Pejabat Naib Canselor

 

Ulang Tahun UKM ke-46 (18 Mei 2016)

Assalamualaikum dan salam sejahtera, Warga UKM yang saya hormati,

18 Mei, 2016 – Hari yang amat istimewa buat semua yang bergelar Warga UKM. Universiti yang diimpikan keseluruhan rakyat Malaysia, semua lapisan, semua daerah, semua bangsa, kini mencecah 46 tahun usia penubuhannya.

Kita memanjatkan syukur ke hadrat Illahi, UKM semakin hari semakin matang, semakin kukuh dan yang paling utamanya, kita semua kini bergelar Warga UKM, menyambung perjuangan merealisasikan aspirasi yang dibenih 46 tahun yang lalu.

Amanah yang kita pikul adalah amanah besar negara. Sebagai warga sebuah universiti ‘kebangsaan’, kita berbeza, kita adalah Pendaulat Amanah Negara. Universiti ini bagai nyawa untuk negara ini terus membangun, dihormati dunia dan meningkatkan kesejahteraan untuk semua.

Misi ‘Mencari Nordin’ baru-baru ini mengingatkan kita bahawa universiti ini adalah pertaruhan semua. Ditahun 1968, anak muda berusia 13 tahun dari Terengganu bernama ‘Nordin’ mengirim RM1 untuk tabung penubuhan UKM. Sedikit demi sedikit Nordin menabung wang saku sekolahnya untuk dihantar membantu penubuhan universiti ini. Benak hati Nordin terpanggil apabila gurunya menceritakan usaha kerajaan untuk menubuhkan sebuah universiti kebangsaan yang bakal membawa negara yang baru merdeka dan masih bergelumang dengan kemiskinan ketahap kesejahteraan yang lebih tinggi. Nordin terpanggil. 46 tahun berlalu-apakah pertaruhan Nordin menjadi? Adakah ‘jiwa Nordin’ terus kekal membakar semangat kita?

Marilah kita memegang amanah ini dengan kukuh-semua kita-staf akademik, staf pentadbiran dan pelaksana, dan pelajar malah semua yang pernah bersama UKM sejak 46 tahun dahulu. Kita bersama memenuhi tuntutan amanah ini. Kecemerlangan kita, lebih dari setakat kemajuan kerjaya diri. Kecemerlangan kita adalah kecemerlangan negara yang kita cintai ini-pendorong utama yang menggerakkan tindakan kita.

Dari tahun ke tahun, persekitaran dan cabaran turut berubah. Kelangsungan kecemerlangan UKM menuntut kita semua melaksanakan perubahan yang membolehkan kita terus mengukuhkan kerelevenan dan mengukir nama. Tawaran nilai UKM dalam semua aspek pengoperasian kita-pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan-mestilah mempunyai nilai yang tinggi yang meyakinkan semua pihak berkepentingan-rakyat, kerajaan, akademia, industri, penaja, ibu-bapa, dan masyarakat sejagat-bahawa UKM peka dan sentiasa bersedia untuk berubah menepati masa, namun kekal kukuh dengan amanah asal penubuhannya.

Hari ini kita semua perlu sejenak mengimbau, apa yang telah dan akan kita laksanakan demi memastikan kelangsungan kecemerlangan ini? Apakah tindakan kita untuk menggerakkan 6 teras pengoperasian (6 KRA-keberhasilan utama) kita sejaya yang mungkin? Seketika kita bermuhasabah:

Bagaimana kita dapat menghasilkan siswazah yang cemerlang, hebat, bernilai tinggi, berakhlak mulia dan menepati keperluan semasa dan mendatang?

Bagaimana kecemerlangan penyelidikan dan inovasi kita berupaya menghasilkan idea dan penyelesaian yang memberi impak kesarjanaan, meningkatkan kualiti kehidupan dan prestasi pihak berkepentingan?

Bagaimana dapat kita pastikan UKM kekal relevan untuk semua dan diiktiraf sebagai ‘rakan strategik’ yang bernilai tinggi dan mampu menghasilkan kecemerlangan bersama?

Bagaimana kecekapan pentadbiran dan pengoperasian institusi kita dapat melancarkan dan memudahcara semua keperluan untuk kecemerlangan universiti ini?

Bagaimana kesarjanaan dan semua kekuatan serta aset kita dapat digembelingkan untuk mengukuhkan penjanaan, kelestarian kewangan dan kecemerlangan universiti?

Bagaimana kita dapat menyediakan infrastruktur dan semua kemudahan kampus yang terbaik dan kondusif untuk sebuah komuniti keilmuan mengejar kecemerlangan yang diimpikan?

Terima kasih semua atas segala sumbangan dan bakti yang dicurahkan untuk universiti yang kita cintai ini. Semoga diberkati Allah SWT.

Selamat menyambut ulang tahun penubuhan ke 46 UKM. Dirgahayu UKM! Ayuh sederap kita mengungguli kecemerlangan! Salam hormat.


(sumber: fb UKM News)