JOM BEKPES 2018

KUALA LUMPUR, 8 OGOS 2018 – Kolej Dato’ Onn, UKM telah menyertai program kesukarelawanan yang disertai oleh semua  Pemudah Cara (PC) yang bakal menyambut pelajar baharu sesi 2018/2019.

Program ini berlangsung pada 8 ogos 2018. Program Jom Bekpes ini dianjurkan oleh Institut Onn Jaafar yang menjemput Kolej Dato’ Onn dalam mengagihkan makanan sarapan pagi kepada warga yang kurang berkemampuan di sekitar Kuala Lumpur. Seramai 30 orang PC telah menyertai program ini sebagai sukarelawan  yang diketuai oleh Saudara Muhammad Firdaus Bin Zainal.

Antara tempat yang dikunjungi oleh sukarelawan Kolej Dato’ Onn adalah seperti Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Yayasan Chow Kit’s KL Krash Pad, Pusat Aktiviti Kanak Kanak Chow Kit (PAKK) dan juga Myanmar Refugee Learning Centre KL. Pemberian makanan pagi ke  tempat ini telah diselia oleh wakil daripada Institut Onn Jaafar. Selain mengedarkan makanan, sukarelawan juga membuat pelbagai aktiviti di kawasan tersebut.

Antara objektif pelaksanaan aktiviti Jom Bekpes ini adalah untuk menjalinkan hubungan yang rapat antara mahasiswa dan masyarakat di samping menggalakkan para mahasiswa ini menyertai program kesukarelawanan yang menjurus kepada menjaga kepentingan dan kesejahteraan orang yang memerlukan. Program ini adalah merupakan langkah awal kepada bakal pemudahcara Kolej Dato’ Onn bagi melahirkan bakal pemimpin yang mepunyai kemahiran insaniah yang tinggi dan kepimpinan yang cekap dan mantap. Selain sifat kepimpinan, sifat kesukarelawanan juga perlu diterapkan dalam diri  bakal pemudahcara bagi memupuk sikap saling membantu secara sukarela  bagi menyambut kedatangan pelajar baharu.

Disediakan oleh: Muhammad Firdaus Bin Zainal
Foto: Muhammed Syafiq Bin Salleh