Kebudayaan dan Kelestarian: Jejak SDG di Istana Puteri Bongsu

Tiada penafian di kala kepesatan teknologi dan ledakan kecerdasan buatan atau “artificial intelligence” (AI) di kalangan komuniti global, isu-isu terkait budaya acapkali berkedudukan di pinggiran dan semakin ditelan gelombang perdana. Menyedari kepentingan nilai-nilai budaya dan tradisi dalam mewarnai kepesatan AI dan teknologi, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) telah mengambil pelbagai inisiatif dalam melestarikan nilai warisan bangsa. Istana Puteri Bongsu yang menjadi kemegahan ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia bersama Jabatan Muzium Malaysia telah menobatkan binaan warisan ini sebagai sebuah pusat pemerkasaan dan penyebaran nilai-nilai budaya Melayu di kalangan generasi muda dewasa kini.

Dengan menyahut dasar UKM menerusi Pusat Strategi dan Kepimpinan, ATMA telah menjadikan istana ini juga sebagai pusat idea pembangunan budaya berorientasikan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs Goal). Diversifikasi aktiviti kebudayaan, pendidikan dan juga pembelajaran telah digarap selari keperluan SDG4 – Pendidikan Berkualiti dan SDG11 – Pembangunan Komuniti menerusi perkembangan kebudayaan. Dalam hal ini, Istana Puteri Bongsu menjadi wahana untuk mengimplementasikan teori dan praktikal yang dipelajari mahasiswa dalam bidang seni, budaya, dan sejarah. Program-program yang diadakan tidak hanya sebagai medium pembelajaran tetapi juga sebagai saranan untuk memupuk kebanggaan dan penghargaan terhadap warisan budaya Melayu.

Malahan dalam memastikan istana ini adalah bersifat inklusif, rencaman program kebudayaan berpaksikan jati diri bangsa seiring konsep MADANI telah dan akan dilaksanakan dalam takwim Istana Puteri Bongsu. Kem Budaya yang bermotifkan Cakna@Istana mensasarkan pelajar-pelajar sekolah dengan pengisian aktiviti dwi tahunan yang dirangka untuk memperkenalkan budaya dan juga sebagai platform untuk mengintegrasikan UKM dengan masyarakat lokal. Lokasi istana ini yang strategik memainkan peranan penting dalam kemudahan akses kepada masyarakat untuk sama-sama terlibat secara langsung dalam prakarsa pemerkasaan dan pemeliharaan budaya mereka sendiri. Program-program seperti ini dirancang agar masyarakat tidak terpinggir dan pemugaran budaya warisan bersifat inklusif dan lestari.


Malah menerusi beberapa kolaborasi strategik bersama Jabatan Muzium Malaysia di peringkat kebangsaan dan rakan kolaborasi antarabangsa seperti British Council, Ecosystems Network Knowledge dan Scotland’s Rural College University dari United Kingdom telah memberi nafas baharu kepada peranan Istana Puteri Bongsu secara eksklusif. Beberapa ruang di istana telah dijadikan sebagai ruang pameran tetap berteraskan teknologi realiti tambahan dengan menjadikan konten warisan alam Melayu dan United Kingdom telah dibangunkan. Ini secara tidak langsung menjadikan Istana Puteri Bongsu sebagai hab warisan terulung di UKM dan juga persada antarabangsa.

Perkongsian dan kolaborasi ini sejajar dengan SDG17 yang mensasarkan kekuatan kerjasama dan perkongsian pelbagai pihak dalam memastikan kelestarian warisan budaya di peringkat antarabangsa. Kerjasama erat Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) selaku peneraju warisan alam Melayu bersama-sama Pusat Strategi dan Kepimpinan UKM dalam mengkoordinasikan sumber daya dan kepakaran UKM telah memastikan agar program-program di Istana Puteri Bongsu ini dapat dilaksanakan secara lebih efektif dan memberikan manfaat yang kepada semua pihak.

Istana Puteri Bongsu bertindak sebagai “living lab” yang meghubungkan pelbagai pihak terutamanya mahasiswa, penyelidik dan juga masyarakat yang berminat terhadap warisan budaya alam Melayu yang berkait rapat dengan seni bina, alam sekitar dan juga antropologi. Secara tidak langsung, ini meletakkan UKM sebagai salah satu institusi bertunjangkan kelestarian SDG dalam warisan dan budaya alam Melayu. Malah, melalui pelbagai program dan aktiviti di Istana Puteri Bongsu, UKM tidak hanya memainkan peranan dalam pelestarian budaya Melayu di dalam dimensi pendidikan dan penyelidikan tetapi turut menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang lebih berteraskan identiti bangsa MADANI. Integrasi antara pendidikan, budaya, dan pembangunan lestari yang dilakukan menerusi aktiviti di istana ini adalah langkah proaktif dalam memastikan bahawa warisan budaya tidak hanya dilestarikan tetapi juga dihargai sebagai sumber penting kepada pembangunan masa depan yang inklusif dan lestari.

Oleh:
Muhamad Solehin Fitry Rosley, Jamilah Mohamed, Abdul Muhaimin Sabron dan Asamuddin Abu Hasan

(Visited 25 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *