Pejabat Naib Canselor

 

Selamat Datang Pelajar Baharu ke UKM

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Salam Pendaulat Amanah Negara,

Saudara dan saudari Warga UKM yang amat saya hormati,

1 September 2015. Tarikh istimewa buat semua kita warga UKM. Kepada pelajar prasiswazah baharu yang akan  mendaftar untuk Sesi 2015/16, juga pelajar siswazah yang baru mendaftar, selamat datang dan setinggi-tinggi tahniah diucapkan. Saudara dan saudari adalah sekumpulan kecil yang terpilih daripada puluhan ribu yang mengimpikan tempat untuk menjadi mahasiswa UKM. Saudara dan saudari memilih dan dipilih untuk bersama-sama saya dan seluruh warga UKM bagi memikul amanah besar selaku Pendaulat Amanah Negara. Kita Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan untuk Malaysia dan masyarakat sejagat.

Saudara dan saudari adalah insan bertuah kerana bakal menyertai hampir 34,000 warga UKM semasa (sekitar 24,000 pelajar, 2,000 ahli akademik dan 8,000 pentadbir serta staf pelaksana) dan seramai sekitar 170,000 alumni UKM yang kini berada di serata tempat dalam dan luar negara, mencurah bakti dan menyumbang jasa demi kesejahteraan dan kemakmuran Malaysia, menyubur kehidupan sejagat.

Sebagai Pendaulat Amanah Negara, setiap insan yang bergelar warga UKM pastinya sentiasa bermatlamatkan misi untuk mencapai kecemerlangan yang memanfaatkan kerjaya diri dan semua pihak di sekeliling kita. Ibu bapa, ahli keluarga, sanak saudara, jiran tetangga, masyarakat, rakyat dan negara semuanya menaruh harapan ke atas kita warga UKM. Kita akan bersama-sama mengerah daya mengilham harapan, mencipta masa depan agar kehidupan kini dan mendatang lebih makmur dan berkualiti.

1 September 2015 pastinya bertambah istimewa dengan kita selaku rakyat Malaysia baharu sahaja menyambut Hari Kebangsaan 2015, genapnya tanah air tercinta  merdeka selama 58 tahun. Mana mungkin sebuah Universiti Kebangsaan terpisah dengan Hari Kebangsaan. Tiga belas tahun selepas kemerdekaan, 18 Mei 1970,  impian melihat tertubuhnya sebuah Universiti  Kebangsaan terlaksana. Denyutan kemerdekaan ini sentiasa tersemat disetiap sanubari warga UKM.

Kini 45 tahun sudah perjalanan UKM. Mana mungkin universiti ini tidak menjunjung dan memegang kuat amanah yang dimandatkan rakyat dan negara sebagai sebuah gedung ilmu kebangsaan yang menjadi pencetus kecemerlangan buat agama, bangsa dan negara. UKM Sehati Sejiwa dengan Malaysia. Universiti Kebangsaan Malaysia, sejarah penubuhannya begitu hebat, seiring kegetiran menuntut kemerdekaan tanahair.

Perjalanan kita selama 45 tahun yang lalu padat dengan pengalaman berharga dan liku-liku yang mencabar. Perjalanan seterusnya  semakin getir dengan persekitaran yang semakin kompleks, 'very demanding' sifatnya. Semoga perayaan kemerdekaan ini memberi nafas baru dan semangat yang lebih kuat untuk kita terus berusaha. Tiada rintangan yang menghalang perjalanan kita yang tidak dapat kita rentasinya. Sehati sejiwa kita bergerak ke hadapan.

Seperti semua warga UKM yang lain, saudara dan saudari mahasiswa UKM yang baharu peganglah dua perenggan lirik lagu Varsiti Kita yang berikut dengan kemas:

Inilah Varsiti kita
Ditengahkan hasrat rakyat kita
Dari mula untuk semua
Bagai tanda perjuangan kita

Bangun berbakti membela
Memupuk insan jiwa bertakwa
Memimpin manusia semua
Kenal akan adat unggulnya
Membina negara sentiasa
Maju berilmu dan bahagia

Disinilah tapak untuk saudara dan saudari bermula dalam melakar perjalanan seterusnya selaku warga UKM. Kecemerlangan kita mesti diukur bukan sahaja atas kemajuan diri sendiri tetapi sejauh mana kecemerlangan ini dapat dikecapi oleh semua pihak di sekeliling kita.

Manfaatkan peluang yang amat istimewa ini, jadilah seorang mahasiswa yang cemerlang, berdaya saing, bertanggung jawab dan beretika. InsyaAllah, saya dan seluruh warga UKM akan memberi yang terbaik buat saudara dan saudari. Bermula hari ini, saudara dan saudari adalah warga UKM. Kita adalah satu pasukan yang akan sama-sama merealisasikan kecemerlangan yang diimpikan dan menggalas mandat selaku Pendaulat Amanah Negara yang Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan.

Kepada semua warga UKM, selamat menyambut Hari Kebangsaan 2015 dan marilah kita bersama-sama meneruskan usaha untuk menzahirkan UKM sebagai sebuah universiti yang dihormati dan disegani kecemerlangannya. Selamat memulakan Sesi Pengajian 2015/2016.

Bagi saudara dan saudari mahasiwa baharu UKM, sekali lagi setinggi-tinggi tahniah, selamat menuntut ilmu dan berikan yang terbaik demi membina sahsiah dan minda yang hebat.

Selamat datang dan terima kasih kerana memilih Universiti Kebangsaan Malaysia. Saya doakan keberkatan Allah SWT jua buat kita semua.

Sekian, terima kasih.
Salam hormat,

Noor Azlan Ghazali
Bertarikh: 1 September 2015/17 Zulkaedah 1436H