Pejabat Naib Canselor

 

Selamat Datang Pelajar-Pelajar Baru ke UKM (Sesi Akademik 2017-2018)

Assalamualaikum warga UKM yang saya hormati,

Menerima pelajar baharu adalah satu proses yang amat penting dalam perjalanan kita untuk menjadi sebuah universiti yang hebat dan disegani.  Pelajar adalah pemegang taruh utama dan strategik yang akan menentukan kejayaan kita. Kehadiran mereka amat penting dan bermakna buat kita semua.

Kita telah sedaya upaya melaksanakan proses pemilihan yang inovatif untuk memastikan pelajar yang terbaik dipilih. Seramai hampir 9,000 calon telah meletakkan UKM sebagai pilihan pertama mereka, tetapi sekitar 4,000 sahaja yang terpilih untuk mengikuti pengajian pra-siswazah mereka di UKM, antara universiti yang ulung di Malaysia.

Sekarang, kita menjemput mereka untuk menyertai perjalanan agung kita sebagai Pendaulat Amanah Negara yang Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan. Mereka menerima jemputan kita dengan penuh kegembiraan dan keghairahan, serta ternanti-nantikan episod istimewa dalam perjalanan hidup masing-masing. Ibu bapa, abang, kakak, adik, atuk, nenek, dan saudara mara, semua tumpang gembira. Kita mesti hargai kegembiraan ini dan memastikan keputusan mereka memilih UKM adalah tepat.

Alu-alukan kedatangan mereka dalam satu suara dan satu semangat! Galakkan mereka untuk berinteraksi dengan kita di universiti dan antara satu sama lain dengan berkongsi pandangan, harapan dan cita-cita. Pastikan mereka tahu status UKM sebagai salah sebuah universiti penyelidikan berprestij di Malaysia. Kongsi bersama mereka amanah, aspirasi, harapan dan cara UKM. Merekalah yang bakal menyinari persada dunia dan membawa nama UKM ke semua benua. Inilah pelajar yang dipilih oleh akademia UKM.

Setiap satu daripada kita memainkan peranan yang amat penting. Marilah kita semua bersama-sama membuat persediaan serapi mungkin. Setiap hari adalah hari yang berharga. Sediakan mereka untuk hadir ke kampus.

Saya harap, kita semua jelas dengan mesej hari pertama (Day One) UKM dan tanggungjawab masing-masing. InsyaAllah, kita akan menjadikan keseluruhan proses kemasukan pelajar baharu ini sebagai sesuatu yang bersejarah dan bitara sifatnya. Cara dan gaya unik UKM yang berimpak bagi menyediakan pelajar yang terhebat.

Pelajar hebat, disambut oleh akademia hebat, ditadbir oleh pentadbiran dan pelaksana hebat, didokong oleh alumni hebat dan pastinya menjadikan UKM sebuah universiti yang hebat.

Terima kasih semua dan selamat menyambut kehadiran pelajar baharu sesi akademik 2017/2018 dengan cara yang baharu.

Salam Hormat,

Profesor Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali     
Naib Canselor / Vice-Chancellor
Universiti Kebangsaan Malaysia (The National University of Malaysia)
43600 Bangi, Selangor
MALAYSIA

(Bertarikh: 16 Ogos 2017)