KEM KEPIMPINAN KOLEJ KEDIAMAN 2018

KUALA KANGSAR, 14 OGOS 2018 – Barisan Majlis Eksekutif Pelajar, Kolej Dato’ Onn, UKM telah menjalani Kursus Kepimpinan Kolej Kediaman peringkat Universiti Kebangsaan Malaysia di Kem Bina Negara, Ulu Kenas. Kursus ini telah berlangsung selama 3 hari 2 malam bermula pada 12 Ogos sehingga 14 Ogos 2018.

Kursus Kepimpinan Kolej Kediaman ini adalah anjuran Pusat Pengurusan dan Pembangunan Mahasiswa (SISWA-UKM) yang melibatkan 16 mahasiswa dari Kolej Dato’ Onn daripada  180 mahasiswa dari kesemua 12 kolej kediaman Universiti Kebangsaan Malaysia. Program ini  merupakan langkah awal kepada Majlis Eksekutif Pelajar Kolej Dato’ Onn bagi melahirkan bakal pemimpin yang cekap dan mantap di samping memperoleh kemahiran insaniah yang berkesan.

Antara aktiviti yang berlangsung sepanjang kursus kepimpinan tersebut ialah Neuro Linguistic Programing (NLP) yang dikendalikan oleh Encik Izuhan  bersama gandingan Prof Madya Dr Norinsan Kamil bin Othman. Perkara yang menarik tentang penceramah tersebut adalah kedua-dua penceramah merupakan pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Program ini juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim dan menerapkan kepimpinan dalam diri para Majlis Eksekutif Pelajar bagi setiap kolej kediaman di samping mereka akan saling bekerjasama sepanjang sesi 2018/2019. Seterusnya, diharapkan agar pihak Universiti Kebangsaan Malaysia dapat meneruskan program kepimpinan ini agar melahirkan bakal-bakal pemimpin yang berkebolehan dan mempunyai sikap kepimpinan yang tinggi.

Disediakan oleh: Muhammad Firdaus Bin Zainal
Foto oleh: Muhammad Firdaus Bin Zainal