e-ISSN : 3083-8223

Jejak Digital Saat Air Meninggi: Komunikasi Tanpa Sempadan

Apabila Air Membahayakan, Teknologi Menjadi Penyelamat. Sistem komunikasi moden semasa banjir seperti telefon pintar bukan sekadar alat berkomunikasi semata-mata, namun ia lebih dari itu. Telefon pintar juga boleh jadi pusat maklumat penyelamat, pemberi amaran dini dan jaringan pertolongan segera. Bagaimana teknologi moden membantu manusia ketika berada dalam fasa kecemasan adalah seperti berikut.

Media Sosial sebagai Penyelamat Sejati
Media sosial seperti Facebook dan Twitter menjadi papan tanda bencana. Para penduduk yang dilanda bencana boleh melaporkan kawasan-kawasan berisiko secara terus di akaun masing-masing dan maklumat tersebut akan menjadi berita terkini yang akan tersebar pantas ke seluruh masyarakat.

Aplikasi Khas Banjir
Aplikasi khas banjir seperti Peta Digital berupaya menunjukkan tahap air pada ketika banjir dan fungsi amaran langsung akan terus sampai kepada telefon pintar para pengguna. Dengan adanya maklumat tersebut, panduan keselamatan boleh dikemaskini dengan mudah dan cepat dari masa ke semasa.

Whatsapp dan Telegram: Jaringan Pertolongan
Aplikasi komunikasi yang membolehkan pesanan dihantar segera seperti Whatsapp dan Telegram juga amat berguna pada masa kecemasan. Aplikasi ini bukan sahaja boleh menghantar mesej ringkas dengan segera tetapi juga berfungsi untuk membentuk kumpulan penyelematan yang bertujuan untuk mengkoordinasikan para sukarelawan yang ingin menyumbang tenaga. Para sukarelawan yang telah bersiap sedia untuk membantu mangsa-mangsa bencana alam dapat berkomunikasi sesama mereka dengan mesej yang boleh dibaca serentak oleh semua sukarelawan.

Maklumat yang dikongsi adalah dalam masa nyata menjadikan bantuan lebih efisyen dan pastinya banyak nyawa boleh diselamatkan.
Hal ini telah terbukti melalui kisah benar yang dikongsikan oleh seorang aktivis semasa banjir besar tahun lalu. Seorang remaja berjaya menyelamatkan jiran tuanya menggunakan maklumat dari kumpulan Whatsapp. Jiran tuanya tidak berupaya menjerit meminta tolong ke luar rumah, sebaliknya menyampaikan mesej kepada salah seorang jiran mengatakan yang dia masih terperangkap di dalam rumah. Jirannya pula terus menyebarkan maklumat berkaitan jiran tua itu ke Whatsapp kumpulan sukarelewan lalu mereka terus bergegas ke rumahnya untuk diselamatkan. Walau bencara tidak dapat dielakkan, namun teknologi tetap boleh menyelamatkan nyawa.

Tip Penting semasa banjir
Bagi mengoptimumkan penggunaan teknologi semasa bencana seperti banjir, beberapa tip telah dikongsikan oleh para sukarelawan. Di antaranya ialah telefon bimbit mestilah disimpan di dalam beg kedap air untuk memastikan alat tersebut terus berfungsi dan tidak rosak kerana sesetengah telefon bimbit tidak mempunyai ciri-ciri kalis air. Mangsa banjir juga hendaklah memastikan bateri telefon bimbit dicaj sepenuhnya dan sebagai persediaan, alat tambahan seperti power bank juga boleh disediakan. Kemudian, muat turun aplikasi banjir rasmi agar sentiasa cakna dengan perkembangan semasa bencana dan bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Melalui aplikasi banjir tersebut, para pengguna boleh mendapat panduan dari pihak berkuasa tentang langkah-langkah yang perlu diambil. Patuhlah pada arahan pihak berkuasa, demi keselamatan diri. Selain itu, pengguna juga boleh sama-sama membantu berkongsi maklumat tepat kepada pihak berkuasa dan secara tidak langsung turut membantu ahli keluarga dan jiran tetangga.Turut diingatkan juga bahawa penggunaan teknologi mestilah diiringi dengan sikap berhemah dan bijaksana. Barulah teknologi dikatakan berupaya menjadi alat pertolongan. Jangan sesekali menyebarkan berita palsu untuk meraih perhatian. Maklumat yang betul dan tepat pada masa yang tepat boleh menyelamatkan nyawa.

Kesimpulannya, teknologi moden bukan sekadar hiburan jika digunakan secara optimum. Alat seperti telefon pintar merupakan teknologi penting dalam menghadapi cabaran alam. Sebagai generasi digital, kita mempunyai pilihan dan kuasa untuk melakukan perbezaan. Sebagai pesanan akhir dari penulis, teknologi berada di hujung jari anda. Gunakanlah dengan bijak dan jadikan ia kekuatan untuk membantu diri anda dan masyarakat!

Oleh,
TC. NUR ADILAH BINTI SHAHLI
nuradilah@ukm.edu.my

(Visited 59 times, 1 visits today)