Wadah ICT

Pengenalan kepada Pengkomputeran Maya: Hyperconverged Infrastructure (HCI)

Dalam era digital masa kini, organisasi dan perniagaan semakin bergantung kepada teknologi maklumat untuk meningkatkan keberkesanan operasi, mengurangkan kos, serta mempercepatkan inovasi. Salah satu pendekatan moden yang semakin mendapat perhatian dalam bidang pengurusan pusat data ialah penggunaan Hyperconverged Infrastructure (HCI). Teknologi ini lahir sebagai evolusi kepada sistem tradisional yang berasaskan perkakasan fizikal dan berkembang daripada konsep pengkomputeran maya (Pengkomputeran maya).

Pengkomputeran maya merujuk kepada kaedah di mana sumber perkakasan seperti pelayan, storan, dan rangkaian diasingkan daripada bentuk fizikalnya lalu diwujudkan dalam bentuk maya. Melalui virtualisasi, satu pelayan fizikal boleh dijadikan hos kepada beberapa pelayan maya (virtual machine) yang masing-masing berfungsi seolah-olah sebuah mesin atau pelayan berasingan.

Kelebihan utama pengkomputeran maya termasuk:

  1. Penggunaan sumber yang lebih efisien – kapasiti pelayan fizikal dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
  2. Fleksibiliti – organisasi boleh menambah atau mengurangkan pelayan maya mengikut keperluan.
  3. Penjimatan kos – mengurangkan bilangan pelayan fizikal yang diperlukan.
  4. Pengurusan lebih mudah – pentadbir sistem boleh mengurus sumber maya menggunakan perisian tanpa perlu berinteraksi secara langsung dengan perkakasan fizikal.

Namun, dengan pertumbuhan data yang pesat dan permintaan perkhidmatan digital yang semakin kompleks, pengkomputeran maya sahaja tidak mencukupi. Keadaan inilah yang mendorong kemunculan konsep Hyperconverged Infrastructure (HCI).

Definisi Hyperconverged Infrastructure (HCI)

HCI ialah satu bentuk seni bina pusat data yang menggabungkan pengkomputeran (compute), storan, dan rangkaian ke dalam satu platform bersepadu yang dikawal sepenuhnya melalui perisian. Dalam erti kata lain, ia adalah penyelesaian infrastruktur yang mengintegrasikan semua komponen utama IT dengan menggunakan perisian untuk menguruskan sumber secara automatik dan dinamik.

Secara tradisinya, organisasi membina pusat data dengan membeli pelayan, sistem storan, dan peralatan rangkaian daripada vendor berbeza. Pendekatan ini bukan sahaja menelan kos yang tinggi, malah sukar untuk di selenggara kerana melibatkan pelbagai jenis perkakasan dan perisian. Bagi mengatasi cabaran ini, HCI muncul sebagai penyelesaian dengan menawarkan satu platform yang lebih ringkas, fleksibel, dan bersepadu.

Seni bina HCI secara asasnya merangkumi gabungan komponen yang berikut:

  1. Pelayan x86 Standard – digunakan sebagai asas untuk menyediakan kuasa pemprosesan bersepadu.
  2. Storan Bersepadu – menggantikan sistem storan berasingan dengan storan berasaskan perisian (software-defined storage).
  3. Rangkaian Maya – mengurus komunikasi antara pelayan maya dengan lebih efisien.
  4. Perisian Pengurusan – berfungsi sebagai lapisan kawalan (control plane) untuk mengurus semua komponen melalui satu kawalan (console).

