PERLINDUNGAN
Pada masa kini tidak terdapat banyak yang dapat dibuat oleh mereka yang berhadapan dengan gelombang tsunami. Di kepulauan Jepun, kerajaan telah membina benteng (Rajah 5) dipersisiran pantai untuk menahan bandar dari bahaya gelombang tsunami, tetapi bagi orang perseorangan, tidak banyak yang dapat dibuat oleh mereka kecuali mengosongkan kawasan yang dijangka akan dilanda tsunami. Tsunami juga mampu melanda beberapa kali, oleh itu adalah tidak digalakkan untuk pergi ke kawasan pantai untuk melihat kerosakan selepas ombak tsunami pertama melanda. Ini adalah untuk mengelakkan dilanda ombak tsunami yang berikutnya.
Kaedah yang digunapakai secara global kini ialah sistem amaran awal tsunami. Sistem ini menggunakan pengesan atau pemantau tsunami jenis buoy ataupun satelit dan mengeluarkan amaran untuk mengelakkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda. Sistem ini menggunakan sepenuhnya kelebihan pengesan tsunami dan infrastruktur komunikasi untuk mengeluarkan amaran supaya pengosongan kawasan pesisir pantai dapat dilakukan dengan cepat.
Terdapat dua jenis sistem amaran awal iaitu Sistem Amaran Antarabangsa dan Sistem Amaran Setempat. Oleh kerana gelombang seismik akibat gempa bumi mempunyai kelajuan yang lebih cepat dari tsunami (4 km/s vs 0.28 km/s) dan gempa bumi dapat dikesan seketika selepas kejadian, ramalan kejadian tsunami dapat dilakukan dan amaran dapat dikeluarkan di kawasan yang berkemungkinan berlakunya tsunami.
Pusat Sistem Amaran Setempat menggunakan data seismik dari gempa bumi yang berdekatan untuk dikaji adakah kemungkinan berlakunya tsunami di kawasan berdekatan. Sistem ini mampu mengeluarkan amaran kepada orang awam dalam tempoh masa kurang dari 15 minit. Demi untuk memastikan amaran dapat disampaikan kepada orang awam, petugas kecemasan dan tentera dengan cepat, segala bentuk kemudahan komunikasi digunakan termasuklah sms, e-mail, faks, radio dan televisyen. Walaupun tiada sistem yang dapat melindungi manusia daripada tsunami yang berlaku dengan cepat dan tiba-tiba, namun sistem amaran awal ini dapat melindungi beribu-ribu lagi nyawa manusia yang berada agak jauh dari epicenter gempa bumi penyebab tsunami tersebut. Seperti tsunami Aceh 2004, bayangkan ribuan nyawa penduduk India dan Sri Lanka yang boleh diselamatkan oleh sistem ini jika ia telah dilaksanakan.