Pejabat Naib Canselor

 

Lawatan ke SK Nam Heng di Ulu Tiram

Alhamdullilah. Dua tugasan di Johor selesai hari ini (27 Mac  2016). Saya membentang pelaksanaan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri dan wakil-wakil Pegawai Daerah dan PBT negeri Johor.

Disebelah pagi saya sempat singgah ke SK Nam Heng di Ulu Tiram menjengah mahasiswa PERMAJ UKM menjalankan aktiviti kemasyarakatan. Tahniah PERMAJ.

Begitu tersentuh hati saya menyaksikan kegigihan Guru Besar Pn Hjh Rozita, YDP PIBG En Saadon dan guru-guru di sekolah berkenaan berusaha meningkatkan tahap pendidikan anak-anak komuniti ini yang agak jauh dari pembangunan. Sebuah sekolah dikelilingi ladang kelapa sawit mula beroperasi 1954. Masih jauh dalam konteks pembangunan.

Tanggungjawab siapa untuk membantu anak-anak dan masyarakat disini? Terusik hati saya melihat wajah ibubapa yang tampil menjadi keluarga angkat kepada hampir 30 pelajar UKM. Sekadar yang termampu mereka menyambut mahasiswa UKM dengan penuh riang dan harapan agar UKM akan tampil untuk meningkatkan kesejahteraan kehidupan mereka-pendidikan, kesihatan, peluang pendapatan, kerohanian, belia, komuniti, warga emas, keusahawanan, dll.

Kegiatan komuniti UKM mesti mensasarkan impak yang jelas. Komuniti ladang Nam Heng memerlukan kita-UKM-Pendaulat Amanah Negara yang Mengilham Harapan Mencipta Masa Depan. Universiti yang dibina dengan aspirasi rakyat.

Saya paparkan 4 wajah anak-anak SK Nam Heng yang dengan yakin tampil ketika saya berbual mesra bertanyakan cita-cita dan harapan mereka:

1 2 3 4
MUHAMMAD IQBAL HAIQAL BIN ABU BAKAR MOHAMMAD AKMAL BIN AZMAN SITI NUR FITRI ATIQAH BINTI ABDULLAH NUR ALLYA ATIQAH BINTI SAWAL
10 tahun 9 tahun 7 tahun 9 tahun
cita-cita : polis cita-cita : polis cita-cita : doktor cita-cita: pilot

Saya gembira melihat senyuman dan tawa riang mereka menyambut UKM sampai ke kampung mereka tetapi hati saya kedu memikirkan bagaimana kesarjanaan UKM yang dibina 46 tahun lamanya mampu dimanfaatkan anak-anak dan komuniti ini. Kita ada keupayaan dan ruang untuk menyumbang.

Tampillah Warga UKM! Gerakkan tenaga agar kesarjanaan yang kita bina mampu meningkatkan kesejahteraan insan diluar sana. Kesejahteraan kehidupan adalah ukuran penting dalam menilai impak kesarjanaan kita.


(sumber: fb Noor Azlan Ghazali)