Penggunaan HCI memberikan nilai tambah yang besar kepada sesebuah organisasi. Kelebihan utamanya adalah seperti yang berikut:

  1. Penyederhanaan Operasi
    Dengan HCI, pentadbir IT boleh mengurus keseluruhan infrastruktur melalui antara muka berpusat tanpa perlu mengendalikan pelbagai sistem berasingan.
  2. Skalabiliti Mudah
    Organisasi hanya perlu menambah nod (server baru) ke dalam kluster HCI untuk meningkatkan kapasiti. Ini membolehkan pertumbuhan secara linear dan lebih terkawal.
  3. Penjimatan Kos
    Walaupun pelaburan awal agak besar, HCI mengurangkan kos operasi jangka panjang kerana kurang memerlukan perkakasan khusus, tenaga elektrik, dan ruang fizikal.
  4. Ketahanan dan Ketersediaan Tinggi
    Data disalin merentasi beberapa nod. Jika satu nod gagal, nod lain boleh mengambil alih tanpa menjejaskan operasi.
  5. Fleksibiliti dan Automasi
    Infrastruktur boleh dikonfigurasi secara dinamik berdasarkan keperluan aplikasi, membolehkan organisasi bertindak lebih pantas dalam menyokong perniagaan.

Walaupun HCI membawa banyak kelebihan, namun terdapat beberapa cabaran yang perlu dipertimbangkan, iaitu:

  • Kos Permulaan – perbelanjaan awal mungkin tinggi bagi organisasi kecil.
  • Kebergantungan kepada Vendor – biasanya HCI datang dalam bentuk penyelesaian lengkap daripada satu vendor, yang boleh menimbulkan isu penguncian vendor (vendor lock-in).
  • Keserasian Aplikasi – tidak semua aplikasi warisan (legacy applications) serasi dengan persekitaran HCI.
  • Kepakaran IT – memerlukan kakitangan yang mahir dalam teknologi virtualisasi dan pengurusan perisian bersepadu.

Contoh Hyperconverged Infrastructure (HCI)

Seiring dengan perkembangan teknologi pusat data, berdapat pelbagai platform HCI yang ditawarkan oleh penyedia teknologi terkemuka bagi memenuhi pelbagai skala dan keperluan organisasi, iaitu:

  • Nutanix Cloud Infrastructure (NCI) / Nutanix Cloud Platform
  • Sangfor HCI
  • Microsoft Azure Stack HCI
  • Proxmox VE (open-source HCI)
  • Dell VxRail
  • VMware vSAN

Melihat kepada keupayaannya yang versatil, teknologi HCI kini diadaptasi secara meluas dalam pelbagai senario penggunaan utama IT. Antaranya termasuklah:

  1. Pusat Data Moden – menggantikan sistem tradisional dengan platform bersepadu.
  2. Disaster Recovery – menyediakan replikasi data dan pemulihan bencana dengan lebih mudah.
  3. Pengkomputeran Awan Peribadi (Private Cloud) – membina persekitaran awan dalaman yang fleksibel.
  4. Big Data dan Analitik – menyokong beban kerja data yang besar dengan prestasi tinggi.

Masa Depan HCI

Dengan perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), dan komputasi awan hibrid, HCI dijangka akan terus berkembang. Model masa depan mungkin lebih berorientasikan cloud-native, di mana aplikasi dibangunkan secara modular menggunakan kontena (containers) dan mikroservis (microservices). Selain itu, integrasi HCI dengan automasi serta pembelajaran mesin (machine learning) dijangka akan meningkatkan lagi tahap keberkesanan dan kebolehkendalian pusat data.

Secara keseluruhannya, HCI adalah inovasi penting dalam dunia pengkomputeran maya yang membolehkan organisasi mengurus sumber IT dengan lebih cekap, fleksibel, dan menjimatkan kos. Ia menggantikan pendekatan tradisional yang kompleks dengan satu platform bersepadu berasaskan perisian. Walaupun terdapat cabaran seperti kos permulaan dan kebergantungan kepada vendor, manfaat jangka panjangnya jauh lebih besar. Oleh itu, bagi organisasi yang ingin kekal kompetitif dalam era digital, HCI adalah salah satu teknologi strategik yang wajar dipertimbangkan.

 

Oleh,
Amri Talib
Pusat Teknologi Maklumat,  Universiti Kebangsaan Malaysia

(Visited 5 times, 1 visits today)