VOCAL ENSEMBLE DAN TARIAN LAGU FILEM MELAYU KLASIK, KARNIVAL KONVOKESYEN UKM KE-47

Karnival konvokesyen merupakan acara tahunan yang dinanti setiap warga UKM termasuklah warga Kolej Dato’ Onn sendiri. Saban tahun, pertandingan yang diadakan membakar semangat setiap kolej untuk menonjolkan kehebatan bakat masing-masing. Tidak terkecuali, Kolej Dato’ Onn mempertaruhkan dua pasukan dari DARISA bagi pertandingan vocal ensemble dan juga tarian lagu filem melayu klasik pada Karnival Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia ke-47 yang telah berlangsung dari 3 sehingga 5 November 2019.

Pasukan Vocal Ensemble yang dianggotai oleh 7 orang ahli telah membawa lagu hasil gubahan Justin Paul dan Benj Pasek nyanyian asal Loren Allred, Never Enough dengan memasukkan elemen perpaduan di dalam lirik lagu tersebut bagi memenuhi kriteria pertandingan yang bertemakan patriotisme. Persembahan pasukan Kolej Dato’ Onn disertai koreografi yang mudah dan juga busana yang anggun menepati tema pertandingan. Berjaya menambat hati para juri dan penonton dengan persembahan yang menarik, pasukan Kolej Dato’ Onn mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Vocal Ensemble Karnival Konvokesyen UKM ke-47 dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM300.00 dan sebuah piala.

Pertandingan tarian lagu filem melayu klasik menjadi kemuncak karnival konvokesyen UKM ke-47 yang melibatkan penyertaan kesemua kolej. Lagu di dalam filem Tajul Asyikin menjadi pilihan pasukan tarian kolej untuk diadaptasi dan dipersembahkan pada malam kemuncak Karnival Konvokesyen tersebut. Tarian Inang Lambung telah dikreasikan menggunakan konsep menampi di sawah padi agar bersesuaian dengan lagu pilihan hasil koreografer, Dhil Sukarna yang merupakan Artis Budaya UKM. Persembahan pasukan Kolej Dato’ Onn yang berjaya memukau juri dan juga para penonton telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Busana Terbaik, Anugerah Persembahan Terbaik dan sekaligus merangkul gelaran Juara bagi Pertandingan Tarian Lagu Filem Melayu Klasik Karnival Konvokesyen UKM ke-47 dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM700.00 dan sebuah piala.

Kejayaan pasukan DARISA dalam pertandingan Vocal Ensemble dan juga Tarian Lagu Filem Melayu Klasik Karnival Konvokesyen UKM ke-47 telah melonjakkan nama DARISA dalam kalangan pasukan kebudayaan kolej-kolej di UKM. Ini menjadi titik tolak untuk DARISA agar dapat mengekalkan prestasi dan lebih berusaha untuk memperoleh kejayaan di masa akan datang.

Disediakan oleh : Nursuraya Suhaila