksiran memakan masa yang lama. Dengan bantuan Gemini dan NotebookLM, kerja-kerja tersebut bukan sahaja dapat disiapkan dengan lebih pantas malah kualiti bahan turut lebih terjamin. Pensyarah boleh menumpukan masa yang terluang kepada perkara yang tidak dapat digantikan oleh AI seperti membina hubungan baik dengan pelajar dan menangani isu akademik yang lebih mencabar. Contohnya, kadar kegagalan yang tinggi dan hasil pembelajaran kursus yang tidak dipenuhi.
AI dalam Penyelidikan
Tugas penyelidikan turut menjadi lebih mudah dengan bantuan AI. Melalui pemprosesan bahasa semula jadi (NLP) yang termaju, AI mampu meneliti ribuan dokumen sekali gus dan menjimatkan lebih 50 peratus tenaga kerja yang diperlukan untuk menyaring dokumen (Gutierrez 2025). Terdapat banyak ciri dalam NotebookLM yang boleh dimanfaatkan. Contohnya, peta minda dapat memberikan gambaran keseluruhan berkenaan lanskap kajian dari sumber-sumber yang dimuat naik. Ciri jadual data (data table) pula boleh merumuskan maklumat yang dikehendaki dalam bentuk jadual yang tersusun.
NotebookLM merupakan alat utama yang digunakan untuk meneliti puluhan artikel dari jurnal berindeks WoS atau Scopus dan mendapatkan rumusan dan analisis perbandingan dari sumber yang dimuat naik. Output yang diperoleh amat membantu dalam mengenal pasti kekangan kajian dan mereka bentuk kaedah kajian. Contoh sintesis literatur dan peta minda interaktif ditujukkan dalam Rajah 2 dan Rajah 3.

Rajah 2: Contoh hasil output dari NotebookLM.

Rajah 3: Contoh peta minda interaktif.
Secara keseluruhan, banyak aktiviti penyelidikan dapat dipercepatkan oleh AI. Proses meneliti, menyaring dan mensintesis literatur yang dahulunya mengambil masa yang lama kini dapat diselesaikan dengan lebih pantas. Penulis boleh menumpukan lebih banyak masa kepada perkara yang memerlukan pertimbangan kritis seperti reka bentuk kajian, analisis data dan penulisan manuskrip.
AI dalam Perkhidmatan
Selain pengajaran dan penyelidikan, AI turut memudahkan staf dalam melaksanakan kerja-kerja rutin dengan lebih efisyen. Sebagai penyelaras komunikasi strategik di fakulti, salah satu tugas adalah menguruskan segala pertanyaan yang diterima melalui emel rasmi fakulti. Gemini sangat membantu dalam memastikan emel dibalas dengan segera sambil mengekalkan nada professional. Dengan adanya fungsi Gemini dalam Gmail, ianya dapat mencari emel tertentu yang perlu diberi maklum balas atau perhatian dengan lebih pantas dan seterusnya mengambil tindakan susulan. Selain itu, Gemini turut membantu menyediakan pengumuman rasmi melalui emel, WhatSapp dan media sosial. Tugasan rutin yang dahulunya boleh mengambil masa yang lama kini dapat diselesaikan dalam tempoh yang jauh lebih singkat, sekali gus membolehkan penulis memperuntukkan lebih banyak masa untuk tugas hakiki seperti penyelidikan, penyeliaan dan pengajaran.
Selain itu, penulis juga perlu mengemas kini laman sesawang fakulti. Namun, plugin sedia ada mempunyai kekangan tertentu untuk menghasilkan reka bentuk laman yang lebih menarik. Gemini membantu beliau menulis HTML untuk mereka bentuk laman yang diingini. Pada masa yang sama, beliau turut belajar secara tidak langsung fungsi setiap baris HTML tersebut, sehinggakan mampu mengubah suai beberapa bahagian laman mengikut keperluan sendiri.
Penutup
Gemini dan NotebookLM telah membantu dalam pelbagai aspek kerja harian. Penulis turut mendapati bahawa semakin lama menggunakan alat AI ini, semakin terasah kemahiran menulis prompt beliau dan semakin kaya serta terperinci hasil output yang dihasilkan oleh AI. Namun, penggunaan alat AI ini perlu dilakukan dengan berhati-hati dan penuh tanggungjawab. AI hanyalah sebuah alat sokongan dan bukan pengganti kepada usaha manusia. Penggunaannya perlu diseimbangi dengan pertimbangan dan pemikiran kritis manusia, supaya daya kreativiti serta keupayaan berfikir kita tidak terjejas atau terpinggir. Pensyarah dan pelajar sewajarnya memanfaatkan teknologi ini dalam kerja dan pembelajaran masing-masing.
Rujukan
[1] Gutierrez, B. (2025). How AI is transforming academic research. https://news.miami.edu/stories/2025/10/how-artificial-intelligence-is-transforming-academic-research.html
[2] Khalifa, M. & Albadawy, M. (2024). Using artificial intelligence in academic writing and research: An essential productivity tool. https://doi.org/10.1016/j.cmpbup.2024.100145
✓ Artikel selesai
🤖 Bahan Pembelajaran Janaan AI
Jana slaid ringkas atau infografik daripada makalah ini menggunakan Claude, untuk memudahkan perkongsian atau ulang kaji.